SERUAN DAKWAH KEAMANAN SEJAGAT
Friday, January 6, 2012 2:13:03 PM
Salam Keamanan Sejagat!
Saudara-saudaraku yang seagama para ikhwanul mukminin dan mukminat.
Tuan-tuan dan puan-puan Ahli Kitab (Taurat dan Injil) dan seluruh pengikut kedua-dua kitab tersebut, kamu adalah masing-masing pengikut dan umat Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s, sedang kami akan menjadi saksi terhadap apa yang kamu lakukan dan apa yang kami sendiri kerjakan.
Ketahuilah bahawa Allah telah mensyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w agama yang sama yang telah disyariatkan-Nya kepada Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s. sebagai mana yang telah dijelaskan dalam al-Quran al-Karim, surah 42 ayat 13 [QS:42:13].
Dan, bahawa sesungguhnya Allah telah mensyariatkan supaya menegakkan agama dan melarang supaya jangan bercepah-belah tentangnya [QS:42:13].
Dan sebenarnya, dalam naskhah kedua-dua Kitab Allah Taurat dan Injil yang ada pada hari ini telah ada pemesongan oleh tangan-tangan manusia pada kandungannya yang telah menyebabkan hati kecil kamu sendiri sentiasa berada dalam keragu-raguan tentang kebenarannya.
Sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh umatnya yang beriman, telah beriman kepada semua kitab yang diturunkan Allah (Kitab-Kitab Allah iaitu Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran). Dan Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh umatnya yang beriman telah diperintahkan supaya berlaku adil kepada kamu. Allah-lah tuhan kami dan tuhan kamu. Bagi kamilah amal-amal kami dan bagi kamulah amal-amal kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu kerana Allah akan mengumpulkan kita semua dan hanya kepada-Nyalah kita kembali [Rujuk QS:42:15].
Kami beramal mengikut apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan taat kepada perintah Allah serta mengamalkan ajaran-ajaran dalam al-Quran dan Hadis/Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Maka, kamu sewajarnya beramal masing-masing mengikut apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s, dan taat kepada perintah Allah serta mengamalkan ajaran-ajaran dalam Taurat dan Injil masing-masing.
Marilah kita bersama-sama menegakkan agama dan jangan bercepah-belah tentangnya. Kami akan menegakkan agama sesuai dengan apa yang disyariatkan kepada kami, dan kamu juga wajib menegakkan agama mengikut apa yang disyariatkan kepada kamu.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!








Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, April 3, 2012 3:22:42 PM
Hentikan segera kenyataan sentuh sensitiviti agama
03/04/2012 6:12pm
PUTRAJAYA 3 April – Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) mahu supaya kenyataan berbentuk tuduhan dihentikan serta-merta demi memelihara hubungan dan semangat muhibah antara penganut pelbagai agama yang terjalin selama ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan salah faham.
Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan hubungan baik antara penganut agama dapat dipelihara dan diperkukuhkan dengan mematuhi undang-undang sedia ada, katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini.
"JKMPKA menggesa mana-mana pihak terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dengan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” kata beliau.
Mesyuarat hari ini disertai Jawatankuasa Kerja Persefahaman Terhadap Isu-isu Antara Penganut Agama, Jawatankuasa Kerja Mediasi Antara Penganut Agama dan Jawatankuasa Kerja Acara Bersama Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat untuk membentangkan program-program yang akan dilaksanakan tahun ini. - BERNAMA
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm