KRITERIA PEMILIHAN CALON WAKIL RAKYAT
Saturday, December 3, 2011 10:22:18 AM
Dalam artikel Wakil Rakyat Kerjaya Paling Berisiko Tinggi, saya telah mencadangkan agar calon-calon Wakil Rakyat pada masa hadapan harus melalui pelbagai ujian dan tapisan, termasuklah ujian kesihatan, ujian integriti, dan sebagainya selain tapisan kepopularitian. Tiga hari selepas saya menyiarkan artikel tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mencadangkan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.
Hari ini adalah hari akhir Majlis Perhimpunan Agung UMNO 2011, hari penggulungan ucapan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO yang juga pucuk pimpinan tertinggi BN, dan hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia sama ada ahli UMNO, Orang UMNO, ahli parti komponen BN atau orang BN, mahupun orang pembangkang. Hal ini kerana ucapan penggulungan oleh YAB Perdana Menteri selaku Presiden UMNO, akan memberikan 1001 petunjuk bila Parlimen Malaysia akan dibubarkan dan bila tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan.
Bagi parti-parti politik di Malaysia, pembubaran Parlimen amat penting untuk menentukan sama ada mereka dapat memerintah dan mentadbir negara. Bagi individu pemimpin, pembubaran Parlimen amat penting untuk memberi peluang kepada mereka disenaraikan sebagai calon Wakil Rakyat pada PRU13 kelak.
Dalam dua tiga hari ini, sudah pasti akan lebih ramai yang tampil untuk melobi menjadi calon sama ada dalam UMNO/BN atau pembangkang. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar kriteria yang lebih ketat digunakan untuk memilih calon-calon.
Selain daripada harus melalui pelbagai ujian dan tapisan, termasuklah ujian kesihatan, ujian integriti, dan tapisan kepopularitian, saya juga mencadangkan agar mereka yang ingin menjadi calon wakil rakyat dikehendaki membentangkan Pelan Tindakan Pembangunan 5 Tahun Kawasan yang mereka hendak wakili. Pelan Tindakan Pembangunan 5 Tahun Kawasan hendaklah menyeluruh dan mengandungi tindakan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Tindakan selepas pilihan raya hendaklah menyediakan pelan kontinjensi jika kerusi yang mereka tandingi dimenangi oleh pihak lawan. Dengan pelan tindakan ini, pucuk pimpinan bukan sahaja mudah membuat pilihan tetapi dapat menyelami hati budi calon wakil rakyat.
Saya berharap cadangan-cadangan yang saya utarakan seperti di atas akan dijadikan salah satu kriteria dalam penentuan 'winable candidate' yang dijadikan panduan oleh puncuk pimpinan semasa memilih calon Wakil Rakyat untuk bertanding semasa PRU13.








How to use Quote function: