SAMBUTAN HARI MERDEKA: MASIH RELEVANKAH LAGI?
Monday, August 24, 2009 5:33:23 PM
Sejak dulu hingga kini, setiap kali kita menyambut Hari Kebangsaan atau merayakan Bulan Kemerdekaan, acara kemuncaknya ialah upacara perbarisan. Kontinjen ATM dan PDRM akan menjadi tumpuan di mana-mana acara sama ada di peringkat zon, negeri apatah lagi peringkat kebangsaan. Hal ini kerana merekalah yang bertanggungjawab memikul beban yang lebih berat berbanding agensi-agensi kerajaan yang lain mahupun orang awam, dalam hal mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara. Pada kebiasaannya, pertunjukan bunga api juga diadakan pada waktu malam sebagai tanda kegembiraan kerana hidup yang 'merdeka'.
Pada 31 Ogos ini Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 49 tahun. Sebenarnya yang merdeka 49 tahun ialah Tanah Melayu (Malaya), bukan Malaysia. Malaysia akan menyambut ulang tahun ke 43 tahun pada 16 Sept depan.
Tetapai yang menjadi persoalan saya di sini ialah adakah Sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan itu masih relevan? Anda jangan marah, teruskan baca dahulu dan beri komen di ruangan yang tersedia.
Pada pendapat saya, sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan tidak lagi relevan dalam konteks asalnya. Sambutan ini hanya akan mengikat minda kita supaya tidak maju. Apalah ertinya kita cuba mengenang masa silam sedangkan masa hadapan belum tentu menjanjikan apa-apa kemerdekaan kepada kita?
Saya tidak mengatakan atau mencadangkan supaya sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan dihapuskan. Tetapi dapatkah kita bayangkan sekiranya setiap tahun kita dapat mempertontonkan kejayaan demi kejayaan yang telah kita ciptakan, yang telah kita kecapi, dan yang telah kita sumbangkan kepada kemakmuran sejagat? Justeru alangkah baik sekiranya sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan itu digantikan dengan sambutan atau perayaan lain yang lebih fokus kepada masa hadapan bukan mengingat masa lampau? Sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan hari ini hanya mengajar dan mendidik anak-anak dan generasi muda untuk berbangga ke atas pencapaian orang lain (para pejuang kemerdekaan) tetapi tidak berbangga kepada kejayaan dan pencapaian mereka sendiri.
Oleh itu, sudah sampai masanya perkara ini direnung dan difikirkan semula. Pengisian sambutan Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan harus dikaji semula. Lebih baik pada setiap 31 Ogos atau dalam tempoh 17 Ogos - 16 Sept itu diisi dengan pelbagai acara yang menunjukkan pencapaian anak Malaysia di persada antarabangsa daripada mengingat peristiwa lampau yang tidak akan berulang itu. Pertandingan rekacipta, pameran rekacipta dan sebagainya adalah lebih baik, pada hemat saya. Acara-acara pengisian ini mestilah merangkumi kemajuan daripada aspek kebudayaan, pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, ICT, sosial dan sebagainya.
~ Haikal ~
# Mungkin tulisan ini tidak teratur, sebab saya bukan seorang penulis. Tetapi sudah memadai sekiranya para pembaca dapat menyelami mesej yang saya bincangkan ini. Mungkin anda boleh membantu memperincikannya.
Tulisan ini pernah disunting pada hari ini, 14 Ogos 2009
Tulisan asal bertarikh 4 Ogos 2006








Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Thursday, August 10, 2006 4:27:25 PM
1. Isytiharkan Minggu Kecemerlangan Malaysia
2. Isytiharkan Hari Gemilang Malaysia
3. Isytiharkan Hari Terbilang Malaysia
Minggu Kecemerlangan Malaysia
Bermula pada 31 Ogos dan berakhir pada 16 September. Minggu Kecemerlangan Malaysia hendaklah diisi dengan pelbagai acara seperti pameran, pertandingan, pengisahan atau penceritaan, penganugerahan, ceramah atau pidato khas oleh tokoh terpilih, jerayawara dan sebagainya bagi mempertontonkan segala bentuk kejayaan yang telah dicapai oleh rakyat Malaysia sama ada di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa; dan merangkumi semua aspek daripada pendidikan, ekonomi, sosial, teknologi, sukan dan sebagainya.
