KLIP FILEM FITNA: MOTIF DAN PENGAJARAN
Sunday, 6. April 2008, 19:17:01
Minggu ini, umat Islam di seluruh dunia dikejutkan lagi untuk kesekian kalinya apabila video klip FITNA yang diterbitkan oleh ‘jurupengingat’ (orang yang mengingatkan kepada) Islam yang berbangsa Belanda dan ahli Mossad, ejen perisikan Israel, disiarkan dalam internet – sehingga artikel ini ditulis, saya belum menonton klip filem tersebut.
Seperti kebiasaannya, dan saya yakin inilah yang dikehendaki oleh Geert Wilders dan penaja-penajanya, umat Islam seluruh dunia segera bangkit dengan penuh kemarahan dan semangat untuk menghukum Geert Wilders sebaik sahaja penyiaran klip filem tersebut tersebar ke seluruh dunia. Sebelum ini pernah diterbitkan Satanic Verses dan karikatur Nabi Muhammad s.a.w. untuk menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.
Saya katakan, alasan kenapa bahan-bahan terbitan tersebut disiarkan adalah untuk menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam semata-mata; tidak lain daripada itu; bukan untuk meletak atau menjustifikasikan Islam sebagai agama atau pegangan yang tidak bertamadun. Hal ini kerana mereka tahu bahawa Allah telah mengingatkan bukan sahaja kepada Umat Islam tetapi kepada seluruh manusia bahawa Islam adalah agama yang diredhaiNya dan Dialah yang akan memelihara kesucian Islam (al-Quran).
Sebagai umat Islam sudah menjadi kewajipan seluruh penganut Islam dari sekalian bangsa wajib mempertahankan agama mereka. Oleh itu, apabila umat Islam bangkit menentang dengan pelbagai cara terhadap sebarang ancaman luar, itu adalah wajar. Namun awas! Umat Islam tidak sepatutnya mudah terpengaruh dan terkesan oleh agenda tersembunyi di sebalik dakyah kaum kuffar seperti, dan termasuklah penerbitan dan penayangan klip filem FITNA. Mempertahankan Islam adalah wajib kerana ia adalah ujian sejauh mana tingkat keimanan seseorang. Tetapi membunuh manusia di luar hukum Allah adalah satu dosa.
Justeru adalah lebih baik untuk menyusun kekuatan dalaman umat Islam daripada menyerang pihak lain dalam keadaan umat Islam itu masih lemah. Memboikot barangan Belanda bukanlah satu strategi yang bijak semata-mata untuk, dan bagi menghukum Geert Wilders. Hal ini kerana penaja-penaja Wilders bukanlah duduk di Belanda atau pengeksport barangan keluaran Belanda sahaja. Bahkan, seperti yang diterangkan dalam Wikipedia, bahawa dia (Wilders) dipercayai adalah ahli Mossad (member of Mossad), ejen perisikan negara Israel. Jadi apakah strategi yang terbaik untuk melawan Wilders dan pasukannya?
Pertama sekali, penerbitan, penayangan dan klip filem FITNA itu sendiri harus diterima secara positif iaitu mengakui bahawa klip tersebut telah diusahakan penerbitan dan penyiarannya dan klip filem tersebut telah disiapkan dan ditayangkan. Oleh kerana niat pembikinan dan penyiaran klip filem tersebut adalah untuk menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam, maka umat Islam tidak seharusnya marah kerana jika mereka marah, mereka telah memasuki perangkap musuh. Oleh kerana kandungan atau mesej klip filem tersebut cuba untuk menjustifikasikan Islam sebagai agama atau pegangan yang tidak bertamadun, maka umat Islam seluruh dunia seharusnya bersatu hati untuk kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah supaya ketinggian nilai dan tamadun yang dianjurkan oleh Islam dapat diperlihatkan kepada seluruh umat manusia dan jin (kerana sesungguhnya Islam bukan untuk manusia sahaja tetapi juga dipertanggungjawabkan kepada jin). Sebagai contoh, jika al-Quran menegaskan bahawa Allah-lah yang memberi rezeki dan Dia Maha Pemberi (rezeki), maka mintalah (berdoalah) kepada, dan berharaplah akan pemberian Allah s.w.t bukan kepada selainnya.
