TUN DR. DATU HAJI MUSTAPHA DATU HARUN (HADJI TON)
Sunday, June 24, 2007 2:30:08 PM
SIRI TOKOH: TUN DR. DATU HAJI MUSTAPHA DATU HARUN (HADJI TON)
Tun Dr. Haji Datu Mustapha bin Datu Harun telah dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat. Beliau adalah anak lelaki sulung kepada pasangan Datu Harun bin Datu Nasaruddin dengan Noraini binti Haji Abdul Rahim. Tun Dr. Haji Datu Mustapha mula mendapat pendidikan formal pada 1 Februari 1937 di Sekolah St. James, Kudat. Namun, Tun terpaksa meninggalkan persekolahannya pada bulan Oktober 1937 apabila ibunya meninggal dunia dan bapanya bertukar di tempat lain.
Pengalaman Tun dalam pentadbiran awam bermula pada 18 Oktober 1934, apabila beliau dilantik sebagai Pembantu Am di Pejabat Daerah Kudat. Kesungguhan dan ketekunan Tun bekerja telah menyebabkan dia dinaikkan pangkat menjadi Native Clerk di Pejabat Anak Negeri, Kudat.
Semasa pendudukan Jepun, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri oleh pentadbiran Jepun, menggantikan bapanya yang meninggal dunia pada 1942. Walau bagaimanapun, penjajahan dan kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk Borneo Utara telah mendorong Tun melibatkan diri dalam gerakan pembebasan Borneo Utara daripada penjajahan Jepun. Beliau telah menjalani latihan ketenteraan di Filipina. Pada 1 Januari 1945, Tun telah ditauliahkan pangkat 1st Lieutenant dan seterusnya Kapten di dalam Pertubuhan Gerila British Borneo di bawah pimpinan Kolonel R.G.P.N Combe sehingga unit tersebut dibubarkan pada 9 September 1945.
Selepas Perang Dunia II, Tun Dr. Haji Datu Mustapha telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri Gred 1 yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK), iaitu pada tahun 1951. Minatnya dalam bidang pertanian telah mendorong Tun untuk mengikuti kursus pertanian anjuran Rural Industry Development Authority (RIDA) di Maktab Pertanian Malaysia, Selangor pada tahun 1952.
Pembabitan Tun dalam sejarah politik negeri Sabah bermula apabila beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Undang Borneo Utara pada tahun 1954, dan seterusnya menjadi Ahli Majlis Kerja Borneo Utara pada tahun 1956. Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya dalam pentadbiran British di Borneo Utara, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dihantar oleh oleh British untuk mewakili Borneo Utara ke Majlis Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Selain daripada itu, kerajaan British dengan kerjasama British Council juga telah memberi peluang kepada Tun untuk mengikuti kursus Bahasa Inggeris dan politik di London pada 15 Februari 1959.
Perkembangan politik yang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu dan pengumuman Gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu sertas penubuhan parti politik United National Kadazan Organization (UNKO) oleh Donal A. Stephens (Tun Haji Mohd. Fuad Stephens) telah mendorong Tun Dr. Datu Haji Mustapha untuk membentuk parti politik United Sabah National Organization (USNO). Dalam kongres penubuhan USNO pada 24 Disember 1961, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dipilih menjadi Yang Di-Pertua USNO yang pertama.
Bagi Tun Dr. Datu Haji Mustapha, peluang untuk memerdekakan Borneo Utara terbentang luas apabila Tunku Abdul Rahman Putra melontarkan idea pembentukan sebuah persekutuan yang menggabungkan Tanah Melayu, Singapuran, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Lantaran itulah cadangan Tunku telah disambut baik oleh Tun Dr. Datu Haji Mustapha dan USNO. Tun berpendapat melalui percantuman inilah sahaja yang boleh mempercepatkan kemerdekaan Borneo Utara walaupun dibantah oleh pasrti-parti lain pada peringkat awalnya. Segala usaha dan sokongan Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah membuahkan hasil apabila Persekutuan Malaysia berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963.