Hari Gemilang Malaysia
Disambut pada 31 Ogos dan sebagai perasmian pelancaran Minggu Kecemerlangan Malaysia. Pengisian Hari Gemilang Malaysia sama seperti sambutan Hari Kebangsaan, sama ada dengan atau tanpa pengubahsuaian.
Hari Terbilang Malaysia
Disambut pada 16 September dan sebagai perasmian penangguhan Minggu Kecemerlangan Malaysia. Pada hari ini, segala hadiah-hadiah, anugerah, pengiktirafan lain dan sebagainya yang telah menjulang nama baik Malaysia dan mengangkat martabat bangsa Malaysia disampaikan.
Anonymous # Tuesday, August 15, 2006 8:06:00 AM
Anonymous # Tuesday, August 15, 2006 8:08:26 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, August 15, 2006 4:19:24 PM
Setiap kali 31 Ogos atau 16 Sept menjelma, generasi muda selalu digesa untuk mengingati perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan. Inilah yang saya rasa perlu dibetulkan. Generasi muda seharusnya digesa untuk menghargai bukan mengingati. Generasi muda sepatutnya memahami matlamat perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan supaya mereka dapat meneruskan perjuangan (yang belum selesai) itu, bukan sekadar memaklumi atau maklum bahawa alm. Y.M Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya telah memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu dan menubuhkan Persekutuan Malaysia.
Haruskah kita hanya mengenang jasa satu dua orang tokoh dan melupakan jasa lebih ramai tokoh yang lain? Bagaimana tokoh muda (yang terkemudian daripada Alm Y.M Tunku) atau tokoh-tokoh pejuang yang aktif bukan dalam arena politik? Mereka langsung tak dikenali/diketahui? Saya yakin ramai tokoh yang telah mengangkat darjat Malaysia ke tangga yang ada sekarang bukan dari kalangan politikus - mereka dari kalangan akademikus, ekonomikus, budayawanikus, sosialikus, dan banyak kus-kus yang lain lagi (maaf guna bahasa/istilah yang tak ada dalam Kamus Dewan) tetapi jasa mereka bukan sahaja tidak diketahui tetapi tidak pernah ditonjolkan kepada umum.
Apa yang saya cadangkan itu ialah untuk menonjolkan kejayaan lebih daripada menonjolkan tokoh atau peristiwa. Memanglah kita kena berbangga kepada tokoh dan jasa-jasa mereka tetapi kita seharusnya lebih berbangga terhadap kejayaan tokoh dan kejayaan kita semua apabila kita dapat meletakkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Minggu Kecemerlangan Malaysia yang saya cadangkan itu pun disambut Sempena Hari Kebangsaan negara kita juga. Jadi kita tetap meraikan Hari Kemerdekaan tetapi dengan cara dan gaya baru iaitu melalui Sambutan Minggu Kecemerlangan Malaysia.
Siapa tahu berapa banyak teori dan hasil penyelidikan yang dicapai oleh IPT, individu, koporat, NGO dan sebagainya yang menjadi harta intelek rakyat Malaysia, yang telah digunapakai oleh negara-negara dunia ketiga - bahkan negara maju? Kalau adapun yang tahu tetapi cuma sedikit, ia tidak diketahui umum. Sebab itu ia perlu ditonjolkan setiap tahun. Pencapaian tahunan, dwitahunan, tritahunan, empat tahunan, lima tahunan dan sebagainya harus ditonjolkan supaya generasi muda dapat belajar dan mengambil iktibar generasi mana atau tahun mana pencapaian negara kita Malaysia di tahap tertinggi.