Hari ini, rata-rata negara Islam bergantung harap kepada Amerika dalam segala hal. Hari ini, rata-rata umat Islam bergantung harap kepada cendekiawan non-Islam sekalipun untuk membuktikan kebenaran al-Quran secara nakli (saintifik). Rata-rata ilmuan Islam bergantung harap dan berserah pasrah kepada teori-teori yang diperkenalkan oleh cendekiawan non-Islam. Bahkan rata-rata ulama Islam bergantung harap dan berserah pasrah kepada temuan saintis non-muslim sekalipun untuk dijadikan dalil hukum syarie dan landas sesuatu fatwa. Inikah umat Islam yang sebenar? Beginikah Islam sebenar?
Strategi kedua ialah, bertahan dari segala sudut bukan dari satu penjuru sahaja. Kita tahu bahawa manusia mempunyai pancaindera atau lima indera (yang inipun hasil kajian saintis non-Islam juga), iaitu (1) mata untuk deria pandang, (2) lidah untuk deria rasa, (3) telinga untuk deria dengar, (4) hidung untuk deria bau dan (5) kulit untuk deria sentuh. Kelima-lima indera ini adalah berdasarkan ciri-ciri haiwani pada manusia. [Sebenarnya, manusia mempunyai enam indera mengikut perspektif Islam yang saya fahami; saya akan tulis dalam tajuk khusus ‘Enam Indera Manusiawi’ mengenai perkara ini.]
Penayangan klip filem FITNA hanya memberi kesan melalui dua indera (sebenarnya tiga – lihat artikel ‘Enam Indera Manusiawi’), iaitu mata sebagai deria pandang, dan telinga sebagai deria dengar. Tiga deria lagi tidak relevan iaitu lidah, hidung dan kulit. Ini kerana betapa pun canggihnya klip filem FITNA itu, tetapi ia tetap tidak memberikan sebarang makna jika ia dijilat (dirasa dengan lidah), tidak memberikan makna jika dihidu dengan hidung dan tidak memberikan makna jika ia disentuh dengan kulit.
Mempertahankan agama Islam adalah wajib bagi sekalian umat Islam dari kalangan manusia dan jin. Al-Quran menyebut firman Allah yang bermaksud ‘sesungguhnya tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdi kepadaKU).
Tetapi membunuh orang (sekalipun pihak musuh) yang hanya menyerang kita dari dua sudut pancaindera adalah tidak adil apatah lagi serangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kesakitan dan kerugian (bahkan ia menguntungkan) kepada umat Islam, melainkan hukum membunuhnya jelas dan nyata menurut al-Quran dan as-Sunnah, maka wajiblah ia. Memboikot barangan buatan atau yang dipasarkan oleh Belanda negara Wilders boleh mengakibatkan musibah kepada orang yang tidak berdosa seperti anak-anak pekerja syarikat terbabit.
Justeru itu, umat Islam tidak seharusnya tertipu oleh perangkap dan jerat di sebalik penayangan klip filem FITNA.
Jika klip itulah yang menyebabkan umat Islam marah, apakah perbezaan klip atau filem tersebut dengan filem-filem lain? Bukankah ia dihasilkan menggunakan bahan-bahan, peralatan dan teknologi yang sama dengan pembikinan filem-filem keluaran negara Islam atau yang dihasilkan oleh produser-produser Islam?
Jika mesej klip itu yang menimbulkan kemarahan umat Islam, kenapa pula umat Islam tidak boleh membuat klip semisalnya untuk menyongsangi kandungan atau mesej klip tersebut? Apakah yang menghalang umat Islam berbuat demikian?
