Skip navigation.

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

~ Blog Peribadi: Menjana Pemikiran Kritis & Kreatif ~

ALTERNATIF MENENTUKAN ANAK BULAN

Alhamdulillah! Hari ini umat Islam telah melepasi dua hari Ramadan. Mudah-mudahan puasa menahan lapar dan dahaga yang kita perjuangkan hari ini diterima sebagai satu ibadah puasa oleh Allah s.w.t.

Insya-Allah, mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia dapat menyambut 1 Syawal ini supaya kita semua dapat meraikan kemenangan dalam perjuangan menentang musuh utama kita iaitu hawa nafsu.

Berbicara tentang 1 Syawal ini, tentunya pihak berkuasa akan menggunakan kaedah hisab dan rukyah untuk menentukan bila sebenarnya 1 Syawal itu menjelang. Melihat anak bulan Syawal biasanya dilakukan pada petang hari ke-29 umat Islam berpuasa.

Tahukah anda bahawa kita boleh menentukan haribulan pada tiga waktu sepanjang sesuatu bulan? Saya pernah membuat eksperimen secara observasi menggunakan mata kasar antara tahun 1993 dan 1994 untuk menentukan permulaan sesuatu bulan qamariah.

Berdasarkan observasi tersebut, kita sepatutnya boleh menentukan bila permulaan sesuatu bulan dengan berpandukan bentuk fizikal bulan, bulan sebelumnya. Maka untuk menentukan permulaan bulan Ramadan, misalnya, kita boleh menentukannya berpandukan bentuk bulan Sa’ban, dan untuk menentukan permulaan bulan Syawal kita boleh berpandukan bentuk bulan Ramadan.

Bentuk fizikal bulan yang saya maksudkan ialah bentuk separuh bulat tepat (atau hampir tepat) dan bentuk bulat penuh. Bentuk separuh bulat tepat, iaitu pada keadaan bulan betul-betul terbelah dua, berlaku sebanyak dua kali dalam satu bulan iaitu pada tanggal 8 dan tanggal 23. Manakala bentuk bulat penuh berlaku pada tanggal 15 sesuatu bulan. Gambar rajah di bawah ini menjelaskan lagi keadaan ini.

Justeru itu, sebagai alternative, kita boleh menentukan permulaan Syawal (1 Syawal) dengan membuat pemerhatian ke atas bentuk bulan Ramadan dan berpandukan empat langkah berikut:-

  1. Catatkan bila tanggal 8 Ramadan berdasarkan bentuk separuh bulat tepat yang pertama;
  2. Catatkan bila tanggal 15 Ramadan berdasarkan bentuk bulat penuh;
  3. Catatkan bila tanggal 23 Ramadan berdasarkan bentuk separuh bulat tepat kedua bulan Ramadan;
  4. Kira dan tentukan bila 30 Ramadan dan 1 Syawal.

Sesungguhnya eksperimen di atas adalah berdasarkan kemampuan observasi mata kasar saya semata-mata tanpa bantuan sebarang teleskop. Oleh itu, ia mungkin kurang tepat atau tidak tepat sama sekali. Justeru itu, mana-mana pihak yang ingin membuktikan keputusan hasil observasi yang telah saya lakukan itu, menggunakan peralatan berteknologi tinggi sangat dialu-alukan. Kerana sesungguhnya, Allah telah berfirman dalam Surah Yunus ayat 5 yang bermaksud:-

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan waktu…”
(Q:S:10:5)


FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!



GURU TUNTUT IMBUHAN BISP


Salam Sejahtera! Selamat Berpuasa!

Waktu saya menulis ini, umat Islam di Malaysia baru selesai melaksanakan solat sunat Tarawih malam pertama Ramadan 1430/2009M.

Dalam bulan mulia ini, saya mencari-mari formula pendidikan untuk saya implimentasikan ke atas tiga orang anak saya; dengan harapan mudah-mudahan kecemerlangan mereka dalam pelajaran bertambah cemerlang di bulan Ramadan ini. Maka saya mencarilah maklumat dalam Portal Pendidikan Utusan (PPU).

Terjumpa pula saya tajuk di atas, yang ditulis oleh MARZITA ABDULLAH disiarkan dalam ruangan ISU SEMASA PPU.

Hmm...macam terasa pelik juga membaca artikel tersebut. Kenapa tidak? Kalaulah skim perkhidmatan guru tidak mempunyai sifir tangga gaji dan skop kerja yang telah ditetapkan, maka saya tidak hairan membacanya. Tetapi saya percaya semua skim perkhidmatan sektor awam termasuk perkhidmatan guru, sudah mempunyai sifir gaji (termasuk elaun-elaun yang berkaitan) serta skop tugas utama sesuatu jawatan itu telah diwartakan.

Maka perlukah tuntutan sedemikian dimajukan, diterima dan dilayan? Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan murid-murid yang pintar adalah mereka yang belajar di sekolah jenis kebangsaan (kalau di Sandakan, Sabah) dan mereka juga mengikuti tusyen di luar bilik darjah bagi ibu bapa yang mampu. Tusyen ini sama ada dikendalikan oleh guru pakar atau individu yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam subjek terbabit.

Bagi ibu bapa yang tidak mampu membayar guru tusyen atau individu pakar ini, maka merekalah (ibu bapa itu) yang menjadi tutor anak-anak mereka.

Justeru kecemerlangan seseorang murid di sekolah bukan 100% disebabkan oleh pengajaran guru di sekolahnya. Bahkan pengajaran ibu bapa lebih berkesan daripada pengajaran guru.

Justeru itu, sepatutnya yang lebih berhak menuntut elaun BISP ialah ibu bapa yang telah berjaya mendidik dan mengajar anak-anak mereka lebih berkesan daripada guru itu.

Guru (Sekolah)... jangan asyik berbangga jika anak murid anda cemerlang dalam keputusan sesuatu peperiksaan kerana mungkin murid itu cemerlang disebabkan oleh tusyen yang dibuat oleh ibu bapanya atau individu pakar dalam subjek tertentu...dan jangan asyik menyalahkan ibu bapa jika anak murid anda tidak berdisiplin kerana kegagalan guru (sekolah) memberi pendidikan berkesan.


FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!


# Entri ini disunting pagi ini, kira-kira lapan jam selepas disiarkan



SURAU DALAM TANDAS VS TANDAS DALAM SURAU

Tidak disangkal lagi, kebersihan adalah elemen yang menjadi keutamaan setiap tamadun bangsa-bangsa yang ada di dunia; sejak zaman dahulu kala hinggalah hari ini, dan dari Barat hingga ke Timur serta dari Utara ke Selatan.

Sejak belakangan ini Malaysia adalah antara negara yang cuba mewujudkan persekitaran bersih khususnya di tandas awam. Ini sudah tentu adalah sebagai langkah proaktif dan bersungguh-sungguh pihak berkuasa untuk menyokong saran dan penarafan World Toilet Organisation (WTO).

Maka pelbagai bentuk kempen dilancarkan untuk memberi kesedaran kepada semua pihak: pengguna, pengendali, dan yang empunya tandas itu. Pelbagai tindakan diambil bagi menaiktaraf tandas awam untuk mencapai taraf world class toilet. Justeru adalah terdapat pihak yang sanggup membina tandas awam seharga sebuah banglo, atau semahal sebuah bangunan kecil yang boleh dijadikan motel.

Usaha menaik taraf tandas ini tidak terhad kepada jumlah perbelanjaan membinanya, bahkan turut melibatkan kepakaran arkitek dan kejuruteraan yang tinggi semata-mata untuk menjadikan sebuah tandas ini menarik, mesra pengguna, automatik dan sebagainya.

Atas kesedaran perlunya tandas dinaik taraf, dan kerana kosnya yang mencecah ratusan ribu ringgit (bandingkan dengan jumlah peruntukan untuk membina sebuah masjid kampung, atau jumlah sumbangan untuk membina sebuah masjid konkrit di bandar atau di taman perumahan), ditambah pula dengan kepintaran arkitek senibina, arkitek landskap serta jurutera dan perunding serta pihak berkuasa yang berkaitan, maka terciptalah beberapa bangunan tandas yang betul-betul tarafnya teramat tinggi (kerana sememangnya ia dinaikkan) sehingga melebihi taraf sebuah rumah ibadat.