Mungkin ada orang berkata kejayaan-kejayaan tersebut sentiasa dilaporkan dalam berita dan surat khabar. Memang benar, tapi berapa ramai orang yang membacanya? Dan berapa kali kejayaan tersebut disiarkan?
Tentang negara yang tak sambut hari kemerdekaan itu ada dua sebab. Pertama ia tidak pernah dijajah sebab itu tiada hari kemerdekaannya. Kedua kerana negara berkenaan masih dijajah sebab itu tidak ada titik mula merdeka baginya.
Ok, terima kasih banyak-banyak kepada saudara-saudara yang telah memberi respons/komen. Anda anak Malaysia, marilah kita menjadi Anak Malaysia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang bukan hanya tahu mengenang tetapi berani untuk berjuang, menentang pengkhianat dan memangkas mereka yang curang.
Anonymous # Saturday, August 19, 2006 11:23:29 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Sunday, August 20, 2006 4:24:34 AM
Memang benar pada 31 Ogos 1957 ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan kata hikmat MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! itu Sabah masih dijajah. Pejuang-pejuang kemerdekaan Sabah khususnya Tun Datu Mustapha Harun masih terkial-kial memikirkan bagaimana untuk memerdekakan Sabah. Sebenarnya, pada masa itu nama 'Sabah' pun belum wujud. Negeri budak sabah pada masa itu dikenali sebagai North Borneo atau Borneo Utara, dan pada 31hb Ogos 1957 itu, Tun Dr. Datu Mustapha Harun turut hadir pada Majlis Hari Perisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bagi mewakili Kerajaan Borneo Utara. Tun Dr. Mustapha pada ketika itu adalah Ahli Majlis Kerja (setaraf Menteri pada hari ini) Borneo Utara.
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai seorang pemimpin berwawasan telah memikirkan bagaimana untuk mengeluarkan keseluruhan Nusantara daripada belenggu penjajahan. Pada masa yang sama Tun Mustapha memikirkan bagaimana untuk memerdekakan North Borneo.
Akhirnya, termeterailah persetujuan semua pihak termasuk British yang menjajah North Borneo, Brunei, Sarawak dan Singapura untuk menubuhkan Persetukuan Malaysia pada 16 Sept 1963. Tetapi Brunei telah keluar daripada persetujuan itu dan ia tidak menjadi ahli dalam Persekutuan Malaysia (Justeri itu Brunei kekal menjadi negeri di bawah naungan British sehinggalah 1984 apabila ia dilepaskan oleh British sebagai negeri naungannya). Sebaliknya pula, North Borneo, Sarawak dan Singapura bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu (yang sudah mencapai kemerdekaannya lebih awal iaitu pada 31 Ogos 1957) telah membentuk Persekutuan Malaysia.
Dengan pembentukan Persekutuan Malaysia inilah maka negeri-negeri North Borneo (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura merdeka daripada penjajahan Britih. Kes khas bagi Borneo Utara dan Sarawak ialah 20 Perkara yang oleh budak sabah tak ketahui lagi pada hari ini. Antara yang penting dalam 20 Perkara (syarat pembentukan Persekutuan Malaysia) itu ialah nama Borneo Utara atau North Borneo ditukar menjadi Sabah. Dari situlah wujud nama negeri Sabah hingga ke hari ini, dan insya-Allah pada masa hadapan.
Sebagai kesimpulan mudah untuk makluman budak sabah:-
31 Ogos 1957 adalah hari kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada negeri-negeri Melayu di Semenanjung Malaysia sahaja. Pada masa itu jugalah Wilayah Persekutuan (kini lebih dikenali sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membezakannya daripada Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putra Jaya) terbentuk.
16 September 1963 adalah hari kemerdekaan bagi North Borneo untuk menjadi negeri Sabah, Sarawak dan Singapura, dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia.
