HATI YANG HIDUP

Binasanya Hati Adalah Kerana Lalai & Lupa, Hidupnya Hati Kerana Takut & Zikir.

AKIBAT MAKSIAT

AKIBAT MAKSIAT

Maksiat lawannya taat. Kedua-duanya, hanya Allah swt yang tahu. Maksiat ada kesannya, taat pun ada kesannya tersendiri. Ketaatan menjadi suatu yang manis bagi si Mukmin, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi mereka yang engkar. Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat...

Mukmin, sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan. Walaupun hanya Allah swt yang tahu semua tindakan ketaatan dan juga kemaksiatan insan, kesan dan pengaruhnya dapat dilihat semasa hidup di dunia.

1. Tidak Mendapat Ilmu
2. Tidak Mendapat Rezeki
3. Kerisauan dan Kesepian Hati
4. Banyak Mendapat Kesulitan
5. Kegelapan di dalam hati
6. Melemahkan Hati dan Badan
7. Kehilangan ketaatan
8. Mengurangi umur dan mengikis berkah

1. Tidak Mendapatkan Ilmu
Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah swt ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut.
Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafie yang belajar dengarnya,
"Saya melihat Allah swt telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat." Imam Syafie juga pernah mengeluh, "Saya mengeluh kepada Waki', hafalanku lemah; lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat." Sambung Waki', "Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan Allah swt tidak berikan kepada pelaku maksiat."

2. Tidak Mendapatkan Rezeki
Dalam Musnad Imam Ahmad:
"Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat." Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah swt itu mendapatkan rezeki, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan.

3. Kerisauan dan Kesepian di Hati
Antara hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah swt, tidak ada keseimbangan dan keterkaitan yang dirasai sebagai kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut.
Tidak ada yang lebih pahit dalam hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain, lebih-lebih lagi dari orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi. Akhirnya, jika hati yang terasa terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah swt. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan tertekan dalam dirinya.

4. Banyak mendapat kesulitan
Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam berbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.

5. Kegelapan dalam hatinya
Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan seperti gelap pekatnya malam. Bila ia diberi petunjuk, maka kegelapan maksiatnya itu masuk menutupi hatinya.
Berkata Abdullah bin Abbas:
"Sesungguhnya pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya. Adapun pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang."

6. Melemahkan hati dan badan
Orang Mukmin itu kekuatannya terletak pada hati. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya paling lemah. Bayangkan, kekuatan badan orang-orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang Mukmin dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah swt.

7. Kehilangan ketaatan
Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang dari ketaatan terhadap Allah swt. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan yang lainnya, sedangkan ketaatan itu lebih baik daripada dunia seisinya.

8. Mengurangi umur dan mengikis berkah
Sebahagian ulamak mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat ialah kerana hilangnya berkah umurnya. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati. Umur manusia selama waktu-waktu hidupnya sentiasa bersama Allah swt, itulah yang merupakan waktu-waktu umurnya. Bila hidupnya berpaling dari Allah swt dan sibuk dalam kemaksiatan, akan hilanglah hari-hari hidupnya yang hakiki. Sehingga pada akhirnya orang itu akan berkata:

Ia akan berkata:
"Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"
(Al-Fajr:24).

16/08/2006 19:26:31
ABM 0125060523
abm667@yahoo.com

IMAN MAMPU DITINGKATKAN.

Comments

Abu Umarazmibhr Friday, April 27, 2007 5:15:01 PM

"Demi jiwa dan penyempurnaannya, diilhamkan padanya fujurnya (kejahatan) dan taqwanya".

Inilah hakikat diri kecenderungan kepada kejahatan dan kebaikan adalah fitrah insan. Ibnu Jauzi menyebut : Kecenderungan jiwa manusia kepada kejahatan seperti air yang menuruni bukit sebaliknya kecenderungan kepada kebaikan seperti air yang mendaki bukit yang tinggi yang memerlukan tenaga dan usaha tambahan.

Inilah hakikat insan, sekiranya kita meyakini bahawa ketaatanlah yang akan menyelamatkan Akhirat kita maka ketaatan itu tidak akan diperolehi dengan jalan mudah; segalanya menuntut pada pengorbanan dan bayaran yang tinggi.

Sekiranya kita hajatkan syurga dan keredhaan Allah maka hajati jugalah setiap perkara yang akan menyampaikan kita pada apa yang kita hajati. Sekiranya kita terpaksa kurangkan tidur dan rehat maka apa lagi pilihan yang kita ada. Sekiranya harga bagi kejayaan itu adalah kepayahan dan kesabaran maka persiapkanlah bekalan secukupnya.

Kesenangan tak akan diperolehi dengan kesenangan pula, sebaliknya kesenangan dan kenikmatan hanya akan datang setelah kepayahan dan pengobanan.

Badrul Hisham B Sulaiman Friday, May 11, 2007 4:15:44 PM

" KEMANISAN IMAN : KEBAHAGIAN HAKIKI MUKMIN SEJATI"

Penulis tertarik untuk mengulas tentang ungkapan yang ditulis oleh Saudara Azman Musa di bawah tajuk " Hati Yang Hidup " iaitu ungkapan yang berbunyi " Kemanisan Hanya Dapat Dirasai Oleh Hati Yang Hidup Kerana Ada Hubungan Dengan ALLAH".

