Tuesday, 11. August 2009, 17:07:00
Sumber:
Blog 1MalaysiaOleh:
Dato' Sri Najib Tun RazakMonday, 15 June 2009
Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara tanggal 3 April yang lalu, saya telah utarakan sebuah konsep iaitu 1Malaysia sebagai teras pentadbiran saya. Sejak gagasan ini diketengahkan begitu banyak perbincangan dan perbahasan telah berlangsung dikalangan rakyat semua peringkat.
Seperti yang telah saya sebutkan dalam ucapan saya sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 6 Jun yang lalu, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.
Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu. Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.
Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang. 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malahan gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.
Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.
Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.
Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.
Friday, 7. August 2009, 20:17:31
UTUSAN ONLINE
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
Tarikh: 07/08/2009
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
- Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
- Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
- Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
- Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
- Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
- Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
- Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
==================
Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu
06/08/2009 5:03pm
KUALA LUMPUR 6 Ogos — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :
# Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
# Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
# Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
# Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
# Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
# Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
# Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.
(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Saraak).
Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.
Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.
“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).
Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titah baginda.
Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.” “Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia,” titah baginda.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.
“Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat,” titah baginda.
Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.
“Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram,” titah Raja Nazrin Shah.
Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.
— BERNAMA
==================
Rakyat harus hormati peringatan mengenai 7 wasiat raja-raja Melayu
08/08/2009
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan rakyat supaya menghormati peringatan yang diberikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu.
Perdana Menteri berkata, ini adalah kerana pertautan di antara raja dan rakyat penting dan ia telahpun termaktub dalam sejarah Melayu.
"Di antara rakyat dan raja, masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu dalam sesebuah negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas titah ucapan Raja Nazrin yang mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat itu disampaikan oleh raja-raja Melayu sebelum mereka menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Najib berkata: "Kita hormatilah pandangan raja-raja Melayu dan yang penting sekali ialah institusi diraja ini adalah berpaksi kepada dukungan rakyat dan juga pertautan antara raja dan rakyat itu penting." -- Bernama.
================
Amaran terakhir kepada rakyat Malaysia - Zahid
08/08/2009
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusan9@utusan.com.my
SEREMBAN 7 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, mesej yang disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berhubung tujuh wasiat raja Melayu itu adalah amaran terakhir kepada seluruh rakyat negara ini.
Kata beliau, jaminan terhadap kesejahteraan, kedamaian dan keamanan wajar dijaga sebaik mungkin oleh seluruh rakyat negara ini dan tidak sesekali dicemari.
''Saya amat menghormati tujuh wasiat raja Melayu kepada orang Melayu dan seluruh rakyat negara ini. Wasiat ini mempunyai makna yang cukup mendalam.
''Ramai yang sudah terlupa mengenai wasiat ini dan hanya dijadikan bahan sejarah, tetapi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah menjadikannya satu amaran, yang bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi bukan Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar Kecerdasan Emosi dan Spiritual (ESQ) kepada 300 pegawai kanan kementerian, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di sebuah hotel di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan menekankan, tujuh wasiat itu bukan sekadar berbentuk kontrak sosial, tetapi berupa amaran terakhir kepada seluruh rakyat.
''Wasiat itu menyebut penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan ia mempunyai makna tersendiri. Saya tidak bermaksud untuk membangkitkan sebarang isu perkauman, tetapi sekadar menyebut apa yang dilontarkan oleh Raja Muda Perak," ujar beliau.
Utusan Malaysia muka hadapan hari ini memetik titah Raja Nazrin yang mengingatkan tentang tujuh wasiat raja Melayu semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Wasiat berkenaan dihasilkan atas kehendak raja-raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu di negara ini.
Raja Nazrin bertitah, jika usaha tidak segera dirintis akan terkubur khazanah bangsa yang sahih dan berlaku pengubahsuaian terhadap fakta sejarah di kemudian hari menurut kesesuaian serta kehendak kumpulan politik yang memiliki kuasa ketika itu.
==================
Patuhi wasiat raja-raja Melayu - Zambry
08/08/2009
IPOH 7 Ogos - Ingatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berhubung tujuh wasiat raja-raja Melayu wajar dipatuhi oleh semua pihak terutama parti pembangkang di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, tindakan membelakangkan kepentingan wasiat tersebut hanya akan mengundang keadaan yang boleh menghuru-harakan negara.
