Skip navigation.

BADAN GALAK PUSAKA

~ Blog BAJAU SAMA ~

LEPA : RUMAH TERAPUNG & ALAT PENGANGKUTAN MASYARAKAT BAJAU

Pengenalan

Lepa adalah sejenis perahu yang diperbuat daripada kayu balak jenis kayu keras. Terdapat dalam dua saiz; jenis yang besar berukuran kira-kira 40 kaki panjang dan 6 – 8 kaki lebar tengah. Jenis yang besar ini dipanggil lepa. Jenis kedua adalah yang bersaiz kecil antara 10 – 15 kaki panjang dan antara 2 – 3 kaki lebar bahagian tengah. Jenis yang kecil ini dipanggil lepa-lepa (bermaksud lepa yang kecil atau anak lepa).

Lepa (bersaiz besar), walaupun dibina/buat oleh Bajau Pesisir tetapi ia digunakan oleh Bajau Pala’u. Bajau Pala’u menggunakan Lepa sebagai rumah di samping sebagai pengangkutan.

Bajau Pesisir menggunakan lepa-lepa (lepa bersaiz kecil) dalam upacara tolak bala pada bulan Rejab. Lepa-lepa dihias atau dipasangkan bendera kain berwarna-warni atau warna kuning dan beberapa sajian disediakan. Lepa-lepa kemudian dihanyutkan ke laut dengan niat pengamal masing-masing untuk menolak bala daripada menimpa mereka.

Buatan

Lepa diperbuat daripada kayu bulat jenis keras yang di’kobak’. Kobak berkmaksud proses membentuk rupa lepa dan melompangkan bahagian tengah sehingga membentuk bahagian perut dan dinding lepa; lepa tidak mempunyai sambungan untuk membentuk dinding.

Dibahagian hadapan lepa, terdapat unjuran memanjang yang dipanggil jungngal [jung-ngal]. Jungngal adalah bahagian tertinggi dalam binaan lepa dan ia berperanan sebagai menara pemantauan. Seorang daripada ahli bot akan berdiri di atas jungngal dan noha’ sambil memantau atau memerhati sekeliling sama ada terdapat ikan atau apa sahaja yang boleh dikutip sebagai hasil.

Bahagian tengah lepa dipasang kadjang (atap) daripada daun nipah. Dibahagian inilah penghuni bot merehatkan diri dan tidur.

Dibahagian belakang lepa hampir serupa dengan bahagian hadapan tetapi tidak ada jungngal. Bahagian belakang lebih rendah dan mempunyai tempat duduk untuk mendayung.

Sebelum ada kemudahan injin sangkut, lepa menggunakan lamak (layar) untuk bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan lain.

Setiap lepa mempunyai tundanan lepa-lepa. Tundanan bermaksud sesuatu yang diikatkan dan ditarik. Lepa-lepa penting untuk membolehkan penghuni bot turun atau menangkap ikan di perairan cetek.


Oleh:
MUSBAH C.M.Y

TUN DR. DATU HAJI MUSTAPHA DATU HARUN (HADJI TON)

SIRI TOKOH: TUN DR. DATU HAJI MUSTAPHA DATU HARUN (HADJI TON)

Tun Dr. Haji Datu Mustapha bin Datu Harun telah dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat. Beliau adalah anak lelaki sulung kepada pasangan Datu Harun bin Datu Nasaruddin dengan Noraini binti Haji Abdul Rahim. Tun Dr. Haji Datu Mustapha mula mendapat pendidikan formal pada 1 Februari 1937 di Sekolah St. James, Kudat. Namun, Tun terpaksa meninggalkan persekolahannya pada bulan Oktober 1937 apabila ibunya meninggal dunia dan bapanya bertukar di tempat lain.

Pengalaman Tun dalam pentadbiran awam bermula pada 18 Oktober 1934, apabila beliau dilantik sebagai Pembantu Am di Pejabat Daerah Kudat. Kesungguhan dan ketekunan Tun bekerja telah menyebabkan dia dinaikkan pangkat menjadi Native Clerk di Pejabat Anak Negeri, Kudat.

