Saturday, 11. October 2008, 05:48:05
Salam sejahtera.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar wa lillahilham.
Hari ini adalah hari ke-11 umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini. Meskipun sudah 11 hari 1 Syawal berlalu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca blog Fikir! Fikir! Dan Fikir! khususnya, dan seluruh umat Islam amnya.
Alhamdulillah, di Malaysia kita masih dapat meraikan hari lebaran ini dengan penuh damai dan harmoni meskipun kita dicubai dengan pelbagai cubaan seperti kenaikan harga barang-barang dan suasana politik yang kurang menggalakkan. Demikianlah, jika Allah menghendaki, Dia akan mewujudkan rasa ketenangan dan ketenteraman dalam diri seseorang sehingga seseorang itu dapat menikmati rahmat Allah kepadanya.
Akan tetapi satu persoalan timbul dalam benak saya; kenapa tiada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Sempena Perayaan Aidilfitri 2008 ini? Adakah Majlis Rumah Terbuka Malaysia itu khusus untuk meraikan sambutan-sambutan seperti Hari Natal, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Pesta Menuai dan lain-lain yang bukan Islamik?
Pada pendapat saya, agak malanglah umat Islam di Malaysia kerana pada masa sambutan ritual anutan selain Islam dibesar-besarkan, bahkan diberi status sambutan negara, perayaan yang diraikan oleh umat Islam seperti Hari Raya Aidilfitri disisikan sehingga diberi status Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Beragama Islam sahaja.
Pada mulanya iaitu sebelum 1 Syawal, saya menjangkakan bahawa satu Rumah Terbuka Malaysia Sambutan Aidilfitri 2008 diadakan secara besar-besaran oleh kerajaan dengan kerjasama PAS dan KeAdilan serta sokongan NGOs Islam dan Melayu. Ini adalah kerana 1 Syawal adalah hari yang dimuliakan dan hari yang sangat sesuai untuk merapatkan silaturrahim, saling bermaaf-maafan, dan pada hari tersebut sepatutnya tidak timbul syak wasangka yang telah menjejaskan perpaduan kaum pada masa ini.
Ketiadaan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2008 mengundang beberapa kemusykilan dalam benak saya. Adakah kerana Menteri yang bertanggungjawab bukan Islam maka dia telah menggunakan kedudukannya untuk menasihatkan Perdana Menteri supaya tidak perlu diadakan Rumah Terbuka Malaysia Aididilfitri 2008? Atau adakah kerana Perdana Menteri dan Kabinet terlupa sebab menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada isu-isu lain khususnya isu politik dan kenaikan harga? Atau adakah sebab-sebab lain yang disembunyikan?
Yang nyata, ketiadaan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2008 adalah satu kerugian bukan sahaja kepada umat Islam, dakwah Islam, dan pengukuhan ukwah Islamiah, malah kepada negara Malaysia. Pemerintah dan dan para pemimpin tanpa mengira ideologi politik dan anutan mereka seharunya mengambil kesempatan pada kemuliaan 1 Syawal itu untuk memperkukuh negara Malaysia yang kita cintai ini.
Kerajaan juga tidak sepatutnya membesar-besarkan sambutan yang bukan Islamik berbanding sambutan yang Islamik kerana dunia tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan Islam adalah agama rasmi Malaysia.
Semoga ketiadaan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2008 ini akan menghapuskan semua jenis Rumah Terbuka Malaysia pada masa-masa akan datang.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Tuesday, 16. September 2008, 03:39:37
Alhamdulillah! Segala puji hanya kepada Allah, Tuhan Seluruh Alam. Yang menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Yang meng'ada'kan yang tiada dan men'tiada'kan yang ada. Yang Memelihara segala yang di langit dan segala yang di bumi serta segala yang ada di antara keduanya (antara langit dan bumi).
Alhamdulillah! Juga atas limpah kurnia-Nya, kerana pada hari ini, umat Islam telah menyempurnakan 16 hari ibadah puasa mereka, meskipun ada yang tak sampai.
Di Malaysia, 16 September iaitu hari ini, ada cerita tersendiri yang bakal tercatat dalam sejarah. Tentunya cerita politik. Diuar-uarkan konon pada hari ini akan berlaku pertukaran kerajaan daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Parti UMNO kepada Barisan Alternatif (BA) atau Pakatan Rakyat (PR) yang ditunjangi Parti KeAdilan Rakyat (KeAdilan). Begitulah yang ditegaskan oleh Ketua Umum yang juga Penasihat Parti KeAdilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa bulan lalu. Tepatnya, sejak keputusan PRU12 diketahui sepenuhnya pada malam 9 Mac 2008.