Walau bagaimanapun Singapura telah disingkirkan daripada Persekutuan Malaysia pada 1965 dan menjadilah ia sebuah negera yang bersingan.
"Kita orang, orang kita, jangan lupa sejarah kita"
Anonymous # Wednesday, August 23, 2006 12:40:11 AM
Anonymous # Wednesday, August 23, 2006 2:26:59 PM
Anonymous # Sunday, August 27, 2006 1:43:07 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Monday, August 28, 2006 7:04:31 PM
awak tak hayati dengan teliti apa tujuan kemerdekaan tu..
Justeru kerana menghayatinyalah maka saya tulis artikel ini dan mengemukakan cadangan tersebut, sekiranya ia dapat membawa Malaysia ke mercu kejayaan sebagai imbalan kepada kemerdekaan itu sendiri.
ingat sikit,kalau bukan sebab jasa mereka yang terdahulu,kita takkan selesa di bumi sendiri..
Saya sangat setuju 100% dengan kenyataan ini dan justeru itulah maka kita seharusnya tidak menghampakan harapan mereka. Generasi muda seharusnya terus disegani sebagaimana para pejuang kemerdekaan itu telah disegani (oleh kawan dan lawan). Tapi siapakah yang akan segan kepada generasi muda ini jika sumbangan mereka itu tidak diketahui oleh sesiapa (secara nasional atau global)?
kataakan ye. ibu bapa kite sudah meninggal,apakah awak takkan ingat lagi jasa mereka,(?)
Kita bukan sahaja wajib mengingati ibu bapa kita yang sudah meninggal dunia, bahkan kita wajib melaksanakan amanat mereka. Apakah amanat mereka itu? Menjadilah anak yang baik, anak yang soleh, anak yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara. Bahkan satu tanda keberterusannya kasih sayang kita kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia itu ialah melakukan perkara-perakara yang baik-baik belaka kerana pahala perbuatan kita itu akan turut dirasai oleh mereka kelak.
hanya sibuk pikir tentang masa depan?
Masa depan hanya Allah s.w.t yang tahu. Manusia hanya boleh merancang dan mengharapkan reda Allah dan kurnianya untuk menjadikan perancangan itu berjaya.
kalau sekarang ni awak dah buat ape2 untuk bangga kan kuarga awak,katakan nanti bile anak2 tu dah besar,seme mesti takkan kenang jasa awak sebab buat ape nak pikir jasa bapak lagi.
Pada saya, jasa bukan untuk dikenang tetapi untuk dinikmati. Sekiranya ajaran atau pengajaran ibu bapa itu boleh dikatakan sebagai jasa (pada saya ia sebenarnya adalah satu tanggugjawab), maka untuk menikmati pengajaran tersebut ialah dengan menggunakannya mengikut sebagaimana yang telah diajarkan itu.
Sekiranya para pejuang kemerdekaan, pasukan keselamatan dan pemimpin-pemimpin serta semua yang berkenaan itu telah menaburkan jasa (berbakti dengan penuh tanggungjawab) sehingga dapat memastikan negara kita merdeka, aman dan makmur, maka rakyat harus menikmatinya dengan menggunakan suasana aman, makmur dan suasana sentosa itu untuk melipatgandakan usaha demi mengekalkan status merdeka dan suasana aman, makmur dan sentosa sepanjang masa.
..jadi,gunakan akal yang Allah bagi tu untuk pikir tentang seme perkara..jangan terlalu pandang ke hadapan.
Insya-Allah, dengan izin dan limpah kurania-Nya kepada hamba-hamba-Nya jua
kalau dah leka memandang bintang di langit sampai bumi tmpat kite berpijak ni pun dilupakan, tak ader makna lagi awak hidup.
Masya-Allah...sesungguhnya Allah telah menjadikan langit dan bumi itu sebagai ayat-ayat-Nya untuk menjadi pengajaran kepada kaum yang berfikir (menggunakan akal).
bukan awak, malah sesiapa yang dah hilang semangat merdeka ni..pikir2 kan,dan renungka...