Untuk menjadikan tandas ini berada ditahap tertinggi maka dibinalah rumah ibadat di dalam tandas atau di dalam kawasan yang diwartakan atau diluluskan sebagai kawasan tandas awam. Di beberapa buah negeri dan daerah di Malaysia, rumah ibadat khususnya surau dijadikan pelengkap kepada sebuah tandas awam yang telah diangkat darjatnya itu.

Agak malanglah bangsaku yang mengaku umat beragama tetapi menjadikan rumah peribadatan hanya sebagai pelengkap kepada sebuah tandas awam.

Bukankah lebih baik dibina banyak-banyak surau, masjid, gereja, kuil dan tokong di merata tempat di Malaysia dan kemudian rumah-rumah ibadat tersebut dilengkapi dengan sebuah tandas automatik yang mesra pengguna sesuai dengan sifatnya sebagai pelengkap kepada sebuah rumah ‘suci’ (peribadatan) itu?

Tetapi yang peliknya pula, setakat ini, kita mengetahui hanya surau yang dibina di dalam tandas atau di dalam kawasan tandas. Kenapa tiada gereja, tokong dan kuil? Setahu saya, kebanyakan pelancong asing yang kita cuba hidangkan dengan sebuah bangunan tandas harmoni itu kebanyakannya datang dari negara orang Barat yang bukan beragama Islam. Atau adakah majoriti pengguna tandas awam dari kalangan rakyat Malaysia ini dari kalangan umat Islam sahaja sehingga kerana itu tak perlulah bina gereja, kuil dan tokong di tandas awam itu?

Dan kalaulah mereka itu (para pelancong asing itu) sekalipun dari kalangan umat Islam, Kristen, Hindu atau Budha, tetapi di Malaysia sudah ada masjid, gereja, kuil dan tokong yang saya yakin tempat-tempat suci itu (mengikut kepercayaan masing-masing) sememangnya sudah dilengkapi dengan kemudahan untuk bersuci dan mencuci. Selain daripada itu pula semua hotel dan tempat penginapan serta taman-taman rekreasi, restoran dan sebagainya yang menjadi tumpuan pengunjung itu sudah ada kemudahan tandas yang mencukupi.

Justeru itu, apakah rasional membina rumah ibadat khususnya surau di dalam tandas atau di dalam kawasan tandas itu? Bagi penganut Islam, ibadah solat anda tidak sah jika anda dalam keadaan berhadas (kecil atau besar) tetapi anda boleh pada bila-bila masa mengangkat hadas sekalipun tidak ada rumah ibadah atau kemudahan beribadah di situ.....dengan kata lain, untuk masuk ke masjid, anda perlu berwudu terlebih dahulu tetapi untuk masuk ke tandas anda tak semestinya harus menunaikan solat sunat.

Marilah kita renung-renungkan kembali apa sudah jadi dengan masyarakat dan sistem sosial Malaysia kita...

Gagasan 1Malaysia – Bahagian 2

Sumber: Blog 1Malaysia
Oleh: Dato' Sri Najib Tun Razak
Thursday, 18 June 2009

Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen tersebut merangkumi Budaya Kecermerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; Budaya Ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara; Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanahair tercinta; Ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan Integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan Nilai-Nilai Aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negarabangsa yang maju dan berjaya.

Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, Kerajaan telah mengutarakan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Sehubungan dengan itu, Key Performance Index (KPI) atau Indeks Penunjuk Prestasi akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua Menteri-Menteri. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI ini. YB Menteri berkenaan akan memberikan penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan.

Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia. Diatas segalanya, 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.




Gagasan 1Malaysia - Bahagian 1

Sumber: Blog 1Malaysia
Oleh: Dato' Sri Najib Tun Razak
Monday, 15 June 2009

Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara tanggal 3 April yang lalu, saya telah utarakan sebuah konsep iaitu 1Malaysia sebagai teras pentadbiran saya. Sejak gagasan ini diketengahkan begitu banyak perbincangan dan perbahasan telah berlangsung dikalangan rakyat semua peringkat.

Seperti yang telah saya sebutkan dalam ucapan saya sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 6 Jun yang lalu, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu. Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang. 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malahan gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.




December 2009
M T W T F S S
November 2009January 2010
1 2 3 4 5 6
7 8 9 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30 31