Skip navigation.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

~ Blog Peribadi: Menjana Pemikiran Kritis & Kreatif ~

PENDIDIKAN: UKURAN PENCAPAIAN SEBENAR

Baru beberapa minit tadi detik 12 malam berlalu. Menandakan hari pertama daripada 365 hari untuk pusingan kalendar 2009 berakhir. Sepatutnya hari ini kita telah mencapai sesuatu yang lebih baik daripada semalam supaya dengan itu kita dapat meningkatkannya lagi pada besok hari. Demikianlah sepatutnya kita tinggalkan tahun 2008 dengan sesuatu kejayaan yang lebih baik daripada tahun 2007 supaya dengan kejayaan itu kita dapat melakar kejayaan yang lebih baik pada tahun 2009 ini.

Untuk mencapai sesuatu kejayaan, ia tidak akan datang bergolek. Ia perlu diusahakan. Namun mengusahakan sesuatu tanpa ilmu boleh menjerumuskan kita kepada suatu kerugian. Ilmu adalah pangkal untuk kita mencapai kejayaan. Hanya dengan ilmu kita dapat memperbaiki pencapaian hari ini berbanding prestasi semalam. Dan hanya dengan ilmu kita mampu melangkah lebih jauh pada hari esok untuk menagih suatu kejayaan yang lebih baik.

Di Malaysia, dua tiga hari yang lalu telah diumumkan keputusan Peperiksaan Menengah Rendah yang menjadi ujian tahap pencapaian murid sekolah menengah di Tingkatan Tiga. Difahamkan pencapaian tahun 2008 berbanding tahun 2007 adalah lebih baik. Tahniah kepada seluruh golongan pendidik di seluruh negara. Tanpa tunjuk ajar dan dedikasi kalian, sudah tentu murid-murid ini tidak akan mampu mencapai apa yang telah mereka capai dalam PMR baru-baru ini. Peratusan kelulusan yang lebih baik ini telah menggembirakan banyak pihak - ibu bapa, murid, guru, sekolah hinggalah ke peringkat Kementerian Pelajaran.

Namun di sebalik ramai yang cemerlang itu, ada juga yang tidak berjaya. Mungkin juga ada yang cemerlang semasa UPSR dahulu tetapi tidak menyerlah dalam PMR. Mereka ini bukan sahaja malang tetapi gagal mengekalkan prestasi terbaik mereka pada peringkat UPSR. Jika pencapaian PMR mereka sudah lemah berbanding prestasi UPSR mereka, bagaimanakah mereka dapat meningkatkan mutu pembelajaran mereka untuk menghadapi SPM kelak?

Justeru itu sesuatu harus dilakukan kepada golongan ini. Kaedah perlu dicari untuk mengurangkan jumlah murid yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang ini. Di sesetengah tempat - hingga kini - ada murid di tahap Tingkatan Satu atau Dua yang masih tidak pandai membaca. Mereka ini bakal kecundang dalam PMR 2009 ini. Tetapi siapa yang bersedih atas kelemahan mereka itu?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya pencapaian penyampaian pendidikan juga harus dilihat dari sudut 'sejauh mana penurunan peratus dan bilangan murid yang gagal ini telah dapat ditangani' - bukan semata-mata melihat sejauh mana peningkatan peratus dan bilangan murid yang cemerlang.

Hal ini amat mustahak kerana secara semulajadinya tidak ada orang yang mahu gagal atau tercicir. Tetapi kenapa masih ada yang gagal atau lemah pada hal pelbagai kemudahan telah disediakan? Kita tidak sepatutnya berasa kagum dan bangga apabila ramai pelajar kita yang cemerlang kerana itu sudah menjadi matlamat setiap murid (orang belajar) untuk berjaya dengan cemerlang - dan itulah yang kita kehendaki. Tetapi kita mesti bersedih dan tidak berpuas hati jika kita gagal mencantas kegagalan dari membelenggu kalangan anak-anak kita kerana 'kegagalan' itu bukan tujuan mereka dan kita tidak menghendakinya. Oleh sebab itu, prestasi 'kegagalan' yang direkodkan harus menjadi penunjuk utama pencapaian penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara kita, sesuai dengan tujuan pengajaran dan pembelajaran itu sendiri iaitu untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada murid yang belajar.