Mudah-mudahan saya tidak diuji dengan ujian yang tidak termampu saya memikulnya....aminnnn ya rabbal alaminnn...
Anonymous # Thursday, September 14, 2006 3:55:14 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Monday, September 18, 2006 2:21:55 PM
boleh saya tau fakta sebenar? tempat pengisyhtiharan kemerdekaan di mana sebenarnya. ada dalam buku menyatakan 31 ogos 1957 di padang kelab selangor. boleh ke jika ada yang mengatakan di dataran meredeka?
Padang Kelab Selangor terletak di hadapan Bangunan Sultan Idris yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara kerana di bangunan itu ditempatkan Mahkamah Agung. Dataran Merdeka juga terletak di hadapan bangunan yang sama.
Justeru kalau dilihat dari segi koordinat garisan lintang dan garisan bujur kedua-dua nama itu merujuk kepada tempat yang sama. Tempat itu telah diberi rujukan nama sebagai Padang Kelab Selangor (sudah tentu sejak sebelum 31 Ogos 1957 sehinggalah 30 Ogos 1990 apabila nama tempat itu ditukar kepada Dataran Merdeka pada 31 Ogos 1990. Serentak dengan pertukaran nama daripada Padang Kelab Selangor kepada Dataran Merdeka ialah berdirinya tiang bendera gergasi (pada masa itu tiang bendera tersebut adalah yang tertinggi di dunia) di dataran tersebut. Kerja-kerja pembinaannya telah dimulakan lebih awal kerana ia akan digunakan sebagai tapak sambutan ulang tahun kemerdekaan pada 1990.
Untuk peringatan linda, dekad 1990-an itu adalah dekad yang banyak mencatat sejarah 'besar-besar' di Malaysia. Misalnya bendera terbesar di dunia (sebesar ukuran bangunan Angkasapuri), billboard terbesar di dunia, sate terpanjang di dunia, bendera (Malaysia - Jalur Gemilang) terpanjang di dunia dan macam-macam lagi besar dan panjang.
Tahun 1990 merupakan tahun permulaan diadakan konvoi merdeka yang pada masa itu dikenali sebagai Larian Bendera Malaysia. Saya berpeluang menyertai larian itu bagi laluan Utara - Selatan (Taiping, Perak).
Berbalik kepada pokok pertanyaan anda, sekiranya ada orang yang mengatakan perisytiharan kemerdekaan (31 Ogos 1957) di lakukan di Dataran Merdeka, anda sebenarnya telah dikelirukan. Ini kerana walaupun kedua-dua nama itu merujuk kepada tempat yang sama tetapi ia merujuk kepada zaman yang berbeza. Saya perhatikan perkara-perkara remeh sebegini banyak berlaku di negara kita. Satu contoh ialah UMNO sebagai parti politik orang Melayu. Dikatakan UMNO telah mencapai usia lebih 50 tahun (tahun ini 60 tahun). Kalau benar begitu, kenapa Parti Semangat 46 pernah wujud? Setahu saya UMNO yang ditubuhkan pada 1946 itu telah dibatalkan pendaftarannya pada 1987, kemudian ditubuhkan UMNO Baru pada tahun tersebut. Kesan daripada pertelagahan sehingga menyebabkan UMNO yang ditubuhkan pada 1946 itu dibatalkan telah melahirkan parti baru yang cuba mendokong dan mengekalkan semangat orang Melayu dan kekuatan UMNO sebagaimana pada masa ia mula ditubuhkan pada tahun 1946 itu; parti itulah Parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razali Hamzah manakalan UMNO Baru (yang ditubuhkan pada tahun 1987) dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Mahathir (kini Tun).