Berita pertukaran kerajaan Malaysia pada 16 September (hari ini) sudah tentu juga ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk Malaysia, apakah ia benar-benar akan terjadi atau sebaliknya. Bahkan, keyakinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap peristiwa 16 September ini hampir-hampir menyebabkan ramai umat Islam di Malaysia terlupa bahawa hari ini sebenarnya adalah 16 Ramadhan.
Pertukaran wajah kerajaan Malaysia pada 16 September/Ramadhan iaitu hari ini, sememangnya harus dilakukan. Kerana 16 September/Ramadhan hari ini adalah hari yang diberkahi. Namun bukanlah pertukaran itu mesti daripada BN kepada BA/PR kerana ia tidak mengubah apa-apa sebenarnya kecuali pergiliran tokoh-tokoh politik tanah air memerintah negara ini.
Sebaiknya-baiknya tiga parti politik utama iaitu UMNO, PAS dan KeAdilan bersatu tenaga membuat perubahan dalam kerajaan Malaysia pada hari ini, 16 September/Ramadhan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang 'Tulen' setelah pengisytiharan mengenainya dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Y.A.B Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, beberapa bulan sebelum beliau berundur dari kerajaan beberapa tahun lalu.
Sekiranya perubahan kerajaan Malaysia menjadi sebuah kerajaan Islam ini dapat dilakukan (Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah diisytiharkan oleh Tun Dr. Mahathir sejurus sebelum beliau bersara beberapa tahun lalu), rakyat Malaysia bukan sekadar menyambut 16 September sebagai Hari Malaysia (hari terbentuknya Persekutuan Malaysia) tetapi juga akan menyambut 16 September sebagai Hari Kemenangan. Dan 16 September/Ramadhan hari ini sebenarnya adalah diberkahi kerana esok 17 Ramadhan/September adalah Hari Nuzul al-Quran.
Namun keupayaan manusia hanya boleh merancang, Allah jua yang menentukan.
"Ya Allah ya tuhan kami, Iyaa kana' budu wa iyaa kanastha'in...."
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Saturday, 16. August 2008, 16:14:04
A'uzubillahiminasy-syatanir-rajim. Bismillahir-rahmanir-rahim.Mengikuti perkembangan terkini ehwal dalam negara kita sangat menarik namun amat menakutkan. Menarik kerana percaturan politik merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh telah bermula. Menakutkan kerana Mohd Saiful yang mendakwa diliwat oleh calon PKR yang merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh itu, telah bersumpah.
Dalam tulisan ini saya tidak menyentuh hal-hal yang menarik itu kerana apa pun keputusannya, yang menang adalah rakyat Malaysia dan Malaysia dapat membuktikan kepada dunia luar betapa demokrasi amat subur di Malaysia ini sesubur tanah taninya.
Yang membimbangkan saya adalah hal-hal yang menakutkan itu. Cuba kita perhatikan petikan-petikan yang berikut ini:-
Datuk Hadi AwangPresiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lafaz sumpah itu dengan memegang al- Quran adalah sama macam orang Kristian yang memegang bible. Oleh itu katanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menyahut cabaran untuk bersumpah.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 11:51am
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyifatkan tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang membuat sumpah laknat bahawa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sebagai tindakan bodoh dan tidak mengikut syariat Islam.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429
Datuk Seri Najib Tun Razak
Dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa sumpah yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan bahawa dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak mematuhi hukum Islam sebenar hanya merupakan pandangan peribadi Presiden Pas itu semata-mata.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendapat ulama dalam hal berkenaan adalah berbeza.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 5:23pm
Datuk Nik Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui cara bersumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, memang mengikut cara Islam.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 3:19pm
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429
Tun Dr Mahathir Mohamed
Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersumpah dengan nama Allah sambil memegang kitab suci al-Quran untuk meyakinkan masyarakat bahawa beliau tidak meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam ceramahnya sebelum ini bahawa beliau telah bersumpah adalah tidak memadai.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 12:33pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu bersumpah mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran tuduhan liwat membabitkannya.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, bekas pembantu peribadi kepada Penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.
“Sumpah banyak kalipun tapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai,” katanya kepada pemberita
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429
Petikan-petikan di atas adalah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh tokoh-tokoh utama Melayu baik dalam bidang politik mahu pun bidang Fikih.
Sebagai seorang umat Islam saya amat khuatir dengan kenyataan-kenyataan ini yang memperlihatkan perselisihan pendapat. Sememangnya dalam Islam wujud perbezaan pandangan antara mazhab tetapi di Malaysia sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Mazhab Syafie yang diguna pakai.
Tambah mengelirukan dan menakutkan saya kenyataan Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang saya tanda dengan tulisan warna merah itu. Ia seolah-olah memperlihatkan kedangkalan Dr. Wan Azizah terhadap hukum-hakam Islam. Setakat yang saya fahami, sumpah diperlukan justeru kerana tiada bukti atau saksi yang boleh ditunjukkan; kalau bukti sudah ada dan jelas ia boleh membuktikan maka sumpah tidak diperlukan.
