MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH
Friday, December 12, 2008 11:28:11 AM
Fahaman ini menentang kebenaran hakiki yang disampaikan dalam kitab-kitab agama samawi iaitu Taurat, Injil dan Al-Quran, bahawa manusia itu adalah makhluk istimewa yang diciptakan oleh Yang Maha Agung, Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, Allah s.w.t.
Dalam al-Quran, manusia diberitahu bahawa mereka (manusia) diciptakan untuk dua tujuan utama iaitu sebagai hamba untuk mengabdi hanya kepada Allah semata-mata, dan juga sebagai khalifah untuk mentadbir di muka bumi dan mengurus kehidupan masyarakat. Kedua-dua elemen ini jelas dalam kewujudan hukum fardu ain dan fardu kifayah.
Oleh kerana umat Islam adalah masyarakat yang mempercayai dan meyakini al-Quran, maka sewajarnya mereka sebagai khalifah wajib melihat muka bumi (global) sebagai satu dunia yang perlu ditadbir dan masyarakat di seluruh muka bumi (manusia keseluruhannya) sebagai satu komuniti yang perlu diuruskan.
Persoalannya, pada hari ini, adakah umat Islam telah memainkan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan ajaran Islam yang diterangkan dalam al-Quran itu?
Kita lihat dan kita ketahui muka bumi telah mengalami banyak perubahan dan akan terus berubah. Kita juga melihat dan mengetahui masyarakat global (manusia pada keseluruhannya) telah berubah dan akan terus berubah, baik dari segi fizikal atau jasmani mahupun spiritual atau rohani. Perubahan-perubahan ini secara langsung memberi kesan kepada mentaliti dan syahwat manusia.
Justeru itu, umat Islam sebagai manusia pilihan harus kembali memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Umat Islam tidak sepatutnya hanya memikirkan masalah setempat. Umat Islam tidak seharusnya hanya berasa bertanggungjawab ke atas pencapaian mereka sebagai individu atau kelompok yang lebih kecil. Umat Islam tidak seharusnya hanya memfokus kepada penyelesaian masalah dan pembinaan masyarakat suku bangsanya.
Sudah tiba masanya umat Islam harus berfikiran sejagat berminda khalifah. Sudah tiba masanya umat Islam harus melihat dunia global (muka bumi) sebagai jajahan atau daerah yang perlu ditabdir dan masyarakatnya (manusia) diuruskan mengikut prinsip-prinsip yang diterangkan dalam al-Quran, al-Hadis dan Sunnnah Rasulullah s.a.w. Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula kaedah atau pendekatan pengurusan dalam Islam. Sudah tiba masanya untuk mendahulukan fardu kifayah berbanding fardu ain sebagaimana yang ditekankan selama ini; atau sekurang-kurangnya kedua-dua fardu kifayah dan fardu ain ditegaskan sama pentingnya. Sudah tiba masanya individu dan umat Islam bukan sekadar 'menghitung' apa yang telah dimilikinya tetapi 'memperkirakan' apa yang telah dia dan mereka sumbangkan dalam pembinaan tamadun manusia di muka bumi dan sebesar mana sumbangan itu jika ada.
Justeru itu, individu dan umat Islam tidak seharusnya mengharapkan 'balasan' langsung terhadap setiap buah fikiran, sumbangan, pengorbanan dan pekerjaan yang mereka lahirkan, berikan atau lakukan, daripada pihak yang menggunakan buah fikir mereka itu, atau pihak yang menerima faedah dan manfaat daripada sumbangan atau pekerjaan mereka itu. Hal ini kerana Islam telah menjelaskan bahawa Allah akan mencukupkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah telah berjanji akan menolong sesiapa yang menolong-Nya dalam menegakkan kebenaran al-Quran dan syiar Islam di muka bumi. Bahkan Allah telah menganugerahkan akal dan fikiran kepada seluruh manusia supaya dengan akal dan fikiran tersebut mereka dapat melakukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
Wallahu A'lam
FIKIR! FIKRI! DAN FIKIR!