''Wasiat raja-raja Melayu ini adalah bagi memastikan kesejahteraan negara kerana ia adalah asas kontrak sosial yang merupakan tonggak pembentukan negara kita.
''Sebarang usaha untuk menidakkan wasiat ini akan menghuru-harakan kestabilan negara. Maka itu, semua pihak termasuk pembangkang mesti memahami dan menghayati wasiat raja-raja Melayu ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Zambry, apa yang penting ialah mengambil iktibar dengan beberapa peristiwa yang berlaku kebelakangan ini sekiranya ingatan seumpama itu terus tidak diambil peduli.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii pula berkata, semua pihak yang terlibat perlu meneliti dan menerima wasiat itu secara ikhlas.
Katanya, wasiat itu perlu dipastikan terus wujud dan tidak terus dicabuli oleh mana-mana pihak.
Malah katanya, melalui mesyuarat tahunan UMNO bahagian itu pada 28 Julai lalu, UMNO bahagian Seputeh telah meluluskan usul supaya agensi-agensi kerajaan yang diberi amanah membangunkan tanah di bandar memastikan demografi orang Melayu seiring dengan wasiat raja-raja itu.
=============
Bukti raja berpandangan jauh
08/08/2009
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tujuh wasiat raja Melayu membuktikan sikap bertanggungjawab dan berpandangan jauh institusi beraja dalam menjamin keutuhan dan keamanan negara terus berkekalan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris berkata, wasiat itu juga bertujuan melindungi negara dalam menghadapi cabaran mendatang yang sukar untuk diramal.
"Ia adalah paksi yang perlu didokong dan dipertahankan oleh seluruh rakyat supaya perjuangan dan pencapaian negara selama ini tidak berkubur,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas peringatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Presiden Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Mohd. Saiful Adil Mohd. Daud pula berpendapat, peringatan tersebut memang sudah lama ditunggu dan rakyat perlu mematuhinya.
Beliau berkata, sesuatu yang malang jika orang Melayu terutamanya pihak pembangkang terus mempertikaikan wasiat yang digubal demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang itu.
"Saya berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan institusi beraja serta perkara berkaitan selepas ini tetapi turut sama memelihara dan menjunjung kedaulatan institusi beraja,'' katanya.
Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula mengingatkan seluruh masyarakat memahami dan menghormati Perlembagaan Negara.
Katanya, setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoalkan kerana ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan matlamatnya adalah untuk kepentingan negara.
"Peringatan tentang wasiat tersebut tidak harus dipertikaikan semata-mata kerana kepentingan politik. Ini kerana pembentukannya adalah untuk melindungi kepentingan semua kaum,'' jelasnya.
Friday, 22. May 2009, 14:52:01
Pada 12 Ogos 2006 saya menulis artikel di atas atas. Subjek dalam artikel tersebut telah berada dalam minda/pemikiran saya sejak Januari 2006.
Ramalan: Ekonomi Malaysia Meleset Pada 2009-2013 & 2020 - 2024
October 10th 2008 | Posted by Cyber_Swod
Pada Januari 2008 saya meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan mengalami kemelesetan
pada 2009–2013 dan 2020–2024. Saya membuat ramalan ini berdasarkan intuisi semata-mata
tanpa disokong oleh fakta, tetapi terdorong setelah mengamati graf yang menunjukkan
tren kitaran perniagaan di Malaysia sejak 1966 hingga 2000.
Hari ini saya mendapati artikel tersebut telah diplagiat atau diciplak bulat-bulat (dengan hanya menukar tahun 2006 itu kepada 2008)oleh sebuah laman web, tanpa memberi kredit kepada blog FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR! Pembaca boleh memeriksa artikel saya yang diciplak itu di MassInside.com.
Saya menemui artikel saya diciplak apabila saya memeriksa aliran trafik ke atas blog FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR! pada hari ini, sejurus sebelum saya menulis artikel ini.
Saya mohon agar pihak yang berkenaan menarik balik artikel tersebut daripada laman web mereka atau menyiarkan artikel tersebut dengan menyebutkan dengan jelas sumber rujukan mereka. Di bawah ini saya petik screenshot sebahagian paparan laman web tersebut.
