Skip navigation.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

~ Blog Peribadi: Menjana Pemikiran Kritis & Kreatif ~

August 2008

( Monthly archive )

CAMPUR TANGAN MAJLIS FATWA

A'uzubillahiminasy-syatanir-rajim. Bismillahir-rahmanir-rahim.

Mengikuti perkembangan terkini ehwal dalam negara kita sangat menarik namun amat menakutkan. Menarik kerana percaturan politik merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh telah bermula. Menakutkan kerana Mohd Saiful yang mendakwa diliwat oleh calon PKR yang merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh itu, telah bersumpah.

Dalam tulisan ini saya tidak menyentuh hal-hal yang menarik itu kerana apa pun keputusannya, yang menang adalah rakyat Malaysia dan Malaysia dapat membuktikan kepada dunia luar betapa demokrasi amat subur di Malaysia ini sesubur tanah taninya.

Yang membimbangkan saya adalah hal-hal yang menakutkan itu. Cuba kita perhatikan petikan-petikan yang berikut ini:-
Datuk Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lafaz sumpah itu dengan memegang al- Quran adalah sama macam orang Kristian yang memegang bible. Oleh itu katanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menyahut cabaran untuk bersumpah.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 11:51am
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyifatkan tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang membuat sumpah laknat bahawa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sebagai tindakan bodoh dan tidak mengikut syariat Islam.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429


Datuk Seri Najib Tun Razak


Dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa sumpah yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan bahawa dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak mematuhi hukum Islam sebenar hanya merupakan pandangan peribadi Presiden Pas itu semata-mata.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendapat ulama dalam hal berkenaan adalah berbeza.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 5:23pm


Datuk Nik Aziz Nik Mat


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui cara bersumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, memang mengikut cara Islam.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 3:19pm
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429


Tun Dr Mahathir Mohamed


Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersumpah dengan nama Allah sambil memegang kitab suci al-Quran untuk meyakinkan masyarakat bahawa beliau tidak meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam ceramahnya sebelum ini bahawa beliau telah bersumpah adalah tidak memadai.
Utusan Malaysia Online: 16/08/2008 12:33pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu bersumpah mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran tuduhan liwat membabitkannya.
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429


Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, bekas pembantu peribadi kepada Penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

“Sumpah banyak kalipun tapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai,” katanya kepada pemberita
MUTAKHIR: Berita Harian Online Sabtu, 16 Ogos 2008 / 14 Syaaban 1429


Petikan-petikan di atas adalah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh tokoh-tokoh utama Melayu baik dalam bidang politik mahu pun bidang Fikih.

Sebagai seorang umat Islam saya amat khuatir dengan kenyataan-kenyataan ini yang memperlihatkan perselisihan pendapat. Sememangnya dalam Islam wujud perbezaan pandangan antara mazhab tetapi di Malaysia sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Mazhab Syafie yang diguna pakai.

Tambah mengelirukan dan menakutkan saya kenyataan Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang saya tanda dengan tulisan warna merah itu. Ia seolah-olah memperlihatkan kedangkalan Dr. Wan Azizah terhadap hukum-hakam Islam. Setakat yang saya fahami, sumpah diperlukan justeru kerana tiada bukti atau saksi yang boleh ditunjukkan; kalau bukti sudah ada dan jelas ia boleh membuktikan maka sumpah tidak diperlukan.

Sehubungan dengan itu, saya selaku umat Islam di Malaysia dan selaku warganegara Malaysia menyeru agar Majlis Mufti mengambil langkah perlu untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan lebih-lebih di kalangan orang bukan Islam. Majlis Mufti, Persatuan Ulama, UIA, Pengamal Undang-Undang Syariah dan mereka yang kompeten perlu duduk semeja dan mengeluarkan kenyataan atau fatwa mengenai perkara ini - soal prosedur pertuduhan, pertuduhan, keterangan saksi, bukti dan hal-hal pembuktian serta sumpah.

Saya amat khuatir dan berasa takut jika selepas ini perbuatan sumpah menjadi semacam satu permainan lidah dan dipandang ringan oleh masyarakat sehingga kita semuanya ditimpah laknat daripada Allah s.w.t.

Apa pun saya tetap pasrahkan diri kepada Allah s.w.t dan mudah-mudah segala yang berlaku ini membawa satu hikmah yang merahmati seluruh umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seantero dunia. Mudah-mudahan apa yang berlaku ini menjadi pangkal kepada penyempurnaan Akta Keterangan Syariah dan/atau Prosedur Kehakiman Syariah atau undang-undang syariah yang seumpamanya, sekaligus menjawab kebimbangan Majlis Peguam dan pendokong-pendokongnya. Amiiinnn...

Wallhu A'lam

APA PULA SELEPAS INI...

Senario politik tanah air menyaksikan seolah-olah pilihan raya umum belum bermula. Hal ini disebabkan beberapa perkara yang antaranya termasuklah pengumuman oleh mantan TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam tahun ini. Pemilihan dalam pucuk pimpinan UMNO dan parti-parti komponen BN yang dijadual pada akhir tahun ini turut memanjangkan lagi suasana berkempen.

Terbaru menyaksikan pengorbanan oleh seorang isteri sehingga sanggup meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen semata-mata kerana ingin memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil, sebagai calon Ahli Parlimen. Ini sangat penting kerana jika ia tidak dilakukan, pengumuman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan menjadi ibarat pungguk rindukan bulan.

Di atas kertas, Datuk Seri Anwar kata dia selamat untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen sekali pun bukan di Permatang Pauh, kawasan yang dikosongkan oleh isterinya itu. Demikianlah suburnya demokrasi di Malaysia yang tercinta ini. PAS, yang saya jangkakan akan bergabung dengan BN 15 tahun dari sekarang hampir-hampir saja menubuhkah kerajaan campuran dengan lawan dan musuh tradisinya iaitu UMNO di negeri yang diperintah olehnya.

Tetapi yang menarik perhatian saya ialah jika ditakdirkan (ketentuan qadha' dan qadar), setelah Datuk Seri Anwar bertanding merebut kerusi Ahli Parlimen Permatang Pauh, dia kalah. Apa lagi pula yang akan berlaku, selepas itu?

Sebagaimana yang ditiupkan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin bahawa pilihan raya kecil di Permatang Pauh bukan sahaja peluang bagi Datuk Seri Anwar untuk menjadi Ahli Parlimen, tetapi juga peluang kepada BN untuk memenangi semula kawasan itu.

Mungkinkah rusuhan besar-besaran akan berlaku di Permatang Pauh? Akibatnya, mungkinkah Pak Lah akan mengadap Mr. Samun George Bush itu? Mungkinkah OIC akan mengambil tindakan ke atas Malaysia kerana Datuk Seri Anwar kalah padahal konon dia antara pemimpin Malaysia yang mendapat sokongan pemimpin Islam sedunia?

Kerana manusia sering berusaha untuk mencapai apa yang dikehendakinya tetapi Allah jua yang Maha Mengetahui. Sifat Kepenyayangan dan Kepengasihanian Allah s.w.t kadang-kadang menyebabkan manusia menerima natijah yang tidak dikehendaki olehnya, yang secara langsung menjadi ujian kepada keimanannya.

Sama-samalah kita fikir, tunggu dan lihat tetapi rakyat Malaysia di Permatang Pauh tidak harus menjadi mangsa dan kuda untuk mencapai impian mana-mana pihak yang rindukan kemenangan dipihaknya.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!


August 2008
M T W T F S S
July 2008September 2008
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31