Unregistered user # Monday, October 11, 2010 12:16:25 PM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Monday, October 11, 2010 3:02:40 PM
Sememangnya kandungan artikel di sini agak terhad kerana ia bukan satu rencana ilmiah. Artikel-artikel yang disiarkan dalam blog Fikir! Fikir! Dan Fikir! sekadar lintasan pemikiran penerbit blog guna untuk membuka pemikiran pembaca untuk berfikir lebih dalam dan serius terhadap tajuk-tajuk yang diketengahkan. Apahtah lagi tajuk ini amat luas sehingga boleh disusun dan diterbitkan sebagai buku yang berjilid-jilid. Namun, penulis tidak mempunyai pengetahuan untuk tujuan itu.
Mudah-mudahan akan ada rakan pembaca yang akan memperincikan secara lebih mendalam kandungan artikel ini, atau menyusun buku yang lengkap mengenai peranan, tugas dan kewajipan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi.
Sekali lagi terima kasih atas kedahagaan saudara supriono terhadap tajuk ini.
Unregistered user # Thursday, March 31, 2011 7:06:33 PM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Friday, April 1, 2011 12:45:07 AM
Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi kesempatan kepada saya untuk melanjutkan penulisan terhadap artikel ini.
Unregistered user # Monday, May 9, 2011 10:03:59 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Monday, May 9, 2011 3:05:49 PM
Originally posted by anonymous:
Salam sejahtera.
Saya kurang jelas untuk menangkap maksud saudara. Bagaimanapun, manusia hanya akan dibebani dengan tanggungjawab sebagai hamba dan tanggungjawab sebagai khalifah apabila manusia itu mukalaf iaitu baligh dan waras. Ini bermakna kanak-kanak bebas daripada sebarang tanggungjawab tersebut.
Akan tetapi dalam ajaran dan keyakinan Islam, ibu bapa bertanggungjawab untuk membentuk hala tuju pemikiran dan tumbesaran fizikal anak-anaknya supaya kelak menjadi insan yang sihat tubuh badan, mental, emosi dan spiritualnya dan akhirnya menjadi seorang mukmin yang muslim dan seorang muslim yang mukmin.
Dalam membahas pendekatan mana yang paling baik untuk berdakwah - adakah menjadi mukmin dahulu kemudian menjadi muslim, atau menjadi muslim dahulu kemudian menjadi mukmin, Drs. Sidi Ghazalba telah membahasnya dalam buku beliau yang bertajuk Pembahasan Ilmu-Ilmu Islam (Jilid I - III) [maaf tak ingat tahun bila diterbitkan kerana saya tidak lagi menyimpan buku tersebut, hilang dari koleksi].
Menurut Drs. Sidi Ghazalba, untuk lingkungan usia kanak-kanak, pendekatan yang paling berkesan untuk berdakwah ialah dengan menjadikan mereka muslim dahulu sebelum mukmin. Ini bermakna kanak-kanak perlu disuruh (secara tegas) untuk melakukan amalan-amalan khususnya yang terkandung di dalam Rukun Islam dahulu sekalipun mereka tidak memahami hikmah di sebalik semua itu. Kanak-kanak akan belajar dengan sendirinya untuk memahami kenapa dan apakah kebaikan dan hikmah setiap perbuatan atau amalan itu dan hubungannya dengan Rukun Iman dalam proses ia membesar menuju peringkat kematangan dalam hidupnya.
Mengambil iktibar daripada pemikiran Drs. Sidi Ghazalba seperti di atas itu, maka kanak-kanak perlu dilatih untuk melaksanakan kerja buat yang boleh menuntunnya menjadi seorang khalifah yang muslim dan mukmin apabila sampai masanya kelak.
Apakah latihan kerja buat yang harus, boleh dan perlu disogokkan kepada kanak-kanak? Terapkan nilai-nilai murni bermula dengan yang paling ringan yang mampu dia lakukan. Misalnya:-
Terhadap Diri Sendiri
Terhadap Keluarga
Terhadap Orang Lain
Terhadap Alam Sekitar
dan sebagainya.
Apabila kanak-kanak sudah menjiwai nilai-nilai murni dan mempunyai asas ketauhidan, insya-Allah, bak kata bidalan Melayu, "bagai buah yang baik apabila jatuh ke laut akan timbul menjadi pulau".
Justeru itu, murid-murid sekolah rendah sukar untuk memahami apabila kita paksakan supaya mereka faham bahawa mereka sebenarnya adalah khalifah atau diciptakan untuk menjadi khalifah.
Semoga penghuraian ini dapat memberi ilham kepada saudara untuk menyiapkan tugasan saudara itu, Insya-Allah.