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH

Dalam pandangan sains yang diperkenalkan Barat manusia tidak lain hanyalah satu spesis daripada beberapa banyak spesis haiwan. Maka jika demikian, usah mengharapkan dan jangan dibiarkan manusia untuk mengatur hidup masyarakat kerana mereka adalah haiwan. Dan justeru itu, manusia tidak patut berlagak sebagai juara di muka bumi kerana mereka tidak lain melainkan hanya sekumpulan haiwan.

Fahaman ini menentang kebenaran hakiki yang disampaikan dalam kitab-kitab agama samawi iaitu Taurat, Injil dan Al-Quran, bahawa manusia itu adalah makhluk istimewa yang diciptakan oleh Yang Maha Agung, Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, Allah s.w.t.

Dalam al-Quran, manusia diberitahu bahawa mereka (manusia) diciptakan untuk dua tujuan utama iaitu sebagai hamba untuk mengabdi hanya kepada Allah semata-mata, dan juga sebagai khalifah untuk mentadbir di muka bumi dan mengurus kehidupan masyarakat. Kedua-dua elemen ini jelas dalam kewujudan hukum fardu ain dan fardu kifayah.

Oleh kerana umat Islam adalah masyarakat yang mempercayai dan meyakini al-Quran, maka sewajarnya mereka sebagai khalifah wajib melihat muka bumi (global) sebagai satu dunia yang perlu ditadbir dan masyarakat di seluruh muka bumi (manusia keseluruhannya) sebagai satu komuniti yang perlu diuruskan.

Persoalannya, pada hari ini, adakah umat Islam telah memainkan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan ajaran Islam yang diterangkan dalam al-Quran itu?

Kita lihat dan kita ketahui muka bumi telah mengalami banyak perubahan dan akan terus berubah. Kita juga melihat dan mengetahui masyarakat global (manusia pada keseluruhannya) telah berubah dan akan terus berubah, baik dari segi fizikal atau jasmani mahupun spiritual atau rohani. Perubahan-perubahan ini secara langsung memberi kesan kepada mentaliti dan syahwat manusia.

Justeru itu, umat Islam sebagai manusia pilihan harus kembali memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Umat Islam tidak sepatutnya hanya memikirkan masalah setempat. Umat Islam tidak seharusnya hanya berasa bertanggungjawab ke atas pencapaian mereka sebagai individu atau kelompok yang lebih kecil. Umat Islam tidak seharusnya hanya memfokus kepada penyelesaian masalah dan pembinaan masyarakat suku bangsanya.

Sudah tiba masanya umat Islam harus berfikiran sejagat berminda khalifah. Sudah tiba masanya umat Islam harus melihat dunia global (muka bumi) sebagai jajahan atau daerah yang perlu ditabdir dan masyarakatnya (manusia) diuruskan mengikut prinsip-prinsip yang diterangkan dalam al-Quran, al-Hadis dan Sunnnah Rasulullah s.a.w. Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula kaedah atau pendekatan pengurusan dalam Islam. Sudah tiba masanya untuk mendahulukan fardu kifayah berbanding fardu ain sebagaimana yang ditekankan selama ini; atau sekurang-kurangnya kedua-dua fardu kifayah dan fardu ain ditegaskan sama pentingnya. Sudah tiba masanya individu dan umat Islam bukan sekadar 'menghitung' apa yang telah dimilikinya tetapi 'memperkirakan' apa yang telah dia dan mereka sumbangkan dalam pembinaan tamadun manusia di muka bumi dan sebesar mana sumbangan itu jika ada.

Justeru itu, individu dan umat Islam tidak seharusnya mengharapkan 'balasan' langsung terhadap setiap buah fikiran, sumbangan, pengorbanan dan pekerjaan yang mereka lahirkan, berikan atau lakukan, daripada pihak yang menggunakan buah fikir mereka itu, atau pihak yang menerima faedah dan manfaat daripada sumbangan atau pekerjaan mereka itu. Hal ini kerana Islam telah menjelaskan bahawa Allah akan mencukupkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah telah berjanji akan menolong sesiapa yang menolong-Nya dalam menegakkan kebenaran al-Quran dan syiar Islam di muka bumi. Bahkan Allah telah menganugerahkan akal dan fikiran kepada seluruh manusia supaya dengan akal dan fikiran tersebut mereka dapat melakukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Wallahu A'lam

FIKIR! FIKRI! DAN FIKIR!

