ANUGERAH MERDEKA
Thursday, November 27, 2008 10:21:49 PM
Pada 5 Ogos 2006, saya menulis Sambutan Hari Merdeka: Masih Relevankah Lagi? Artikel tersebut adalah antara artikel yang paling mendapat perhatian pembaca blog ini dan menerima banyak kritikan. Terima kasih kepada semua yang telah memberi komen ke atas artikel tersebut.
Pada pagi hari ini, saya menonton Buletin Utama TV3 melalui Internet. Ini kerana di rumah saya, walaupun berada hanya satu kilometer dari pusat bandar tetapi tidak dapat menerima siaran televisyen sama ada RTM atau TV3. Justeru itu, saya hanya berpeluang mengikut siaran tertunda dan sukar mengikuti perkembangan semasa kecuali melalui siaran tertunda atau membaca akhbar.
Apabila saya klik Buletin Utama TV3 bertarikh 22 November 2008, saya rasa gembira kerana apa yang saya tulis sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-49 dua tahun lalu diambil perhatian, apabila Petronas, ExxonMobil dan Shell mengambil inisiatif memperkenalkan Anugerah Merdeka. Buletin Utama TV3 22 November menyiarkan tahun 2008 ini adalah edisi kedua Anugerah Merdeka yang diperkenalkan tahun lalu tetapi berita Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meraikan para penerima sulung Anugerah Merdeka pada satu majlis penyampaian anugerah di Dewan Filharmonik Petronas di sini, hari Isnin.
Namun alangkah bangga dan gembiranya para penerima Anugerah Merdeka itu apabila dipanggil untuk menerima anugerah di tengah-tengah lautan manusia jika majlis penyampaian itu dilakukan semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan, bersesuaian dengan namanya sebagai Anugerah Merdeka?
Bahkan ia akan meninggalkan kesan lebih mendalam kepada bukan sahaja para penerima yang terpilih tetapi hadirin yang melauti Sambutan Hari Kebangsaan itu serta para penonton siaran langsung di seluruh negara.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
# Di bawah ini adalah berita yang dikeluarkan oleh Bernama.
----------------------------------------
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama)-- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meraikan para penerima sulung Anugerah Merdeka pada satu majlis penyampaian anugerah di Dewan Filharmonik Petronas di sini, hari Isnin.
Para penerima anugerah yang dipilih bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam lima kategori adalah Professor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (kategori Pendidikan dan Komuniti); Persatuan Pencinta Alam Malaysia (kategori Alam Sekitar); Pasukan Penyiasat Penyakit Nipah Encephalitis daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Professor Datuk Dr Khalid Kadir (penerima bersama kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi) dan Datuk Leslie Davidson (kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia).
Penerima setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah piala dan sijil daripada Perdana Menteri, yang merupakan penaung kepada anugerah itu.
Anugerah Merdeka diberikan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dan organisasi yang hasil kerja dan pencapaiannya memberikan kesan cemerlang kepada Malaysia dan rakyatnya.
Anugerah Merdeka, yang merupakan inisiatif bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell, dilancarkan oleh Abdullah pada 27 Ogos tahun lepas sempena sambutan Jubli Emas kemerdekaan negara.
-- BERNAMA[/ALIGN]








Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Thursday, November 27, 2008 11:39:46 PM
ARKIB : 01/11/2008
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
SETANDING Anugerah Nobel, prestij Anugerah Merdeka barangkali lebih berharga dalam konteks tempatan apabila memberi pengiktirafan kepada anak jati Malaysia sendiri terhadap sumbangan ulung mereka kepada bangsa dan negara.
Melainkan anugerah Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia yang diberikan kepada individu atau organisasi luar atas sumbangan cemerlang dan bermakna kepada negara, empat kategori lain diberikan kepada individu atau organisasi tempatan.
Anugerah itu masing-masing Anugerah Pendidikan dan Komuniti, Anugerah Alam Sekitar, Anugerah Kesihatan, Sains dan Teknologi serta Anugerah Pencapaian Ulung Akademik.
Merupakan inisiatif syarikat petroliam nasional, Petronas dengan kerjasama dua konglomerat minyak dan gas iaitu ExxonMobil dan Shell, Anugerah Merdeka diperkenalkan dengan semangat, maruah dan pengorbanan tokoh terdahulu dalam perjuangan mencapai kemerdekaan negara.
Meskipun berbeza zaman dan pentas perjuangan, namun semangat tokoh pejuang kemerdekaan lampau itu terus mengalir dalam darah generasi baru Pejuang Merdeka hari ini, yang merubah erti kemerdekaan menjadi sesuatu yang lebih besar maknanya.
Menerusi darah perjuangan kemerdekaan yang sama juga, generasi Pejuang Merdeka itu berkorban masa, tenaga dan harta dalam menabur bakti serta jasa ke arah memartabatkan anak bangsa serta maruah negara.
