Skip navigation.

LA21 Sandakan Bersih

~ Kumpulan Kerja Kebersihan ~

GOTONG-ROYONG MEMBERSIH KAWASAN FLAT MPS KARAMUNTING PADA 26 JULAI 2008 BERJAYA

Kira-kira 350 hingga 400 orang hadir menyertai Majlis Gotong-Royong Membersih Kawasan Flat MPS Karamunting, pagi tadi. Mereka terdiri daripada penghuni Flat MPS Karamunting, penduduk Kg. Lupak Meluas dan kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi yang antaranya termasuk Rejimen 507 Askar Wataniah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kolej Kejururawatan Hospital Duchess of Kent Sandakan, RELA, Majlis Perbandaran Sandakan dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Sekong.

Selain daripada itu, gotong-royong tersebut juga disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa LA21 Kumpulan Kerja Kebersihan selaku badan penganjur. Wakil dari badan-badan NGO turut hadir dan menyertai gotong-royong trsebut yang antaranya termasuklah Persatuan Bas Mini Bumiputera Sandakan, Persatuan Penjaja dan Rukun Tetangga. Tidak ketinggalan wakil daripada parti-parti politik Komponen Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO Sekong, PBS Sekong, LDP dan SAPP. Turut hadir dan bersama-sama gotong-royong pada hari ini ialah pihak swasta iaitu Sinora Sdn. Bhd dan Global Waste Management yang turut menyumbang barangan berupa hamper untuk acara cabutan tiket bertuah.

Majlis gotong-royong hari ini dirasmikan oleh Y.B. Mejar (K) Datuk Samsudin Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri N43 Sekong.

Y.B. Mejar (K) Datuk Samsudin dalam ucapan perasmiannya menyeru agar semua pihak melihat kebersihan sebagai sesuatu yang amat penting dan perlu menjadi amalan bukan sahaja di dalam rumah malah di sekitar kawasan kediaman dan bandar Sandakan.

Kebersihan melambangkan budi pekerti seseorang. Kebersihan melambangkan jati diri seseorang. Kebersihan melambangkan pemikiran seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat. Justeru itu, sebagai warganegara yang mendiami kawasan perbandaran setiap individu hendaklah bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat tetapi perlu menanamkan dalam hati bahawa tempat di mana kita tinggal ini adalah kampung halaman kita.

Justeru itu, saya menyeru kepada semua hadirin untuk bermuhasabah diri. Agama sangat memandang tinggi pada aspek kebersihan. Malah dalam Islam, kebersihan itu menjadi sebahagian daripada iman.


Demikian antara intisari ucapan perasmian oleh Y.B. Mejar (K) Datuk Samsudin Yahya. Beliau juga turut meminta khususnya kepada LA21 Kumpulan Kerja Kebersihan untuk mengadakan majlis gotong-royong membersih kawasan di lokasi yang akan ditentukan pada setiap satu atau dua bulan.

Antara kerja-keraja yang menjadi tumpuan gotong-royong pada hari ini termasuklah membersihkan longkang, membersihkan tangga Flat MPS Karamunting, memotong rumput di kawasan lapang, membersihkan gelanggang bola serbaguna, membersihkan kanopi banguan dan mencantas anak-anak pokok ara yang mula tumbuh di bumbung bangunan Flat MPS Karamunting.

Majlis gotong-royong yang bermula pada pukul 8.00 itu berakhir kira-kira pukul 10.45 pagi.

Mohd Shah A.Hassan
S/U Kerja
LA21 Kebersihan


Nota:
Gambar-gambar semasa gotong-royong akan dimuat naik (upload) sebagai satu album.

LA21 BERSAMA KOMUNITI TAMAN FAJAR SANDAKAN

Pada hari Sabtu, 19 Julai 2008, LA21 Majlis Perbandaran Sandakan telah menyertai Pameran di Majlis Sukaneka Rukun Tetangga Taman Fajar. Beberapa orang Pegawai Kanan Majlis Perbandaran Sandakan yang mewakili Badan Induk LA21 MPS, Setiausaha Kerja LA21 Kumpulan Kerja Kebersihan En. Mohd Shah, dan Pegawai Pemantau Kumpulan Kerja Keselataman En. Irman Tajudin hadir bersama-masa komuniti Taman Fajar dan para jemputan.