Sebaik sabaha negeri Sabah berdiri sebagai sebuah negeri yang merdeka, Tun Dr. Datu Haji Mustpaha telah dilantik menjadi Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang pertama pada 16 September 1963. Pada tahun 1964, Tun telah mengambil keputusan untuk tidak menersukan khidmatnya sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah bagi membolehkannya kembali ke gelanggang politik dan memimpin USNO berikutan krisis politik dalaman negeri Sabah. Pada 22 Julai 1966, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah dilantik menjadi Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.
Dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah tahun 1967, Tun Dr. Datu Haji Mustapha berjaya memengani kerusi Bengkoka-Banggi dan dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Sabah serta menjadi Ketua Menteri Sabah yang ketiga (11 Mei 1967 – 31 Oktober 1975). Tun Dr. Datu Haji Mustapha adalah ahli USNO pertama yang menyertai UMNO pada bulan Januari 1991. (Bahkan beliau adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa UMNO ke Sabah dengan membubarkan USNO, apabila suasana politik negeri Sabah di bawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) menghadapi saat getir dan ketidakstabilan).
Dalam pembangunan pendidikan di Sabah, Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah menyuarakan hasrat untuk menubuhkan sebuah koleh universiti di negeri Sabah, kepada Kerajaan Persekutuan pada November 1965. hasilnya, pada bulan Ogos 1973, Yayasan Sabah telah menubuhkan sebuah institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai YS-ITM di Sembulan. Hasrat Tun untuk melihat terbinanya sebuah kolej universiti di negeri Sabah menjadi kenyataan apabila Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah (UKMS) telah ditubuhkan pada 30 September 1974. Sumbangan Tun Dr. Datu Haji Mustapha dalam pembangunan negeri Sabah tidak hanya terbatas dalam bidang pendidikan tetapi juga terpancar dalam usaha meningkatkan syiar Islam di negeri Sabah melalui penubuhan United Sabah Islamic Association (USIA) pada tahun 1969 dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah pada 16 September 1973.
Ketokohan dan kewibawaan Tun Dr. Datu Haji Mustapha membebaskan dan memerdekakan Borneo Utara dari penjajahan British dan seterusnya membangunkan negeri Sabah telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga dari luar negara. Pada 26 November 1964, Tun telah dianugerahkan pingat Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun; beliau adalah anak Sabah yang pertama menerima anugerah tersebut. Pada 18 September 1972, Tun telah dianugerahkan “The Order of the Knight Commander oof the Republic of Lebanon”. Sebagai mengenang jasanya dalam bidang memartabatkan pendidikan, Tun telah telah dilantik menjadi Pro-Canselor Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada bulan November 1973 hingga bulan Februari 1990.
Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah meninggal dunia pada 2 Januari 1995 pada usia 76 tahun. Jenazah Tun telah dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Ulu Putatan.
Bak kata pepatah Melayu “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Walaupun allahyarham Tun Dr. Datu Haji Mustapha telah kembali ke rahmatullah, namun sumbangan dan jasa allahyarham sebagai ‘Bapa Kemerdekaan Sabah” tetap dikenang untuk selama-lamanya dan akan terusnya bersemadi dalam lipatan sejarah negeri Sabah. Sesungguhnya Tun Dr. Datu Haji Mustaphaadalah antara pejuang kebangsaan dan pemimpin terulung di negeri Sabah dan Malaysia amnya.
Atas jasa-jasanya kepada pembangunan negara Malaysia amnya dan negeri Sabah khasnya hasil ketokohannya dalam semua bidang khusushnya dalam bidang politik dan pentadbiran, maka pada 2 September 2006, di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 UMS, Tun Dr. Datu Haji Mustapha yang lebih dikenali sebagai Haji Ton (di kalangan masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah) telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sosial).
Sumber:
Buku Cenderamata Majlis Konvokesyen 8 UMS (2006).