'Dr M cuba jatuhkan PM'
Sunday, August 13, 2006 3:53:53 AM
Berita Minggu Online
Nazri sedia tampil sebagai pendekar Umno untuk bela parti
KUALA KANGSAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) menganggap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengkritik pemimpin dan kerajaan bertujuan mahu menghancurkan parti dan menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Kalau dia terus juga bagi hancur parti kita, dia mahu lihat Umno hancur, lihat presiden turun, saya akan tampil ke hadapan sebagai pendekar Umno untuk membela parti kita. Marah la, saya tak kira", katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati di sini, semalam.
Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mempertikaikan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau tidak berniat memecah-belahkan Umno.
"Macam mana Umno tidak berpecah. Hari ini pun orang tanya siapa yang betul (Tun atau Pak Lah). Itu pun sudah (dikira) berpecah-belah. Macam mana dia kata tak pecah (belah)", katanya.
Beliau juga menyifatkan kritikan Dr Mahathir sebagai cabaran paling besar dihadapi Umno dan kerajaan ketika ini.
"Pas tidak bersuara, Keadilan tidak bersuara, DAP tidak bersuara tetapi pembangkang yang paling kuat pada hari ini yang mahu melihat Perdana Menteri kita jatuh dan turun ialah bekas presiden kita. Jadi macam mana?" katanya.
Nazri yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Rengas berkata, walaupun Dr Mahathir bebas mengkritik kepemimpinan kerajaan tetapi melakukannya di depan ahli parti pembangkang adalah pendekatan yang salah.
-------ooooooo0ooooooo-------
Kenapa Datuk Nazri marah sangat dengan mantan PM Tun Dr M? Kenapa Datuk Nazri tak nampak apa yang Khairy nampak?
Dalam masa Khairy berusaha kuat untuk menyelidik bagi membukttikan kebenaran dan membersihkan kecelaruan tanggapan di kalangan orang Melayu, di samping dia (Khairy) cuba membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin muda yang berkeliber, Datuk Nazri pula memperlihatkan nada yang berlainan.
Datuk Nazri nampaknya seolah-olah memperlihatkan sikap mengadu domba untuk mengalih perhatian Mr. Clean. Apa tidaknya, setelah diselamatkan oleh Tun satu ketika dulu daripada kes BPR yang melibatkan berjuta-juta ringgit semasa beliau (Datuk Nazri) memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mr. Clean telah mengheret beberapa orang termasuk menteri penuh persekututan ke muka pengadilan untuk memastikan wujud 'clean environment' dalam pemerintahan Mr. Clean. Siapakah seterusnya setelah Datuk Kasitah Gadam?
Datuk Nazri mengaku bahawa PAS tak bising, Keadilan tak bising, DAP tak bising. Sebaliknya Datuk Nazri mendakwa Tun Dr M lah yang menjadi pembangkang yang paling kuat pada hari ini. Kenapa Datuk Nazri tidak dapat menerima keikhlasan Tun? Sepatutnya pengakuan Datuk Nazri sendiri membuktikan keikhlasan tersebut apabila dia (Tun) berjaya menutup mulut atau menyatupadukan ketiga-tiga parti lawan itu sehingga mereka tidak lagi 'bersuara'.
Saya bukan penyokong Dr M kerana saya bukan ahli UMNO. Tetapi setelah 18 tahun (1984 - 2002) saya mengkritik dasar-dasar Dr M, akhirnya saya dapat memahami pemikiran Dr M walaupun ada antaranya yang saya tak setujui. Dan pada masa itulah (2002) akhirnya saya sampai kepada satu kesimpulan iaitu-
Anda tidak akan nampak kebaikan pada seseorang sehinggalah anda tidak lagi mempunyai bahan untuk memburuk-burukkan orang itu. Sebaliknya anda juga tidak akan nampak keburukan seseorang sehinggalah anda tidak lagi mempunyai bahan untuk memuji-mujinya.
Apapun saya tetap berdoa agar bangsaku mendapat perlindungan Allah s.w.t daripada pelbagai fitnah yang dilontarkan oleh musuh-musuh yang nyata mahupun yang tersembunyi.
AMIN!...
Sesuatu untuk kita renungkan, kalaulah dengan satu dua pertanyaan yang ditimbulkan oleh seorang dua individu tidak dapat kita jawab dan perjelaskan, apa lagi kalau pertanyaan itu datang dari sekumpulan besar masyarakat dengan bertubi-tubi pula? Dan kalaulah kita sudah tidak mampu memberi penerangan dan menjawab setiap pertanyaan, bagaimanakah kita boleh memikul tugas yang sememangnya kian hari kian mencabar itu?
Wallahu a'lam








Unregistered user # Wednesday, September 29, 2010 2:13:33 AM