Dalam majlis yang berlangsung dari awal pagi hingga pukul 5.00 petang itu, LA21 Kumpulan Kerja Kebersihan turut membuka kaunter pendaftaran untuk Sandakan City Friends manakala Badan Induk LA21 MPS mengadakan pameran berkaitan LA21 dan aktiviti LA21 MPS di sana sini.

Majlis Sukaneka Rukun Tetangga Taman Fajar dirasmikan oleh Y.B. Datuk Juslie Ajirol, Ahli Parlimen Libaran yang diwakili oleh Pegawai Perhubungannya, En. Abdul Karim Jalil. Kira-kira 300 orang ahli komuniti Taman Fajar bersama orang ramai dari kawasan berjiranan serta kakitangan kerajaan telah memeriahkan majlis tersebut dari awal hingga akhir.

Nota: Gambar-gambar akan diuploadkan kemudian.


JEMPUTAN GOTONG-ROYONG

Satu gotong-royong membersihkan kawasan akan diadakan di Kawasan Flat MPS Karamunting, pada 26 Julai 2008 bermula pada pukul 7.30 pagi. Majlis gotong-royong tersebut akan dirasmikan oleh Y.B. Datuk Samsudin Yahya, ADUN Sekong dan akan dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan, JKKK Kg. Lupak Meluas, JKDB Flat MPS Karamunting, Ketua Kampung Lupak Meluas, Majlis Perbandaran Sandakan, dan Ahli-Ahli LA21 Kumpulan Kerja Kebersihan.

Orang ramai yang tinggal berhampiran lokasi goptong-royonhg adalah dijemput untuk sama-sama hadir dan mengambil bahagia dalam gotong-royong tersebut.

Sandakan Bersih, Warga Berseri

PENJENAMAAN SEMULA

Salam sejahtera.

Kepada semua pembaca dan pengunjung yang budiman, kami menghargai sokongan anda kerana terus melawat laman blog ini meskipun agak lama tidak dikemas kini. Berdasarkan rekod 'provider', laman blog ini telah dikunjungi sebanyak 19,233 kali sejak ia diwujudkan pada 28 Mei 2006 hingga artikel ini ditulis, purata 25 kali kunjungan sehari.

Untuk makluman anda, Admin telah menjenamakan semula laman blog ini seperti yang anda perhatikan pada ruang 'header' di atas. Diharapkan dengan penjenamaan semula ini akan memberikan satu semangat baru kepada semua.

Kami juga ingin memaklumkan, laman blog ini akan kembali kepada keadaan asal iaitu laman blog khusus untuk Kumpulan Kerja Kebersihan, LA21 Majlis Perbandaran Sandakan. Hal ini kerana laman web rasmi LA21 Sandakan telah dikemas kini sepenuhnya. Anda boleh melawatnya dengan mengklik pautan di sebelah kanan skrin anda, dalam ruangan pautan, atau mengklik pautan yang kami sediakan diakhir artikel ini.

Kami sangat menghargai penglibatan pengunjung khususnya dalam topik Siri Bimbangan Keusahawanan. Oleh kerana topik keusahawanan adalah luas, Admin telah membuka satu portal khas iaitu Portal Usahawan Muda. Justeru itu, pengunjung yang ingin berkongsi maklumat, ingin mengetahui dan/atau mempunyai produk untuk diiklankan, adalah dipelawa untuk melawat portal tersebut.

Kami juga mengalu-alukan penyertaan anda dalam Forum Sandakan City Friends. Mendaftarlah menjadi ahli dalam forum tersebut dan ambil bahagian dalam perbincangan. Anda juga boleh mengemukakan cadangan mengenai kandungan susunan Forum Sandakan City Friends, atau apa-apa sahaja mengenai kebersihan bandar Sandakan.