Semasa pendudukan Jepun, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri oleh pentadbiran Jepun, menggantikan bapanya yang meninggal dunia pada 1942. Walau bagaimanapun, penjajahan dan kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk Borneo Utara telah mendorong Tun melibatkan diri dalam gerakan pembebasan Borneo Utara daripada penjajahan Jepun. Beliau telah menjalani latihan ketenteraan di Filipina. Pada 1 Januari 1945, Tun telah ditauliahkan pangkat 1st Lieutenant dan seterusnya Kapten di dalam Pertubuhan Gerila British Borneo di bawah pimpinan Kolonel R.G.P.N Combe sehingga unit tersebut dibubarkan pada 9 September 1945.

Selepas Perang Dunia II, Tun Dr. Haji Datu Mustapha telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri Gred 1 yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK), iaitu pada tahun 1951. Minatnya dalam bidang pertanian telah mendorong Tun untuk mengikuti kursus pertanian anjuran Rural Industry Development Authority (RIDA) di Maktab Pertanian Malaysia, Selangor pada tahun 1952.

Pembabitan Tun dalam sejarah politik negeri Sabah bermula apabila beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Undang Borneo Utara pada tahun 1954, dan seterusnya menjadi Ahli Majlis Kerja Borneo Utara pada tahun 1956. Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya dalam pentadbiran British di Borneo Utara, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dihantar oleh oleh British untuk mewakili Borneo Utara ke Majlis Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Selain daripada itu, kerajaan British dengan kerjasama British Council juga telah memberi peluang kepada Tun untuk mengikuti kursus Bahasa Inggeris dan politik di London pada 15 Februari 1959.

Perkembangan politik yang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu dan pengumuman Gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu sertas penubuhan parti politik United National Kadazan Organization (UNKO) oleh Donal A. Stephens (Tun Haji Mohd. Fuad Stephens) telah mendorong Tun Dr. Datu Haji Mustapha untuk membentuk parti politik United Sabah National Organization (USNO). Dalam kongres penubuhan USNO pada 24 Disember 1961, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dipilih menjadi Yang Di-Pertua USNO yang pertama.

Bagi Tun Dr. Datu Haji Mustapha, peluang untuk memerdekakan Borneo Utara terbentang luas apabila Tunku Abdul Rahman Putra melontarkan idea pembentukan sebuah persekutuan yang menggabungkan Tanah Melayu, Singapuran, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Lantaran itulah cadangan Tunku telah disambut baik oleh Tun Dr. Datu Haji Mustapha dan USNO. Tun berpendapat melalui percantuman inilah sahaja yang boleh mempercepatkan kemerdekaan Borneo Utara walaupun dibantah oleh pasrti-parti lain pada peringkat awalnya. Segala usaha dan sokongan Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah membuahkan hasil apabila Persekutuan Malaysia berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Sebaik sabaha negeri Sabah berdiri sebagai sebuah negeri yang merdeka, Tun Dr. Datu Haji Mustpaha telah dilantik menjadi Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang pertama pada 16 September 1963. Pada tahun 1964, Tun telah mengambil keputusan untuk tidak menersukan khidmatnya sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah bagi membolehkannya kembali ke gelanggang politik dan memimpin USNO berikutan krisis politik dalaman negeri Sabah. Pada 22 Julai 1966, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dilantik menjadi Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.

Dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah tahun 1967, Tun Dr. Datu Haji Mustapha berjaya memengani kerusi Bengkoka-Banggi dan dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Sabah serta menjadi Ketua Menteri Sabah yang ketiga (11 Mei 1967 – 31 Oktober 1975). Tun Dr. Datu Haji Mustapha adalah ahli USNO pertama yang menyertai UMNO pada bulan Januari 1991. (Bahkan beliau adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa UMNO ke Sabah dengan membubarkan USNO, apabila suasana politik negeri Sabah di bawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) menghadapi saat getir dan ketidakstabilan).

Dalam pembangunan pendidikan di Sabah, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah menyuarakan hasrat untuk menubuhkan sebuah koleh universiti di negeri Sabah, kepada Kerajaan Persekutuan pada November 1965. hasilnya, pada bulan Ogos 1973, Yayasan Sabah telah menubuhkan sebuah institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai YS-ITM di Sembulan. Hasrat Tun untuk melihat terbinanya sebuah kolej universiti di negeri Sabah menjadi kenyataan apabila Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah (UKMS) telah ditubuhkan pada 30 September 1974. Sumbangan Tun Dr. Datu Haji Mustapha dalam pembangunan negeri Sabah tidak hanya terbatas dalam bidang pendidikan tetapi juga terpancar dalam usaha meningkatkan syiar Islam di negeri Sabah melalui penubuhan United Sabah Islamic Association (USIA) pada tahun 1969 dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah pada 16 September 1973.