SELAMAT HARI RAYA - MAAF ZAHIR DAN BATIN

Dalam kita meniti hari-hari yang kita lalui dalam kehidupan ini, tak terasa kita telah menghampiri hari penutupan 2008. Sudah tentu banyak perkara telah kita lakukan dan telah kita alami.

Perkara-peraka yang telah kita lakukan itu tidak semestinya dapat menyenangkan orang lain atau dapat diterima dengan baik oleh orang lain, sekalipun nawaitu kita baik. Ini tidak terkecuali terhadap diri saya dan blog Fikir! Fikir! Dan Fikir!

Justeru itu, dalam kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca dan pengunjung blog Fikir! Fikir! dan Fikir! dan juga kepada sesiapa yang mengenali diri saya walau di mana juga kalian berada.

"Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin"

Wassalam

ANUGERAH MERDEKA


Pada 5 Ogos 2006, saya menulis Sambutan Hari Merdeka: Masih Relevankah Lagi? Artikel tersebut adalah antara artikel yang paling mendapat perhatian pembaca blog ini dan menerima banyak kritikan. Terima kasih kepada semua yang telah memberi komen ke atas artikel tersebut.

Pada pagi hari ini, saya menonton Buletin Utama TV3 melalui Internet. Ini kerana di rumah saya, walaupun berada hanya satu kilometer dari pusat bandar tetapi tidak dapat menerima siaran televisyen sama ada RTM atau TV3. Justeru itu, saya hanya berpeluang mengikut siaran tertunda dan sukar mengikuti perkembangan semasa kecuali melalui siaran tertunda atau membaca akhbar.

Apabila saya klik Buletin Utama TV3 bertarikh 22 November 2008, saya rasa gembira kerana apa yang saya tulis sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-49 dua tahun lalu diambil perhatian, apabila Petronas, ExxonMobil dan Shell mengambil inisiatif memperkenalkan Anugerah Merdeka. Buletin Utama TV3 22 November menyiarkan tahun 2008 ini adalah edisi kedua Anugerah Merdeka yang diperkenalkan tahun lalu tetapi berita Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meraikan para penerima sulung Anugerah Merdeka pada satu majlis penyampaian anugerah di Dewan Filharmonik Petronas di sini, hari Isnin.

Namun alangkah bangga dan gembiranya para penerima Anugerah Merdeka itu apabila dipanggil untuk menerima anugerah di tengah-tengah lautan manusia jika majlis penyampaian itu dilakukan semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan, bersesuaian dengan namanya sebagai Anugerah Merdeka?

Bahkan ia akan meninggalkan kesan lebih mendalam kepada bukan sahaja para penerima yang terpilih tetapi hadirin yang melauti Sambutan Hari Kebangsaan itu serta para penonton siaran langsung di seluruh negara.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

# Di bawah ini adalah berita yang dikeluarkan oleh Bernama.

----------------------------------------
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama)-- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meraikan para penerima sulung Anugerah Merdeka pada satu majlis penyampaian anugerah di Dewan Filharmonik Petronas di sini, hari Isnin.

Para penerima anugerah yang dipilih bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam lima kategori adalah Professor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (kategori Pendidikan dan Komuniti); Persatuan Pencinta Alam Malaysia (kategori Alam Sekitar); Pasukan Penyiasat Penyakit Nipah Encephalitis daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Professor Datuk Dr Khalid Kadir (penerima bersama kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi) dan Datuk Leslie Davidson (kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia).

Penerima setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah piala dan sijil daripada Perdana Menteri, yang merupakan penaung kepada anugerah itu.

Anugerah Merdeka diberikan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dan organisasi yang hasil kerja dan pencapaiannya memberikan kesan cemerlang kepada Malaysia dan rakyatnya.