Jangan lupa, singgahi laman-laman web:-

1. LA21 Sandakan;
2. Sandakan City Friends, atau terus ke Forum Sandakan City Friends; dan
3. Portal Usahawan Muda

Terima kasih atas sokongan anda.

TEKS UCAPAN PENUTUPAN SEMINAR PENJIMATAN TENAGA

TEKS UCAPAN
Y.B. ENCIK SAMSUDIN YAHYA
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N43 SEKONG
DI MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SEMINAR PENJIMATAN TENAGA
PADA 24 OGOS 2006, DI DEWAN MASYARAKAT SANDAKAN
ANJURAN LA21 KUMPULAN KERJA ALAM SEKITAR

Y.Bhg. Encik Yeo Boon Hai
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan

Yang Berusaha Tuan Haji A.B.M Fajeer
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan

Encik Mohd. Nawawi Hj. Mohd. Said
Penolong Pengarah Suruhanjaya Tenaga, Kuala Lumpur

Encik Abdul Aziz bin Chik
Ketua Cawangan, Jabatan Alam Sekitar Sabah, Cawangan Sandakan

Encik Salsain Salleh
Pengurus Fasiliti, Faber Mediserve, Sandakan

Para peserta seminar, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya dan seterusnya merasmikan penutupan seminar penjimatan penggunaan tenaga hari ini.

Saya amat berbangga dan menghargai dayausaha Jawatankuasa Local Agenda (LA21) Alam Sekitar dalam menganjurkan seminar ini yang bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat umum, khususnya pengguna betapa pentingnya penjimatan penggunaan tenaga. Saya rasa seminar ini diadakan tepat pada masanya dalam kita sama-sama mengalami masalah kekurangan tenaga elektrik di Sandakan. Dalam aspek ini, kita berperanan dalam menjimatkan penggunaan elektrik untuk keselesaan dan faedah bersama.

Penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan akan mempercepatkan pengurangan sumber tenaga yang memang sedang berlaku di seluruh dunia. Seperkara yang perlu kita ingat ialah 85% tenaga elektrik di negara ini adalah dijana dengan menggunakan bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Pembakaran bahan api tersebut bukan sahaja mengurangkan sumber-sumber semula jadi ini, bahkan menghasilkan karbon monoksida, sulfur dioksida, debu-debu halus dan sebagainya. Semua bahan-bahan ini menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan turut menyebabkan masalah ‘global warming’ atau kepanasan dunia yang memberi impak buruk terhadap alam sekitar di seluruh dunia. Penggunaan tenaga elektrik dengan cekap dan bijaksana bermakna kita boleh menikmati kemudahan dan keselesaan tanpa menjejaskan lagi alam sekitar kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Saya yakin seminar ini banyak memberikan manfaat kepada para peserta dalam memberikan pendedahan dan peningkatan ilmu supaya kita sama-sama dapat mengambil berat untuk mengurangkan pembaziran tanaga, sama ada di jabatan kerajaan atau pun di rumah. Di samping itu, diharapkan kita semua prihatin dan sedar akan peranan dan tanggungjawab bersama untuk menjimatkan sumber tenaga fosil yang semakin berkurangan di samping membantu dalam pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Local Agenda 21 Alam Sekitar yang telah mengambil inisiatif dan langkah bijak dalam menyumbang ke arah penjimatan tenaga. Harapan saya agar seminar ini akan diadakan lebih kerap. Dan bagi semua peserta semoga kesempatan dan peluang menyertai seminar ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menyampaikan mesej yang diperolehi, terutamanya di kalangan ahli keluarga masing-masing.

Dengan lafaz bismillahi rahmannirahim, saya dengan sukacitanya menutup seminar penjimatan penggunaan tenaga dengan rasminya.

Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmattullahi wabarakatuh
December 2009
M T W T F S S
November 2009January 2010
1 2 3 4 5 6
7 8 9 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30 31