Ketokohan dan kewibawaan Tun Dr. Datu Haji Mustapha membebaskan dan memerdekakan Borneo Utara dari penjajahan British dan seterusnya membangunkan negeri Sabah telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga dari luar negara. Pada 26 November 1964, Tun telah dianugerahkan pingat Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun; beliau adalah anak Sabah yang pertama menerima anugerah tersebut. Pada 18 September 1972, Tun telah dianugerahkan “The Order of the Knight Commander oof the Republic of Lebanon”. Sebagai mengenang jasanya dalam bidang memartabatkan pendidikan, Tun telah telah dilantik menjadi Pro-Canselor Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada bulan November 1973 hingga bulan Februari 1990.

Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah meninggal dunia pada 2 Januari 1995 pada usia 76 tahun. Jenazah Tun telah dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Ulu Putatan.

Bak kata pepatah Melayu “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Walaupun allahyarham Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah kembali ke rahmatullah, namun sumbangan dan jasa allahyarham sebagai ‘Bapa Kemerdekaan Sabah” tetap dikenang untuk selama-lamanya dan akan terusnya bersemadi dalam lipatan sejarah negeri Sabah. Sesungguhnya Tun Dr. Datu Haji Mustaphaadalah antara pejuang kebangsaan dan pemimpin terulung di negeri Sabah dan Malaysia amnya.

Atas jasa-jasanya kepada pembangunan negara Malaysia amnya dan negeri Sabah khasnya hasil ketokohannya dalam semua bidang khusushnya dalam bidang politik dan pentadbiran, maka pada 2 September 2006, di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 UMS, Tun Dr. Datu Haji Mustapha yang lebih dikenali sebagai Haji Ton (di kalangan masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah) telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sosial).



Sumber:
Buku Cenderamata Majlis Konvokesyen 8 UMS (2006).


ASAL USUL BANGSA BAJAU

Lazimnya, apabila disebut Bajau, kita segera terbayang bahawa ia adalah suku bangsa yang mendiami kepulauan Filipina Selatan serta penduduk pribumi Sabah.

Sebenarnya Bajau bukan sekadar wujud di dua wilayah tersebut. Sebaliknya bangsa Bajau adalah antara penduduk asal Nusantara – dari kepulauan Belau (PALAU) di sebelah Timur hingga ke Sumatera di sebelah Barat dan dari Gugusan Kepulauan Irian di sebelah Selatan hingga ke Kemboja dan Myanmar (Burma) di Utara.

Ada pendapat mengatakan bahawa Bajau berasal dari Johor. Ada juga yang mengatakan Bajau berasal dari Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia dan ada pula yang mengatakan etnik ini berasal dari kepulauan Maluku.

Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara. Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka (2000) mengenai asal-usul bangsa Bajau mendapati bahawa bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro yang mula bergerak dari Yunan menuju arah selatan (Asia Tenggara) pada kira-kira 1500 tahun Sebelum Masehi iaitu 3500 tahun yang lalu, yang kemudian tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik1. Oleh kerana bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro, maka mereka adalah Melayu tulen.

Bangsa Bajau atau Samah dapat dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu Pala’u (Bajau Laut) dan Samah (Bajau Darat). Sehingga tahun 1950-an, Pala’u tinggal di dalam lepa yang bergerak bebas di sekitar laut Sulawesi; mereka hanya mendarat di tepian pantai atau pesisiran sama ada di jajaran pulau atau tanah besar, untuk mendapatkan keperluan seperti ubi kayu, air atau untuk membaiki lepa mereka. Mereka juga bukan penganut agama Islam. Justeru itu, terdapat di kalangan orang-orang Samah yang tidak mengakui Pala’u sebagai Bajau oleh kerana kesuluruhan Samah adalah beragama Islam.