Jika umat Islam amat peka terhadap serangan melalui pancaindera mata dan telinga (deria pandang dan deria dengar), kenapa pula umat Islam bersifat toleransi terhadap serangan melalui pancaindera lain seperti rela disentuh kulit (bahkan dizinai, atau berzina) oleh atau dengan yang bukan muhrim (deria sentuh), memakan makanan yang lazat-lazat sekalipun yang tidak halal (deria rasa) dan memakai wangi-wangian yang menggairahkan atau menghidu gam yang boleh memudaratkan kesihatan dan kekuatan fizikal (deria hidu)?
Melihat aurat sekalipun aurat sendiri adalah haram. Kenapa pula menonton filem-filem biru (BF), melihat gambar-gamar porno (terutama dalam katalog) dan menonton persembahan pentas yang mempertontonkan adengan lucah (deria pandang), memperdengarkan alunan lagu menyongsangi irama nasyid (deria dengar), menyebabkan berhimpit-himpit untuk membeli tiket atau bersalaman (deria sentuh), mengambil gula-gula yang mengasyikkan (deria rasa), memakai bau-bauan yang memberangsangkan (deria hidu) dibolehkan? Sebaliknya menonton klip filem FITNA diharamkan?
Kenapa serangan lain melalui deria padang dialu-alukan seperti penerimaan pelbagai fesyen seksi yang mendedahkan aurat sipemakai?
Kenapa serangan lain melalui deria rasa dialu-alukan seperti penerimaan menu atau resepi makanan berdasarkan kritera ‘lazat’ dan bukan kriteria ‘halal’?
Kenapa serangan lain melalui deria bau dialu-alukan seperti penerimaan minyak wangi beralkohol dan sebagainya?
Kenapa serangan lain melalui deria dengar seperti penerimaan irama lagu dan penulisan lirik yang bertentangan bahkan bukan sahaja dengan nilai-nilai Islam tetapi nilai budaya direlakan?
Kenapa serangan lain melalui deria sentuh dialu-alukan seperti disalami atau menyalami, dipeluki atau memeluki, atau diciumi atau menciumi yang bukan muhrim?
Bersesamalah kita memikirkannya.
FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!
# Anda nak tahu siapakah
Geert Wilders? Klik di sini








Mohd Shah A Hassan # 7. April 2008, 07:45
Ulasan awal saya mengenai klip tersebut ialah 'tiada apa-apa. Tiada apa-apa yang harus dibimbangi. Mohon ampun dan maaf kepada seluruh saudra Islamku di seluruh dunia. Apabila saya katakan 'tiada apa-apa, itu tidak bermakna saya menyokong Wilders jauh sekali untuk bersekongkol dengan laknatullah di mana pun mereka berada, dan dari mana pun mereka datang.
ASYHADU AL LAA ILAAHA ILL-ALLAH, WA ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH
Saudara-saudara boleh download sendiri klip tersebut dari internet. Saudara-saudara juga boleh mengikuti sinopsis klip FITNA dan mengambil bahagian dalam forum atau memberi komentar/pandangan/penafian dan seumpamanya di laman web rasmi Radio Belanda.
Saya cadangkan kepada saudara-saudaraku di seluruh dunia untuk download klip tersebut terlebih dahulu dan tonton untuk saksikan sendiri kandungan FITNA. Kemudian ramai-ramai buat ulasan komen terhadap klip tersebut, beri penjelasan mengenai kekeliruan penerbit terhadap Islam dan inilah satu peluang umat Islam untuk berdakwah ke seluruh dunia, yang amat dibimbangi oleh Wilders dan pasukannya. Gunakan saluran yang sah dan betul iaitu laman web rasmi Radio Belanda itu.
Saya akan tonton lagi kilp video tersebut, kaji dan beri ulasan kemudian, dalam blog ini.