Segah namanya juga, penerima Anugerah Merdeka turut mewakili anak Malaysia yang sarat dengan pemikiran glokal, berkeperibadian unggul dan berintegriti sehingga mampu menghasilkan usaha yang luar biasa dan membentuk rangka pemikiran baru di kalangan rakyat Malaysia.
Mula diperkenalkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-50 yang penuh bersejarah tahun lalu, Anugerah Merdeka menamakan pemenang sulung tahun ini pada 21 Ogos lalu bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-51.
Setiap pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 daripada tabung amanah khas yang ditubuhkan bagi memastikan kelangsungan anugerah ini, berserta sebuah piala dan sijil.
Terlalu kecil untuk dibandingkan dengan sumbangan kepada negara, hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 itu bagaimanapun merupakan sokongan dalam bentuk ganjaran kepada penerimanya untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara seterusnya menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Penerima sulung Anugerah Merdeka kategori Pendidikan dan Komuniti, Prof. Diraja Ungku Aziz Ungku Hamid misalnya, akan dikenang dalam peradaban negara sebagai tokoh yang aktif membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar.
Pelopor kepada 'indeks sarong' yang digunakan untuk menentukan tahap kemiskinan dan pembangunan luar bandar, Ungku Aziz turut dikenali dengan teori sistem m-m yang membawa hipotesis bahawa bahawa punca kemiskinan luar bandar berkait rapat dengan produktiviti rendah, yang berpunca dari eksploitasi.
Kajian-kajian beliau dalam bidang pembangunan ekonomi menjadi rujukan penting kepada pembuat dasar dalam membangunkan strategi baru dan program mengurangkan kesan kemiskinan, seterusnya mendokong usaha kerajaan ke arah pembasmian kemiskinan berterusan.
Turut menempa nama dalam membina kecemerlangan bidang pendidikan negara serta perkembangan intelektual Melayu, Ungku Aziz juga merupakan anak Melayu pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan memegang jawatan itu selama 20 tahun sejak 1968.
Beliau juga bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan beberapa institusi yang kemudiannya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dalam pelbagai bidang seperti penubuhan Tabung Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Akademi Islam UM.
Keunggulan
Kemampuan tiada terbatas yang menjadi cerminan kepada keunggulan dan personafikasi tokoh berusia 86 tahun yang mesra dengan panggilan Pak Ungku ini juga membolehkan beliau mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.
Antaranya gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 17 Jun 1978, Tokoh Maal Hijrah 2002, Anugerah Melayu Terbilang 2005, Tokoh Koperasi Negara, Tokoh Ekonomi Melayu, Anugerah Akademik Negara 2006 dan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra 2007.
Anugerah antarabangsa serta ijazah kedoktoran terhormat yang diterima pula termasuk Ordre des Arts et des Lettres dari Perancis, Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure First Class dari Maharaja Jepun dan Hadiah Fukuoka atau Fukuoka Asian Culture Prize bagi kategori akademik.
Sementara itu, usaha Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) memelihara dan memulihara Kompleks Hutan Simpan Belum- Temenggor mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dipilih menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar.
Merupakan persatuan pencinta alam tertua di Malaysia iaitu ditubuhkan pada 1940, MSN menumpukan usaha melindungi serta memelihara khazanah hutan seluas 300,000 hektar itu menerusi beberapa program sejak kira-kira 20 tahun lalu. Ia termasuk dua ekspedisi saintifik pada 1993 dan 1998 bertujuan mengkatalog dan mengenalpasti spesies hidupan liar, flora dan fauna di kawasan tersebut.
MSN turut berjaya dalam usaha bertahun- tahunnya, melobi supaya kompleks hutan berusia 130 juta tahun itu diwartakan sebagai Taman Negeri oleh kerajaan negeri Perak yang dicapai pada Mac 2000.
Usaha badan itu sekali lagi mendapat perhatian apabila Sultan Azlan Shah berkenan memasyhurkan kompleks hutan tersebut sebagai Hutan Diraja Belum pada Ogos 2003.
Bagaimanapun, pemilihan MSN sebagai penerima Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar lebih daripada itu merupakan pengiktirafan kepada pertubuhan itu yang sejak 68 tahun lalu menyemai kesedaran mengenai pentingnya mencintai alam sekitar di setiap peringkat dan lapisan masyarakat.
Berkongsi Anugerah Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi, penerima bersama iaitu kumpulan pengkaji ensefalitis nipah dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) dan Prof. Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir masing-masing memberikan sumbangan ulung kepada sektor kesihatan dan perubatan negara.
Diketuai oleh saintis perubatan UM, Prof. Tan Ching Tin, kumpulan 15 saintis itu berjaya menjalankan penyelidikan menyeluruh ke atas virus nipah yang mengorbankan 105 orang serta menjangkiti 265 orang yang lainnya dalam kejadian di pusat penternakan khinzir di Perak, Negeri Sembilan dan Selangor pada 1998 dan 1999.