Sesungguhnya iman yang tiada kemanisannya umpama gula yang sudah hilang sifat kemanisannya. Maknanya tiada faedah dan nilainya berkilo-kilo gula yang kita beli di pasaraya seandainya gula yang dibeli itu tidak dapat memberi rasa manis dalam minuman atau masakan kita. Sifat manis itulah sifat yang ada pada zat gula itu sendiri. Maka begitu jugalah iman di dalam dada kita. Iman yang tiada sifat " halawah" nya adalah iman yang dusta , tidak sempurna atau hati yang memiliki iman itu masih berpenyakit dan perlu rawatan segera sebelum datangnya ajal kematian.

Justeru itu perlu difahami segala ajaran Islam baik berbentuk aqidah ( keyakinan dan keimanan), syariat ( urusan ibadat, undang-undang dan peratutan) , akhlak ( perlakuan manusia dan budi bahasanya) adalah bermatlamat ke arah membina hati yang sihat sejahtera ; yang benar-benar merasai manisnya iman .

Tanyalah diri anda masing-masing, andakah anda merasai kekhusyukan di dalam solat ? adakah anda merasa kesal dengan dosa yang pernah dilakukan ? adakah anda benar-benar cintakan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ? adakah anda benar-benar rindukan Allah dan syurgaNya ? adakah anda benar-benar takutkan kemurkaan Allah dan nerakaNya? Adakah anda rasa menyesal seandainya tertinggal satu malam untuk bangun berqiamullail dan bermunajat kepadaNya?
Atau anda anda boleh kepada diri sendiri ; Seronokkah aku dengan kehidupan dunia yang penuh dengan segala macam penipuan ini? Tenangkah hatiku ketika aku lalai dan lupa kepada zat Yang Maha Agung ?

Justeru itu, kita perlu berusaha untuk memiliki kemanisan iman. InsyaAllah kita akan merasa tenang dan bahagia dengan kehidupan yang dilalui walau apa jua keadaan kita. Redha , pasrah, tawakkal kepada Dia Yang Maha Kuasa dalam apa jua urusan kehidupan. Syukur atas segala nikmatNya dan sabar dengan segala macam ujian dariNya. Inilah diri kita, seorang hamba yang sebenarnya patut memberikan rasa kehambaan ( pengabdian diri) kepadaNya. Berapa ramai di kalangan manusia hari ini yang mengaku sebagai hamba Allah, tetapi pada masa yang sama mereka juga menjadi hamba kepada dunia, hamba kepada syaitan , hamba kepada hawa nafsu dan hamba kepada manusia dan macam-macam bentuk kehambaan. Semakin tinggi rasa kehambaan dan penyerahan yang dimiliki oleh seseorang hamba terhadap tuhannya, maka semakin mulialah dia di sisi Allah. Inilah hasil yang dipetik dari kemanisan iman.

Anas bin Malik, radiallahu anh menyebut bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ada bersabda , bermaksud:

" Tiga perkara , sesiapa yang terdapat dalam dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasai kemanisan iman :
1) Bahawa Allah dan RasulNya yang lebih dicintainya berbanding dengan yang lain.
2) Bahawa dia menyayangi seseorang semata-mata kerana Allah.
3) Bahawa dia benci kembali kepada kekufuran sebagaiman dia benci dirinya dicampakkan ke dalam api neraka."

Marilah kita perkuatkan hubungan kita dengan Allah. Melaksanakan segala titah perintahNya dengan penuh keikhlasan dan rasa kecintaan kepadaNya. Ingatlah kepada segala jenis nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita, samada nikmat yang zahir atau pun batin. Nikmat makanan, nikmat minuman, nikmat pakaian, kenderaan, anak, isteri, rumah yang selesa, harta yang mencukupi dan apa yang paling utama nikmat Iman dan Islam. Subhanallah, tidak termampu oleh kita untuk membalas segala pemberian Allah yang begitu banyak. Justeru itu, sentiasalah basahkan lidah dengan memujinya dan menyebut namaNya. Bukankah seseorang yang menyintai seseorang itu akan sentiasa menyebut-nyebut namanya??
Begitu jugalah seorang hamba yang terlalu menyintai dan merindui penciptanya , akan sentiasa menyebut namaNya , memujiNya, memohon keredhaan dariNya.

Tiada nilai kebahagiaan yang lebih paling besar dalam hidup seorang mukmin melainkan apabila dia merasai Allah sentiasa bersama dengannya, memeliharanya, menjaga , mengawasinya . Merasa nikmat dan bahagia apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Allah.

Hati yang merasai kemanisan iman tidak takut dengan mati. Bahkan sentiasa menaruh sangkaan baik dengan Allah. Bahawa Allah menerima ibadah yang dilakukan dan mengampunkan semua dosanya kerana Dialah Tuhan yang Maha Luas Rahmat dan Keampunannya.

Memang benar apa yang telah disabdakan oleh Rasul Yang Mulia:

Sesungguhnya telah merasai kemanisan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai rasul dan Nabinya.

Jauhkan diri anda dari segala bentuk maksiat, penderhakaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kualiti kemanisan iman itu sendiri.

Fikir-fikirkanlah kerana kita semua adalah makhluk yang telah dikurniakan dengan akal fikiran.

Unregistered user Sunday, January 23, 2011 4:27:38 AM

Julyunie Caiyok writes: terima kasih kerana memberi nasihat dan pengajaran yang bernas.

Write a comment

New comments have been disabled for this post.

June 2012
M T W T F S S
May 2012July 2012
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30