Agaknya linda ingin mengatakan bahawa perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tak ada bezanya sama ada ia adalah untuk kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) atau Malaysia. Jika demikian, sekali lagi saya nyatakan bahawa yang merdeka atau diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957 itu hanya meliputi kawasan geografi Semenanjung Tanah Melayu, ia tidak termasuk Singapura dan tanah atau negeri-negeri di Kepulauan Borneo.
Dalam blog ini (di bawah tajuk lain) saya ada menulis bahawa Malaysia tidak pernah dijajah dan oleh itu Malaysia sebenarnya tidak perlu memerdekakan dirinya kerana sememangnya dilahir dalam keadaan merdeka. Kalau ada yang mengatakan Malaysia pernah dijajah, saya pula nak tanya: bila dan di mana perisytiharan kemerdekaan Malaysia dilakukan.
ada lagi pulak yang mengatakan di Melaka?
Kita berpegang kepada fakta sedia ada bahawa perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu dilakukan di Padang Kelab Selangor. Mungkin juga Tunku pernah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu itu di hadapan Queen di England.
Anonymous # Tuesday, March 6, 2007 7:21:19 AM
Anonymous # Monday, June 4, 2007 7:20:32 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, June 5, 2007 10:13:42 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Wednesday, July 18, 2007 6:42:18 AM
Yang dikatakan sejarah atau yang menjadi sejarah adalah kesan perlakuan atau perbuatan (baik atau buruk) umat pada satu-satu era yang menunjukkan tahap keupayaan mereka menggunakan upaya akal dan fikiran, sama ada kesan tersebut berupa satu kehancuran atau satu kejayaan. Hasil yang mereka tinggalkan itu, yang menunjukkan tahap keupayaan mereka menggunakan akal fikiran merupakan rakaman tamadun atau ketamadunan mereka pada era tersebut. Rakaman ketamadunan itulah yang dikatakan sejarah; bukan masa atau zaman yang menyaksikan rakaman itu berlaku.
Ini jelas menunjukkan bahawa manusialah yang mencipta sejarah, bukan sejarah yang menentukan hala tuju kehidupan manusia. Manusia harus membentuk persekitarannya, bukan persekitaran yang membentuk manusia...
# Bagaimanakah agaknya Nabi Adam a.s dan isterinya Hawa berfikir untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka dan generasi yang mereka tinggalkan pada hal tiada satu sejarah kehidupan (tamadun) sebelum mereka?
Anonymous # Friday, August 21, 2009 9:57:41 PM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Wednesday, November 4, 2009 2:02:35 PM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Wednesday, October 6, 2010 3:42:07 PM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Thursday, February 10, 2011 12:41:52 PM
YPM kumpul maklumat tokoh pendidik bumiputera seluruh dunia
Sumber: Utusan Online
10/02/2011 7:09pm
DUNGUN, 10 Feb. - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) merancang penubuhan satu unit khas bagi mengumpul data pencapaian bumiputera dalam semua sektor pendidikan di seluruh dunia.
Pengerusinya, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan berkata, unit itu, yang dikenali sebagai Sekretariat Pendidikan Bumiputera, akan mengumpul maklumat mengenai tokoh pendidik dari pelbagai peringkat kerana setakat ini, tidak ada pertubuhan atau organisasi yang berbuat demikian.
"Kita berharap dengan penubuhan unit itu, yang dijadual akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada April atau Mei nanti, akan membantu kerajaan dan negara menyediakan tokoh-tokoh bersesuaian dengan program yang hendak diadakan,” katanya. - Bernama
Anonymous # Tuesday, September 6, 2011 10:34:44 AM
Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Friday, January 13, 2012 10:35:32 AM
Originally posted by SHAHAIKAL:
MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
Tahun 2012 – Tahun Gerakan Inovasi
* Program penerapan & pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA
* Program Jejak Inovasi bagi menggalakkan pencetusan idea baru
* Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia
http://www.1malaysia.com.my/my/blog/follow-the-2012-budget-tabling-live-here/