Penyelidikan itu antara lain berjaya merungkai punca, sifat virus, manifestasi klinikal, patologi dan patogenesis virus sehinggalah kepada bentuk rawatan yang sesuai untuk jangkitan virus tersebut.
Atas pengorbanan membelakangkan keselamatan diri dalam mencari punca dan penawar kepada virus yang bertukar menjadi wabak pendemik itu, Anugerah Merdeka kepada kumpulan saintis itu juga adalah berdasarkan kepentingan penyelidikan mereka dalam menyelamatkan nyawa kerana jangkitan virus nipah.
Berkaitan
Dr. Khalid pula dipilih berdasarkan kajian beliau sejak 30 tahun lalu mengenai mekanisme badan berkaitan masalah hormon yang disebabkan oleh tekanan dan penyakit kencing manis.
Pengetua Sekolah Klinikal Universiti Monash, Johor Bahru juga diiktiraf atas sumbangan beliau sebagai perintis usaha latihan endokrinologi di Malaysia sekali gus menjadi inspirasi kepada pakar perubatan muda untuk menceburi bidang perubatan tersebut.
Sumbangan Dr. Khalid turut tercatat sebagai pakar yang banyak menyumbang kertas kerja dan artikel mengenai penyakit diabetis dan cara menguruskannya, selain turut menyertai pelbagai ujian rawak double-blind antarabangsa untuk penyakit tersebut.
Usaha dalam merevolusikan proses pendebungaan pohon kelapa sawit menggunakan sejenis kumbang sehingga berjaya meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran membolehkan Datuk Leslie Davidson menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.
Terlibat dalam sektor perladangan kelapa sawit di Malaysia pada 1951 ketika bertugas di Pamol Estate, Kluang Johor, sumbangan ulung Davidson bermula ketika beliau bekerja di Cameroon apabila berjaya meneroka peranan serangga dalam proses pendebungaan kelapa sawit.
Teknik pendebungaan menggunakan serangga itu kemudiannya dijalankan kajian penuh dengan kerjasama Institut Komanwel untuk Kawalan Biologi sebelum diuji di ladang Mamor Estate milik Unilever di Kluang, Johor pada 1981.
Sejak itu, teknik yang dipelopori oleh Davidson digunakan secara meluas apabila berjaya meningkatkan hasil tuaian dan membawa manfaat yang amat besar kepada pekebun kecil selain mengurangkan kos operasi perladangan.
Inovasi yang diperkenalkan oleh Davidson itu juga kini digunakan secara meluas di beberapa negara termasuk di Indonesia, Thailand, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Penamaan dan Pemilihan Anugerah Merdeka sepakat membuat keputusan tiada individu yang layak menerima anugerah kategori Pencapaian Ulung Akademik.
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Thursday, November 27, 2008 11:55:35 PM
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_business.php?id=281518
Petronas, ExxonMobil & Shell Wujud Anugerah Merdeka
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Syarikat minyak negara, Petronas, dan dua syarikat minyak dan gas utama, ExxonMobil dan Shell, menubuhkan dana amanah dengan peruntukan RM50 juta, bagi anugerah paling berprestij Malaysia, Anugerah Merdeka, khusus untuk meraikan, menghormati serta memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia yang cemerlang.
Anugerah itu bertujuan memperakui dan memberi ganjaran kepada individu dan organisasi yang memberi sumbangan luar biasa untuk kecemerlangan Malaysia dan rakyatnya.
Anugerah Merdeka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-50.
Pada taklimat media di sini, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata anugerah itu mencerminkan komitmen industri minyak dan gas yang telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan negara Malaysia dan akan terus menjadi penyumbang utama kepada pembangunan syarikat dan rakyatnya.
Beliau berkata Anugerah Merdeka akan diberikan setiap tahun dan mempunyai sekretariatnya tersendiri untuk menguruskan pengelolaan anugerah itu.
"Kami berharap setiap tahun pada Ogos, kami dapat mengumumkan pemenang. Anugerah ini adalah untuk memperakui pencapaian individu Malaysia dalam lima kategori," katanya.
Kategori terbabit ialah Pendidikan dan Komuniti; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Alam Sekitar; Pencapaian Luar Biasa Dalam Akademik; dan Sumbangan Luar Biasa kepada rakyat Malaysia.
Setiap kategori anugerah membawa hadiah wang tunai RM300,000, trofi dan sijil. Pemenang dipilih daripada senarai pencalonan setiap tahun. Penerima pertama akan diumumkan Ogos tahun depan.
Anugerah itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia manakala bukan warganegara mungkin layak dipertimbangkan untuk kategori sumbangan luar biasa kepada rakyat Malaysia.
Ia juga terbuka kepada institusi dan organisasi, kecuali dalam kategori Pencapaian Akademik.
Hassan berkata format Anugerah Merdeka serupa dengan Hadiah Nobel.
Beliau berharap peserta dalam industri minyak dan gas akan tampil untuk menyumbang kepada dana itu.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_business.php?id=281518