Anugerah Merdeka, yang merupakan inisiatif bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell, dilancarkan oleh Abdullah pada 27 Ogos tahun lepas sempena sambutan Jubli Emas kemerdekaan negara.

-- BERNAMA

OBAMA OH OBAMA

Tahun 2008 merupakan permulaan suku ketiga dekad pertama kurun ini. Banyak perkara telah berlaku yang sama-sama telah kita saksikan. Jika permulaan dekad ini dibuka dengan penguasaan Gorge Bush Jr. di White House yang kemudian meninggalkan pelbagai kesan buruk sejagat, maka akhir dekad ini ditutup bukan sahaja mengiringi bersama pemergian Bush dari White House tetapi memberi harapan baru dalam persekitaran global dengan terpilihnya Barack Obama sebagai pengganti Presiden Amerika. Maka ramailah pihak yang menarik nafas lega sambil menaruh harapan agar kemelut global yang ditinggalkan Bush Jr. dapat dirungkai.

Kemenangan Barack Obama bukan sahaja diharapkan oleh rakyat Amerika yang mengundinya malah turut dinantikan oleh banyak pihak sama ada sebagai sebuah negara mahu pun sebagai individu, tanpa mengira fahaman politik dan anutan agama.

Sesungguhnya kemenangan Obama adalah satu sejarah. Kemenangan Barack Obama bukan sahaja satu sejarah Amerika yang selama ini memandang rendah masyarakat kulit hitam tetapi turut mencorak dalam lipatan sejarah dunia apabila ia disambut oleh resesi ekonomi Amerika yang telah mempengaruhi ekonomi sejagat. Persidangan negara-negara G-20 yang diadakan di Amerika Syarikat turut melihat perlunya digubal dasar ekonomi global yang baru. Ini bermakna dasar ekonomi global yang digubal pada atau selepas Perang Dunia II akan digantikan atau diperbaiki.

Namun yang lebih penting, kemenangan Obama sangat diharapkan oleh banyak negara sedang membangun termasuk negara-negara OIC agar ia dapat menghentikan peperangan yang telah dimulakan oleh Goerge Bush Jr. ke atas negara-negara Teluk.

Persoalannya, benarkan Barack Obama akan menghentikan perang negaranya ke atas negara-negara Teluk serta negara-negara Islam yang lain? Apa pun, hanya Barack Obama sendiri dan Khalik Sang Pencipta yang tahu apa rancangannya selepas menduduki White House pada 20 Jan 2009.

Kepada negara-negara OIC dan umat Islam kemenangan Obama tidak harus menjadi pangkal kegembiran mereka dalam usaha mentadbir dan memajukan negara masing-masing serta melakar sejarah dunia atau memperkukuh dakwah dan ukhwah sejagat. Kepada negara-negara OIC dan umat Islam kemenangan Obama harus dapat mempertingkat tahap ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana doa mereka telah dikabulkan dengan izin-Nya.

Keangkuhan masyarakat kulit putih Amerika ke atas masyarakat kulit hitam telah mereka padamkan sendiri melalui kemenangan Obama. Doa dan harapan umat Islam Amerika dan sejagat agar Amerika tidak bertindak kasar ke atas umat Islam, insya-Allah akan dikabulkan-Nya.

Mungkinkah kemenangan Obama akan menjadi titik permulaan Islam menguasai Amerika sebagai mana ditiupkan oleh ulama yang disorot dalam filem FITNA itu? Jika rakyat Amerika sanggup membuang nilai tradisi mereka yang memandang rendah ke atas masyarakat kulit hitam sekaligus berani dan berjaya mengubah sejarah Amerika apabila Obata dicatat sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika, maka tidak mustahil selepas Obama rakyat Amerika sekali lagi akan mengubah sejarah negara mereka dengan memilih Presiden pertama dari kalangan umat Islam; insya-Allah.

Juteru itu umat Islam tidak harus menyambut kemenangan Barack Obama dengan harapan dan kegembiraan tetapi sambutlah dengan rasa keinsafan dan ketaqwaan serta kesyukuran kepada Allah.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

January 2009
M T W T F S S
December 2008February 2009
1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30 31