Daripada segi bahasa dan pertuturan, bahasa Bajau mempunyai lebih daripada 20 subdialek. Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 26 subdialek bahasa Bajau.

Kini masyrakat Bajau terpencar-pencar di pelbagai negara seperti Indonesia, Filipina, Malaysia, Brunei, Myanmar, Maldives dan Afrika Selatan. Malah ada pendapat mengatakan bahawa masyarakat Melayu di Madagascar (Pulau Malagasi) sebenarnya adalah dari etnik Bajau.

Mayarakat Bajau dikenali sebagai sea nomad atau sea gypsies oleh penjajah atau penulis-penulis Barat dan nama itu kekal menjadi rujukan pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini. Bagi masyarakat Bajau itu sendiri mereka menamakan bangsa mereka sebagai bangsa Samah dan daripada perkataan Samah itulah terbit nama bahasa mereka iaitu Sinamah.

Bagaimana bangsa ini mendapat namanya sebagai Bajau, ia masih kabur. Kekaburan ini menyebabkan perbahasan di kalangan segelintir individu sehingga ada antara mereka yang membuat pengklasifikasian mengikut logik masing-masing – kononnya Bajau adalah yang menjadi peribumi Sabah, Badjao adalah yang mendiami gugusan kepulauan Mindanao, dan Badjoe adalah yang mendiami wilayah Indonesia.

Hakikatnya, Bajau hanyalah satu. Lalu kenapa timbul pelbagai nama seperti Bajau, Badjao dan Badjoe? Jawapannya mudah. Ia adalah disebabkan faktor penggunaan tulisan rumi dalam Tamadun Melayu baik di Malaysia mahupun di Indonesia dan Filipina. Ketiga-tiga wilayah ini pernah dijajah oleh tiga bangsa penjajah dari Barat. Ketiga-tiga bangsa penjajah ini menggunakan huruf Rumi dalam sistem tulisan mereka. Kedatangan mereka turut memperkenalkan sistem tulisan Rumi kepada Tamadun Melayu tetapi dalam bentuk dan sistem ejaan yang berbeza-beza. Bahkan, sistem tulisan Rumi Bahasa Malaysia dan Sistem Tulisan Rumi Bahasa Indonesia hanya dapat dimantapkan pada 1970-an, walaupun Sistem Tulisan Bahasa Malaysia masih mengalami proses penambahmantapan akibat peminjaman perkataan asing khususnya dari Bahasia Inggeris.


KILAHUNBIH BANGSAHBIH
TABANGUN KAMIH NABANG BANGSAHTAH

--------------

1Sejarah Ringkas Bahasa Melayu dalam Nik Safiah Karim et.al (2002): Tatabaha Dewan, Kuala Lumpur: DBP

BERHATI-HATI DENGAN RANCANGAN BARAT MENGKRISTIANKAN BANGSA BAJAU

AMARAN: AWAS JANGAN SAMPAI TERJEBAK. PAHALLI'-HALLI' KITAM DA'AH SAMPAI KITAHBIH TAPASOKO' NI UGAMA BANGSAH LAKNATULLAH

BERHATI-HATI DENGAN RANCANGAN BARAT MENGKRISTIANKAN BANGSA BAJAU. SAUDARA-SAUDARA MUNGKIN PERNAH MENONTON VCD NABI ISA DALAM BAHASA BAJAU YANG PERNAH DIPASARKAN PADA TAHUN 2004. ITU ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA RANCANGAN MEREKA UNTUK MENGKRISTIANKAN BANGSA BAJAU. VCD TERSEBUT ADALAH DALAM BAHASA BAJAU LOGHAT SIMUNUL.


EBOT-EBOT TO'ONGAN DA'AH SAMPAI ANAK NDAHBIH ATAWA PAUPAMILIHBIH TAPASOKO' E' SIGA BANGSA LAKNAT SUDJU NI KAUMAN SIGAM. BANGKAHM MBAL PARATSAYA MA KAMIH, SULAIN KLIKUNBIH URL MAREO'ANTUH KAMUDIAN DOWNLOAD PETIKAN AUDIO KASET MA BAHASA SINAMA


http://globalrecordings.net/program/C10700

IKLAS MIND KAMIH

BAHASA BAJAU: SINAMAH

Pada masa ini Bahasa Samah-Bajau dituturkan di wilayah-wilayah Borneo Utara (Sabah), Selatan Filipina khsususnya di bahagian kepualauan, dan di Bahagian Timur Indonesia. Perantauan masyarakat Bajau khususnya dari Sabah ke Semenanjung Malaysia turut membawa Bahasa Samah-Bajau ke daerah-daerah dan negeri-negeri di mana mereka menetap atau bekerja secara berkelompok dengan kepadatan yang tertinggi di Lembah Klang.

