JADUAL WAKTU PEMBELAJARAN UNTUK MURID
Tuesday, 29. January 2008, 22:26:49
Pada 15 Januari, 13 hari selepas pendaftaran sesi persekolahan Semester I 2008, dan setelah penutupan Program Transisi, kebanyakan sekolah telah mengedarkan Jadual Waktu Kelas kepada murid-murid.
Pengedaran Jadual Waktu Kelas ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh para ibu bapa dan murid. Ini kerana dengan adanya Jadual Waktu Kelas, murid-murid dan ibu bapa dapat menyediakan buku-buku yang diperlukan sahaja perlu dibawa pada satu-satu hari.
Walau bagaimanapun, terdapat sekolah yang mengedarkan Jadual Waktu Kelas yang sangat sukar difahami oleh ibu bapa apatah lagi oleh murid. Di bawah ini adalah salah satu contoh Jadual Waktu Kelas yang diedarkan oleh sebuah sekolah rendah kepada murid-murid Tahun I yang baru 13 hari menjejak kaki di sekolah.
Jadual Waktu Kelas ini telah ditunjukkan kepada saya oleh ibu pelajar tersebut, meminta tolong dijelaskan apakah maksud singkatan-singkatan tersebut. Pertama kali saya menatapnya saya juga agak keliru dan hanya mengetahui singkatan-singkatan yang lazim sahaja seperti BM, BI dan PJK. Singkatan-singkatan lain, saya pun tidak tahu. Untunglah pada masa itu ada seorang guru sekolah rendah dari Lahad Datu yang kebetulan sedang bersembang dengan saya. 99% masalah dan kekeliruan dapat diatasi, kecuali satu subjek yang diberi singkatan ME.
Melihat kepada Jadual Waktu Kelas tersebut saya bertanya kepada diri sendiri, apakah rasionalnya murid Tahun 1 diberikan maklumat tentang analisis pembelajaran setiap subjek yang diajarkan kepada mereka? Bukankah ini satu pekerjaan yang betul-betul tidak teliti? Saya terfikir zaman saya bersekolah dahulu, bagaimana guru kelas membuatkan Jadual Waktu Kelas di papan hitam dan meminta kami (murid) menyalinnya dalam buku. Alangkah mudahnya jika format Jadual Waktu Kelas seperti pada zaman saya dulu disediakan oleh guru dengan cetakan komputer yang lebih mudah dibaca dan memiliki sifat self explanatory. Tidakkah setiap sekolah telah dibekalkan dengan set komputer dan pencetak yang antara lain untuk memudahkan kerja-kerja sedemikian?
Kembali kepada ibu yang meminta bantuan saya tadi, maka saya pun berjanjilah kepadanya untuk membuatkan satu Jadual Waktu Kelas yang lebih mudah difaham bukan sahaja oleh ibu tersebut tetapi oleh anaknya yang baru 13 hari menjejak kaki di sekolah itu. Maka saya buatlah satu Jadual Waktu Kelas mengikut format yang pernah diberikan kepada saya oleh cikgu saya 29 tahun yang lalu (1979), seperti berikut:-
Oleh itu, marilah kita bersama-sama memikirkan kepentingan generasi kita. Jika anda seorang guru, janganlah hanya memikirkan kepentingan diri anda sendiri; kerana mahu senang dan mengambil mudah, maka cukuplah dengan hanya mengedarkan Jadual Waktu Kelas Pentadbiran kepada murid yang mungkin ramai antara mereka belum tahu membaca, yang sepatutnya, jadual tersebut digunakan oleh guru-guru dan pentadbiran sekolah bagi tujuan perancangan. Anda juga harus menyedari bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai keupayaan untuk mentafsirkan simbol-simbol yang dijana oleh program kompter itu. Keadaan akan menjadi lebih sukar lagi kalau murid tersebut adalah anak sulung, ibu bapanya tidak pernah terdedah kepada alam persekitaran persekolahan anak-anak. Apalah salahnya anda mempermudah Jadual Waktu Kelas yang dijana oleh perisian komputer itu kepada bentuk yang lebih mudah difaham oleh masyarakat umum, kemudian fotokopilah sebanyak yang diperlukan. Di Sandakan, jika anda memfotokopi ukuran A4 sehingga 50 keping anda boleh mendapat harga serendah RM0.05 sekeping. Apalah salahnya anda membayar RM2.50 demi kepentingan anak didik anda.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
Mohon maaf sejuta kali maaf kepada guru-guru jika saya menyinggung perasaan tuan-tuan dan puan-puan kerana bukan tujuan saya mengajar anda melainkan membawa segelintir guru yang mengambil mudah semua perkara sehingga menjejaskan nama baik profesion keguruan yang satu ketika dahulu amat disanjung tinggi, menggunakan daya kreativiti mereka untuk kebaikan bersama.








Anonymous # 26. August 2009, 01:13
Saya seorang guru...... dan saya sangat bersetuju pandangan dan pendapat tuan tentang jadual waktu itu. Tahniah.
Mohd Shah A Hassan # 28. August 2009, 09:34
Anonymous # 21. November 2009, 06:08
can you help me to make a simple timetable for my son (UPSSR) this year 2010.Please.....
Mohd Shah A Hassan # 26. November 2009, 20:32
InsyaAllah jika boleh bantu saya akan bantu