Sehubungan dengan itu, saya selaku umat Islam di Malaysia dan selaku warganegara Malaysia menyeru agar Majlis Mufti mengambil langkah perlu untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan lebih-lebih di kalangan orang bukan Islam. Majlis Mufti, Persatuan Ulama, UIA, Pengamal Undang-Undang Syariah dan mereka yang kompeten perlu duduk semeja dan mengeluarkan kenyataan atau fatwa mengenai perkara ini - soal prosedur pertuduhan, pertuduhan, keterangan saksi, bukti dan hal-hal pembuktian serta sumpah.
Saya amat khuatir dan berasa takut jika selepas ini perbuatan sumpah menjadi semacam satu permainan lidah dan dipandang ringan oleh masyarakat sehingga kita semuanya ditimpah laknat daripada Allah s.w.t.
Apa pun saya tetap pasrahkan diri kepada Allah s.w.t dan mudah-mudah segala yang berlaku ini membawa satu hikmah yang merahmati seluruh umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seantero dunia. Mudah-mudahan apa yang berlaku ini menjadi pangkal kepada penyempurnaan Akta Keterangan Syariah dan/atau Prosedur Kehakiman Syariah atau undang-undang syariah yang seumpamanya, sekaligus menjawab kebimbangan Majlis Peguam dan pendokong-pendokongnya. Amiiinnn...
Wallhu A'lam
Saturday, 2. August 2008, 18:34:29
Senario politik tanah air menyaksikan seolah-olah pilihan raya umum belum bermula. Hal ini disebabkan beberapa perkara yang antaranya termasuklah pengumuman oleh mantan TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam tahun ini. Pemilihan dalam pucuk pimpinan UMNO dan parti-parti komponen BN yang dijadual pada akhir tahun ini turut memanjangkan lagi suasana berkempen.
Terbaru menyaksikan pengorbanan oleh seorang isteri sehingga sanggup meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen semata-mata kerana ingin memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil, sebagai calon Ahli Parlimen. Ini sangat penting kerana jika ia tidak dilakukan, pengumuman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan menjadi ibarat pungguk rindukan bulan.
Di atas kertas, Datuk Seri Anwar kata dia selamat untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen sekali pun bukan di Permatang Pauh, kawasan yang dikosongkan oleh isterinya itu. Demikianlah suburnya demokrasi di Malaysia yang tercinta ini. PAS, yang saya jangkakan akan bergabung dengan BN 15 tahun dari sekarang hampir-hampir saja menubuhkah kerajaan campuran dengan lawan dan musuh tradisinya iaitu UMNO di negeri yang diperintah olehnya.
Tetapi yang menarik perhatian saya ialah jika ditakdirkan (ketentuan qadha' dan qadar), setelah Datuk Seri Anwar bertanding merebut kerusi Ahli Parlimen Permatang Pauh, dia kalah. Apa lagi pula yang akan berlaku, selepas itu?
Sebagaimana yang ditiupkan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin bahawa pilihan raya kecil di Permatang Pauh bukan sahaja peluang bagi Datuk Seri Anwar untuk menjadi Ahli Parlimen, tetapi juga peluang kepada BN untuk memenangi semula kawasan itu.
Mungkinkah rusuhan besar-besaran akan berlaku di Permatang Pauh? Akibatnya, mungkinkah Pak Lah akan mengadap Mr. Samun George Bush itu? Mungkinkah OIC akan mengambil tindakan ke atas Malaysia kerana Datuk Seri Anwar kalah padahal konon dia antara pemimpin Malaysia yang mendapat sokongan pemimpin Islam sedunia?
Kerana manusia sering berusaha untuk mencapai apa yang dikehendakinya tetapi Allah jua yang Maha Mengetahui. Sifat Kepenyayangan dan Kepengasihanian Allah s.w.t kadang-kadang menyebabkan manusia menerima natijah yang tidak dikehendaki olehnya, yang secara langsung menjadi ujian kepada keimanannya.
Sama-samalah kita fikir, tunggu dan lihat tetapi rakyat Malaysia di Permatang Pauh tidak harus menjadi mangsa dan kuda untuk mencapai impian mana-mana pihak yang rindukan kemenangan dipihaknya.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Thursday, 10. July 2008, 11:52:34
Salam sejahtera. Membaca tajuk artikel ini, sebilangan orang mungkin berasa pelik tetapi sebilangan yang lain boleh menerimanya dengan lapang manakala sebilangan yang lain tidak berasa apa-apa, dan sebilangan yang lain lagi mungkin telah mengamalkannya.
Sebenarnya, melalui artikel ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca. Semoga ia akan menjadi pengajaran yang berguna, atau memberikan ilham yang bermanfaat kepada kita dalam usaha kita memberi pendidikan kepada anak-anak, atau dalam usaha kita memotivasikan generasi muda, atau dalam usaha kita untuk mencari kepuasan diri sendiri.