Saya tidak hairan jika seseorang mempunyai daya fikir yang sama seperti saya kerana itu tidak mustahil. Bahkan orang-orang Melayu/Islam mempunyai kepercayaan bahawa setiap orang individu mempunyai 'ENAM' orang lain yang sama seperti dia (klon azali) - bermakna kesemuanya ada 'TUJUH' orang serupa. Tetapi kalau semua perkataan yang tertulis pun 'sama', maka itu bukan lagi kerana 'klon azali' tetapi sesuatu yang disengajakan atau dengan perkataan lain diplagiat atau dalam bahasa kasarnya ditiru atau diciplak.
Kepada yang berkenaan, sila hubungi saya sekiranya anda telah melakukan perubahan ke atas artikel yang telah anda 'rompak' itu sama ada memadam (delete) atau merujukkan kepada sumber asalnya, supaya saya boleh hapuskan artikel ini pula.
[b][i]Kepada pembaca setia blog FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!, apa pendapat
anda mengenai peniruan/perompakan terhadap artikel di atas? Beri pendapat,
cadangan atau komen anda dalam ruangan 'comments'[/i][/b]
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Saturday, 28. March 2009, 12:32:15
Mudah-mudahan tulisan ini dapat memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan
sekalian saudaraku yang muslim. Saya tuliskan semula tanpa sebarang suntingan,
sebahagian kandungan Kitab Hadis Qudsi, yang menghuraikan Hadis Qudsi ke-17.
Allah berfirman dalam Hadis Qudsi:
Keperkasaan dan kemuliaan itu ibarat kain-Ku, keagungan dan kebesaran itu ibarat selendang-Ku. Barang siapa berusaha menyamai Aku sedikitpun nescaya akan Ku-siksa.
(Hadis Qudsi Riwayat Muslim dari Abu Sa'id dan riwayat Samuwaih dari Abu Sa'id dan juga riwayat Thabarani yang bersumber dari Ali r.a)
Kata "al-'Izz" asal maknanya kemuliaan, (lawan kehinaan). Namun kemuliaan di sini, hasil kekuatan yang tidak terkalahkan orang lain, kerana itu kita ertikan al-'Izzu itu keperkasaan dan kemuliaan.
Sifat "izzah" terdapat dalam beberapa ayat Quran, sedang kata "Aziz" terdapat pada puluhan ayat:
Sesungguhnya semua keperkasaan dan kemuliaan itu adalah kepunyaan Allah.
(Q.S 4 an-Nisa: 139)
Barang siapa yang hendak memperoleh keperkasaan dan kemuliaan, sesungguhnya keperkasaan dan kemuliaan kepunyaan Allah.
(Q.S 35 Fathir: 10)
Dalam hadis Qudsi disebutkan:
Setiap kemuliaan yang tidak diridhai Allah pada hakikatnya adalah kehinaan
Kemuliaan seperti itu bersifat palsu, berlaku untuk sementara saja, seperti: kenaikan pangkat, pujian dan sanjungan yang tidak wajar dan tidak diridhai Allah.
Didalam hadis Qudsi ini dikemukakan dua sifat khusus yang ditonjolkan yang hanya dimiliki oleh Allah s.w.t saja. Makhluk Allah tidak boleh merebutnya, menyamai atau menyekutuinya, sifat tersebut adalah sifat izzah (keperkasaan dan kemuliaan) dan sifat kibr (keagungan dan kebesaran).
Ada sifat lain yang kadang-kadang makhluk-Nya boleh bersifat dengan sifat itu sebagai pinjaman sementara dan bukan menurut hakikat yang sebenarnya, seperti sifat kasih sayang (rahman) dan pemurah (karim).
Kedua sifat yang disebutkan di atas diibaratkan oleh Allah sebagai kain sarung dan selendang, yang sudah tentu tidak boleh direbut, dipakai atau digunakan oleh yang lain.
Perumpamaan itu semata-mata hanyalah untuk mendekatkan pengertiannya kepada akal kita sebagai makhluk-Nya. Barang siapa yang hendak menyamai-Nya atau menyekutui-Nya, dirinya akan dilemparkan Allah ke dalam neraka dan disiksa setimpal dengan perkosaannya.
