BADAN GALAK PUSAKA

~ Blog BAJAU SAMA ~

PULAU TAK BERNAMA: TANYA ORANG BAJAU APA NAMANYA


Baru-baru ini timbul lagi isu lebih 200 buah pulau di pesisir perairan Malaysia khususnya di negeri Sabah, yang belum ada nama. Timbul persoalan betulkah pulau-pulau tersebut betul-betul tiada nama, atau hanya tiada nama di dalam peta.

Agak tidak masuk akal jika betul pulau-pulau tersebut memang betul-betul tiada nama. Sebelum negeri Sabah wujud wilayah ini sudah ditadbir dan mempunyai tadbir urus pemerintahan yang teratur di bawah Syarikat Hindia Timur Britih (mohon betulkan jika tersalah) dan lama sebelum itu wilayah ini memang di bawah pemerintahan atau jajahan takluk Kesultanan Brunei mahu pun Kesultanan Sulu. Kawasan laut yang mengelilingi Borneo Utara ini pula antara kawasan laut yang paling banyak gangguan lanun.

Sebenarnya mereka itu bukan perompak atau penipu, tetapi bagi mereka dan pada zaman itu, melanun adalah satu kerjaya yang paling menguntungkan dan berprestij, dan pelakunya pula bukan sahaja disegani kerana kekayaan mereka hasil daripada aktiviti melanun, tetapi disegani kerana keberanian mereka memilih kerjaya tersebut tanpa sedikitpun rasa gentar menghadapi risiko yang bakal menimpa - kalau risiko perdagangan zaman ini ialah turun naik nilai sesuatu mata wang berbanding Dolar Amerika (USD) tetapi risiko melanun ialah antara hidup dan mati. Sebagai usahawan yang unggul memang tidak takut pada risiko.

Kerjaya melanun dalam masyarakat Bajau (Bajau, Suluk, Samah, Iranun dll) lebih kurang ada persamaan sifat dan semangat seperti dalam kerjaya ngayau atau memotong kepala yang dalam masyarakat bajau pelaku kerjaya tersebut dinamakan sagai' (loghat ubian) dan ia bukan satu kejijikan kepada pelakunya pada zaman itu sebaliknya satu kemegahan, walaupun pada hari ini mungkin boleh disifatkan sebagai tindakan paling kejam dan tidak bertamadun.



Bagaimana kumpulan lanun-lanun tersebut boleh menyusun strategi untuk melepaskan diri daripada pihak berkuasa, atau bagaimana pihak berkuasa pada masa itu boleh mengatur strategi memerangi lanun-lanun tersebut yang sudah tentu banyak menggunakan pulau-pulau yang ada untuk berselindung atau bertahan dan mengatur taktik jika pulau-pulau tersebut tiada nama?

Tetapi tidak menghairankan jika pulau-pulau tersebut tiada nama hanya di atas peta. Hal ini kerana peta-peta yang ada bukan dibuat oleh pihak berkuasa Sulu atau Brunei atau oleh lanun-lanun pada masa itu.

Justeru itu saya cadangkan pihak kerajaan negeri Sabah supaya merujuk kepada masyarakat Bajau sama ada dari etnik Bajau, Suluk, Samah, Iranun, Kagayan, Ubian, dan lain-lain untuk mengetahui nama pulau-pulau yang belum ada nama itu kerana saya yakin pulau-pulau tersebut memang ada nama tetapi hanya diketahui oleh orang-orang yang menggunakan jalan laut dan pesisir lautan Borneo Utara yang mengetahui nama-nama pulau tersebut.

Saya juga menggesa supaya kalangan orang-orang Bajau, Suluk, Iranun, Samah, Ubian dan lain-lain dalam kumpulan masyarakat Bajau yang mempunyai maklumat atau tahu nama-nama 'pulau yang belum ada nama itu' tampil ke hadapan membantu pihak kerajaan negeri menamakan pulau-pulau tersebut.

Untuk mendapat kerjasama daripada masyarakat Bajau, dan untuk membolehkan masyarakat Bajau tampil membantu pihak berkuasa, saya juga mencadangkan agar kerajaan negeri menyiarkan peta yang menunjukkan pulau-pulau yang belum ada nama itu di tempat-tempat tumpuan awam seperti di Pejabat Daerah, Balai Polis, Balai Raya, Masjid dan Surau yang terletak di kawasan strategik iaitu yang terletak di sepanjang pantai atau yang berdekatan dengan pantai dari Labuan hinggalah ke Kalabakan; jangan pamer di kawasan pedalaman seperti di Pensiangan, Keningau atau Tambunan kerana memang tiada orang di situ yang tahu.

Badan-badan NGO seperti United Sabah Bajau Organization (USBO), Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS), Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) (betulkan jika salah), Persatuan Masyarakat Bajau Ubian Sabah (PEMAJU), Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Sama Sandaka, Persatuan Seni dan Tradisi Bajau Kudat Sandakan Sabah (yang baru diluluskan pendaftarannya) dan lain-lain hendaklah dilibatkan secara langsung oleh kerajaan negeri, dan hendaklah tampil dengan sukarela untuk membantu usaha kerajaan negeri menamakan pulau-pulau tersebut.

Masyarakat Bajau sama ada secara individu atau dalam pergerakan NGO harus sedar betapa pentingnya sumbangan anda membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah yang belum selesai. Kalau 'Pulau Batu Hairan' itu sudah ada nama dalam masyarakat Bajau sebelum ia timbul, inikan pula pulau-pulau yang sentiasa pegun setia memerhati dan menyaksikan gelagat dan fiil orang-orang Bajau dari dahulu hingga kini, tiada nama.

Artikel ini adalah antara sumbangan kami menunjukkan jalan penyelesaian. Terserah kepada pihak kerajaan sama ada menerima apa yang kami cadangkan di sini atau tidak. Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Terima kasih Magsukul

TABANGUN KAMIH NABANG BANGSAHTA




ORANG BAJAU PERLU ADA PARTI POLITIK SENDIRI...?DATUK PANGLIMA JAKARULLAH BIN BARALUDDIN

Comments

Didit beraudixtanjungbatu Tuesday, March 15, 2011 5:18:10 PM

Sip na ko lu..

Write a comment

New comments have been disabled for this post.