Dua hari yang lalu, saya makan di ruang tamu di sebelah komputer peribadi (PC) saya. Sebenarnya tinggal saya seorang yang belum makan kerana asyik menghadap komputer.
Apabila isteri saya membawa set makanan untuk saya hingga ke ruang tamu, baharulah saya berhenti sekejap daripada 'berkomputer' dan menghadap makanan. Saya panggil anak sulung kami untuk makan sama. Dia tak nak sebab mereka baharu sahaja selesai makan. Saya pun makanlah seorang.
Dipendekkan cerita, saya dah selesai makan. Saya pun ambillah mangkuk plastik yang berisi air untuk mencuci tangan, dengan tangan kiri memegang mangkuk tersebut.
Tanpa semena-mena saya terkesan sesuatu semasa saya merendamkan tangan kanan saya ke dalam mangkuk tersebut. Saya tercengang seketika, cuba mengingat sesuatu sambil memandang ke arah anak sulung kami Mohd Shhrul Alam Shah. Mohd Shahrul hairan melihat gelagat saya. Lalu saya memanggilnya dan meminta dia memegang mangkuk cucian tangan itu. Setelah dia pegang saya beri arahan untuk memberi tumpuan kepada mangkuk tersebut. Saya benamkan tangan saya beberapa kali sehingga akhirnya dia terkesan apa yang saya temui itu. Dalam memberi arahan kepada Mohd Shahrul itu, saya cuba berusaha untuk mengingat apakah benda itu. Dan, akhirnya saya dapat mengingat kembali setelah ditinggalkan kira-kira 28 tahun yang lalu - ya, itulah; Prinsip Archimedes.
Saya belajar tentang Prinsip Archimedes semasa saya di Tingkatan 5 Sains, SMK Agaseh, Lahad Datu. Kalau tak silap dalam subjek Sains Fizik.
Dalam keadaan mangkuk cucian tangan masih dipegang oleh Mohd Shahrul, saya cuba terangkan kepadanya kenapa mangkuk itu terasa lebih berat kalau tangan dimasukkan ke dalam mangkuk itu walaupun ia tidak menyentuh dasar mangkuk. Setelah beberapa kali saya terangkan, Mohd Shahrul mula faham. Saya pun bergegas ke komputer yang sedia online pada masa itu. Saya cuba mencari grafik dengan kata kunci 'archemedes'. Walaupun kata kunci itu kurang tepat, tetapi enjin carian yahoo menyenaraikan cadangan kepada hasil carian itu dengan pembetulan ejaan iaitu 'archimedes'.
Alhamdulillah, saya menemui satu grafik yang sesuai untuk saya gunakan dalam usaha memberi kefahaman kepada Mohd Shahrul. Syukur, dia dapat memahami Prinsip Archimedes yang saya terangkan itu. Saya juga memberi tahu Mohd Shahrul bahawa dia akan belajar perkara ini 10 tahun dari sekarang. Ini kerana dia baru dalam Tahun 1 sedangkan Prinsip Archimedes hanya akan diajar di tahap Tingkatan 4 atau 5 (dengan andaian tiada perubahan silibus. Saya belajar Prinsip Archimedes semasa Tingkat 5.)
Kesimpulan yang saya dapat, dan itulah yang saya tanamkan dalam pemikiran Mohd Shahrul bahawa untuk menjadi seorang Ahli Sains, tidak semestinya memerlukan makmal. Bahkan dengan hanya mangkuk cucian tangan itu, dan dimeja makan pula, boleh ditemui satu teori sains.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Nota:
Tulisan ini mungkin tidak tersusun dari segi penyampaian. Tetapi memadailah kalau pembaca dapat memahami matannya. Saya mengalu-alukan kepada pembaca yang mempunyai kepakaran menulis, untuk mengolah semula tulisan ini supaya lebih mudah difahami.
A: RINGKASAN UJIKAJI BERDASARKAN PERISTIWA DI ATAS
1. Ambil sebuah mangkuk kecil.
2. Isikan mangkuk tersebut dengan air kira-kira 2/3 penuh.
3. Angkat mangkuk yang telah berisi air itu dengan sebelah tangan anda.
4. Masukkan tangan anda yang satu lagi ke dalam mangkuk sehingga sebahagiannya terendam dalam air.
B: PEMERHATIAN
1. Paras air dalam mangkuk akan meningkat.
2. Berat keseluruhan mangkuk akan bertambah.
Nota: Jika anda tidak menemui keputusan seperti dalam pemerhatian itu, ulangi Langkah A: 3 & 4 di atas beberapa kali. Anda pasti mendapatinya.
1 2 3 4 5 ... 17 Next »
Showing posts 1 -
5 of
81.