Tegasnya, orang yang kebetulan dianugerahi kemuliaan, misalnya kenaikan pangkat, mendapat pangkat yang tinggi, memegang fungsi wewenang, dipilih rakyat menjadi wakilnya dan lain-lain, tidak menyalahgunakan anugerah tersebut sehingga seolah-olah berkuasa mutlak, gagah, sombong, sewenang-wenang dan seenaknya saja menggunakan kekuasaannya. Berbuat semacam itu sudah termasuk menyekutui sifat Allah, berdosa kepada Allah, durhaka dan menyombong kepada Allah. Kemuliaan yang diperolehinya itu dipalsukan oleh dirinya dan berlaku sementara saja.
Apabila kemuliaan yang dicapai itu tidak dengan cara wajar, misalnya dengan paksaan, ancaman atau sogokan dan sebagainya, kemuliaan itu jelas tidak diridhai Allah dan hanyalah palsu belaka.
Kemuliaan yang diperoleh dengan cara tidak benar, bukan hal yang mustahil di dunia ini, tapi perbuatan demikian termasuk ancamanan hadis tersebut (ini).
Orang yang mendapat kemuliaan, apa lagi cara mencapainya tidak diridhai Allah, mengarah pada sifat sombong atau takabbur. Orang yang sombong atau takabbur telah menyekutui sifat Allah, dan perbuatan itu termasuk kejahatan besar, yang tidak disukai masyrakat ataupun perorangan (individu).
Di dalam Quran digambarkan sebagai berikut:
Demikianlah Allah menutup setiap hati orang yang takabbur, lagi merasa perkasa.
(Q.S 40 al-Mu'min: 35)
Masuklah kalian ke dalam pintu-pintu neraka Jahannam, kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk tempat kediaman bagi orang-orang yang mutakabbir.
(Q.S 16 an-Nahl: 29)
Oleh kerana itu, ya Allah, berilah kami sifat ikhlas, jauhkanlah kami dari sifat riya', takabbur dan sombong serta sifat-sifat atau perbuatan yang mendekati perbuatan menyekutukan Engkau, ya Allah, ya ar-hamarrahimin. Amin.
Sumber:
K.H.M Ali Usman, H.A.A Dahlan & Dr. H.M.D Dahlan (tanpa tarikh), Hadith Qudsi, Cetakan IX, Kuala Lumpur: Pustaka Al-Azhar
Wednesday, 25. March 2009, 16:01:50
Setelah tinggal beberapa saat untuk melangkah ke tanggal 26 Mac 2009, keputusan pemilihan semua tiga sayap kanan UMNO telah diketahui. Berita Harian Online menyiarkan pemenang calon-calon yang bertanding di bawah tajuk-tajuk dan pada waktu-waktu berikut:-
* Razali menang Naib Ketua Pemuda 23:24 PM
* Rosnah menang Ketua Puteri, Shahanim naib ketua 23:00 PM
* Shahrizat menang Ketua Wanita Umno 21:11 PM
* Khairy menang Ketua Pemuda Umno 23:27 PM
* Razali menang Naib Ketua Pemuda 23:26 PM
* Rosnah menang Ketua Puteri, Shahanim naib ketua 23:01 PM
* Shahrizat menang Ketua Wanita 21:12 PM
Tahniah kepada para perwakilan kerana telah menunaikan satu tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Semoga kebijaksanaan yang sama digunakan dalam memilih MT sebelum Persidangan UMNO menutup jendelanya pada 28 Mac 2009, selepas pemilihan MT selesai.
Dan semoga hari-hari selepas 28 Mac 2009 memberi ketenangan bukan sahaja kepada perwakilan tetapi kepada calon-calon yang bertanding.
Namun, melihat kepada perkembangan semasa sejak PRU-12, tidak mustahil beberapa laporan polis kelak akan tersiar memenuhi dada-dada akhbar dalam satu dua hari ini. Apa pun yang akan berlaku, semoga ia tidak akan menjejaskan lagi kegawatan yang sedang dialami negara pada masa ini.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Showing posts 11 -
15 of 102.