Sesungguhnya nama asal bahasa ini ialah Sinamah. Kata sinamah adalah kata terbitan daripada kata akar Samah yang merujuk kepada suku Bangsa Sama. Perkataan Samah kemudian menerima sisipan '-in-' menjadikannya S-in-amah yang lalu membentuk Sinamah.

Dalam Sinamah yakni Bahasa Samah (Bajau) (penulis adalah berketurunan Bajau/Sama) sisipan -in-, apabila diimbuhkan kepada Kata Nama, akan membawa maksud 'kepunyaan'. Justeru karena itu, masyarakat Sama menamakan bahasa mereka sebagai Sinama kerana bahasa tersebut adalah bahasa kepunyaan mereka.

Berkenaan dengan perkataan 'Bajau' yang juga dirujuk kepada suku bangsa dan bahasa yang sama iaitu Bahasa dan Bangsa Samah, belum dipastikan tentang asal-usul kewujudannya. Namun demikian, penulis amat yakin bahawa perkataan Bajau berasal dari Indonesia. Sama ada perkataan tersebut merupakan bahasa masyarakat tempatan (pribumi Indonesia) ataupun diambil daripada bahasa penjajah khususnya Belanda, ia masih dalam kajian penulis. Yang pasti perkataan Bajau terhasil hasil daripada proses pelunakan bunyi atau sebutan perkataan Badjoe (sistem tulisan/ejaan lama bahasa Indonesia):

BADJOE -> BADJAO -> BADJAU -> BAJAU.

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (cetakan 1997) terdapat dua entri kata bajau seperti berikut:-

bajau I; membajau memukul Bajau II = orang ~ orang laut (terutama yang tinggal di pantai sebelah timur Borneo)

Mungkinkah nama bangsa Bajau itu diambil daripada perkataan Melayu ini? Ini juga ada kemungkinannya. Mengambil makna entri pertama itu dan menghubungkaitkannya (menasabkannya) dengan makna entri kedua bahkan sangat relevan. Makna bajau seperti dalam entri pertama itu sangat rapat dengan, dan bahkan menjadi kekuatan aktiviti lanun atau perlanunan pada masa dahulu dan ia memang melibatkan secara langsung medan perlanunan itu sendiri iaitu laut. Hanya Orang Laut sahaja yang sentiasa berada atau mempunyai hubungan yang rapat dengan laut. Dan hanya di laut sahaja (pada zaman duhulu) aktiviti perlanunan berlaku. Tidak dinafikan, (menurut cerita daripada ibu penulis), laki-laki orang Bajau pada zaman dahulu terlibat dalam aktiviti perlanunan. Bahkan aktiviti magkulluh-kulluh masih dilakukan sehingga selepas Perang Jepun (Perang Dunia II). Magkulluh-kulluh adalah istilah yang digunakan di kalangan masyarakat Bajau yang bermaksud merampas (merompak) atau melanun orang asing di laut semasa laki-laki orang Bajau itu magbusai (berpergian merentasi lautan) mencari rezeki daripada hasil-hasil laut.

Jadi, kemungkin nama bangsa Bajau itu diambil daripada perkataan Melayu 'bajau' (memukul) ada logiknya. Bahkan hingga hari ini, di setengah-setengah tempat, orang-orang Bajau masih mempunyai sifat yang suka memukul apabila privasi mereka dicerobohi.

Berdasarkan kajian penulis terhadap Bahasa Sama-Bajau, terdapat sekurang-kurangnya 26 (kini telah disenaraikan 31) atau lebih subdialek bahasa ini yang dituturkan di Sabah dan Selatan Filipina. 30 subdialek ini belum mengambil kira subdialek yang terdapat dan dituturkan di Indonesia Timur.

1. Ubian

2. Sallogan

3. Sapa’

4. Sikubung

5. Sapa’-sapa’

6. Tando’ Bas

7. Basbas

8. Tando’ Banak

9. Ungus Matata

10. Lo’ok Nato’

11. Kohek

12. Bannaran

13. Sitangkai

14. Simunul

15. Sibutu’

16. Pangutaran

17. Siasi

18. Laminusa

19. Nusa

20. Larapan

21. Musu’

22. Manubal

23. Pala’u

24. Kota Belud

25. Sama (Pantai Barat Sabah)

26. Sisangat

27. Siamal

28. Tabawan

29. Kagayan

30. Bangingi' (Balagnini atau Balangingi)

31. Tatabuan-Kaniogan

Nota: Artikel ini turut dimuatkan di laman web Wikipedia.org


MUSBAH C.M.Y
Sandakan

Laman berkaitan:
Wikipedia.org
Forum/Portal Badan Galak Pusaka

BADAN GALAK PUSAKA - Pengenalan

Bang nia' tapikil e'bih ai-ai hap atawa ya maka buan kahapan ma BANGSAHTA, pabeya'unbih ni kamih maituh


SELAMAT DATANG ke weblog Badan Galak Pusaka (BGP). Weblog ini adalah wadah rasmi Badan Galak Pusaka, satu pergerakan yang berkecimpung dalam hal-hal penyelidikan kebudayaan Bangsa Bajau. Sebagai mana yang diketahui umum bahawa Bangsa Bajau telah wujud di rantau nusantara sejak sekian lama dan telah menjadikan kawasan ini sebagai lingkungan mereka. Kedatangan penjajah ke rantau ini yang kemudian menjadikan alam nusantara yang lebih dikenali sebagai Alam Melayu ini terpecah kepada beberapa buah negeri berasingan, telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan Bangsa Bajau.

Hal yang demikian ini telah menyebabkan Bangsa Bajau terbahagi sekurang-kurangnya kepada tiga kewarganegaraan: Malaysia, Indonesia dan Filipina. Keadaan ini telah menyebabkan pertikaian dalam menentukan dari mana asal-usul Bangsa Bajau. Maka, masing-masing lingkungan geografi berasaskan negara-negara yang diwujudkan oleh penjajah ini seolah-olah menuntut bahawa Bangsa Bajau berasal dari lingkungannya. Inilah kesan paling besar yang dihadapi oleh Bangsa Bajau akibat penjajahan yang menggunakan dasar pecah dan perintah itu.

Pengasingan Bangsa Bajau kepada tiga wilayah negara ini turut menyebabkan wujud perbezaan dalam pemikiran dan kebudayaan Bangsa Bajau yang pada asalnya adalah satu dan sama, kepada tiga yang berlainan mengikut negara di mana mereka menetap.

Badan Galak Pusaka (BGP) sebagai pergerakan penyelidikan kebudayaan Bangsa Bajau telah ditubuhkan pada 1998 di Sandakan, setelah En. Mohd Shah Ali Hassan berjaya menyiapkan manuskrip Kamus Ringkas Bajau-Melayu dan memulakan Edisi Kamus Lengkap Bajau-Melayu yang pada masa itu menunggu maklum balas daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah untuk ulasan. Penubuhan BGP ini bertujuan untuk mencapai tiga matlamat asas iaitu memulihara, mendokumentasi dan memasarkan unsur-unsur kebudayaan Bangsa Bajau yang kian dilupakan oleh generasi muda Bangsa Bajau.

Weblog ini akan memuatkan berita-berita, artikel, rencana dan sebagainya yang berkaitan dengan Bangsa Bajau di Malaysia khasnya di Sabah, dan di seluruh dunia. Weblog ini akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasminya tetapi ini tidak bermakna bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Bajau tidak boleh digunakan di sini.

Justeru itu, editorial mengalu-alukan sumbangan artikel atau sebagainya yang boleh menyokong matlamat BGP ini, daripada pembaca khususnya daripada masyarakat Bangsa Bajau. Segala sumbangan bolehlah diemailkan kepada kami melalui email rasmi yang tertera di bawah ini.


TABANGUN KAMIH NABANG BANGSAHTA