Kehidupan & Keimanan

Rasai Kehadiran ALLAH Dalam Setiap Detik Kehidupan

Berlalunya Sebahagian Umur

Kata Hassan al Basri "Kamu adalah hari-hari terkumpul, apabila berlalu satu hari maka berlalulah sebahagian dari (umur) kamu." Hari ini genaplah usia saya 38 tahun. Kalau ditolak umur sebelum baligh (katakan 15 tahun) maka 23 tahun dari umur saya yang berlalu itu benar-benar termasuk dalam perhitungan amal dan ketaatan. 23 tahun itu benar-benar mencorakkan masa depan akhirat saya, samada saya akan beruntung atau rugi di akhirat nanti. Kalau nak dihitung-hitungkan dengan pandangan kasar ternyata saya termasuk golongan yang rugi...hanya yang ada sekarang adalah pengharapan pada pengampunan dan rahmat Allah SWT.

Saya lahir dari keluarga yang terlalu rendah asas kefahaman Islam. Keluarga miskin yang terpaksa mengharungi kesusahan untuk 'survive'. Kebanyakan abang-abang dan kakak saya belajar sambil bekerja untuk menampung belanja persekolahan seperti yuran, peralatan dan sebagainya. Ayah saya tidak pernah menyuruh mereka kesekolah, kalau nak pergi juga...cari duit sendiri. Saya dan adik perempuan saya agak bernasib baik kerana lahir dan membesar ketika ibu dan ayah saya sudah agak berumur iaitu tempoh manusia merasakan kematian semakin menghampiri dan ada pula abang-abang yang dah bekerja dan membantu. Ketika itu ibu saya mula berjinak-jinak dengan surau dan kelas pengajian. Saya masih boleh ingat bagaimana ibu saya menghafal sifat 20 ketika sedang memasak...ketika itu saya baru masuk darjah 1 dan kami baru saja berpindah ke kampung Jabi (Batu Kurau, Taiping, Perak) untuk mulakan hidup baru ditempat baru. "ujud ertinya ada, mustahil Allah itu tiada...buktinya lihatlah alam ini..." itulah antara ungkapan yang saya dengari ketika berada di dapur menemani ibu saya memasak. Kadang-kadang ibu saya ceritakan pada saya sifat-sifat Allah walaupun pada masa itu saya masih kecil tetapi ianya tetap memberi kesan betapa alam ini dijadikan Allah SWT. Ketika itu ayah saya bekerja sebagai prebet sapu (macam teksi tapi tak ada permit), agak sibuk dan masih tidak istiqomah dengan solatnya. Ibu saya pula tidak bekerja jadi ada banyak masa untuk kesurau yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari rumah. Sekali sekala ibu saya menasihati ayah saya supaya menjaga solahnya. Alhamdulillah, mungkin kerana umur yang semakin tua, ayah saya menerima nasihat itu dengan mudah.

Ayah saya pada masa itu wataknya agak garang dan panas baran. Kami adik beradik tak pernah bergaduh didepannya. Kalau sedang bergaduhpun, bila nampak atau dengar ayah saya datang, kami terus baik macam tak ada apa-apa. Pernah juga saya dan abang saya bergaduh, tanpa disedari ayah saya datang dari belakang. Terus saja ayah saya menggengam rambut saya dan abang saya dan diangkatnya hingga tergantung diawang-awangan kemudian dilagakan kepala kami... memang kenangan 'manis' yang tak pernah dilupakan. setelah umurnya meningkat sikap panas barannya semakin berkurangan.

Kata abang-abang saya, saya dan adik saya sebenarnya agak beruntung kerana ketika saya lahir ibu dan ayah saya dah banyak berubah. Banyak juga 'mitos-mitos' tentang garang dan panas barannya ayah saya yang saya dengar dari abang-abang dan kakak saya. Jadi watak saya dan abang-abang saya memang agak berbeza kerana didikan dan suasana kami membesar agak berbeza. Saya dan ayah saya boleh bergurau dan berjenaka berbanding abang-abang saya dulu nak minta 5 sen pun takut. Tetapi yang agak pelik tidak ada seorangpun abang-abang atau kakak saya yang berdendam atau membenci ayah saya bahkan mereka selalu bercerita pengalaman mereka bersama ayah saya yang panas baran... ayah saya dan mereka ketawa macam dengar cerita lawak dan saya dan adik pun tumpang sama. Biasanya kalau hari raya bila semua ahli keluarga berkumpul itulah topik yang paling lawak; bagaimana abang saya kena penampar 'tambang pergi balik' (penampar 2 kali berturut) bila minta 5 sen, ada juga abang saya yang kena kejar dan lari dalam hutan dan sebagainya. Biasanya ayah saya sekadar dengar dan ketawa tak ada komen apa-apa.

Walaupun begitu kefahaman dan penghayatan Islam saya memang terlalu rendah sekadar maintain dengan solah dan puasa; pergaulan lelaki perempuan hanya dikawal dengan rasa malu kerana keluarga saya ada 2 orang perempuan berbanding 7 lelaki, race motor dan tengok wayang dah jadi hobi.

Setelah habis STPM saya bekerja di Kuala Lumpur, disebuah kilang percetakan (Web Printer). Ketika itulah watak saya banyak berubah. Terkejut melihat kerosakan manusia. Rakan-rakan sekerja saya yang muda-muda sebahagiannya gengster, kaki pukul, kaki perempuan dan sebagainya. Saya juga pernah ikut kawan saya ke lorong Haji Taib (tempat pelacuran) sekadar ikut tetapi apa yang saya lihat benar-benar mengejutkan jiwa. Disamping pelacur-pelacur muda ada juga yang sebaya ibu saya dengan pakaian baju kurung biasa dan dihujung lorong itu ada pula wanita-wanita tua (bekas pelacur) yang menadah tangan meminta sedekah. Terdetik dihati saya, ditempat kotor begini, bagaimana mungkin ada manusia yang berhati mulia yang merasa simpati untuk berikannya sedekah. Hati saya diselubungi rasa sebak melihat kehinaan dan akibat dari kelalaian.

Kemuncaknya saya berazam untuk belajar semula. Alhamdulillah permohonan saya untuk masuk ke ITM (sekarang UiTM) diterima. Bermulalah hidup baru sebagai pelajar. Berbekalkan kesedaran dan azam baru, saya benar-benar ingin manfaatkan peluang keemasan ini. Saya masih ingat bagaimana ibu saya keluar masuk pejabat penghulu untuk dapatkan surat sokongan agar yuran saya dapat dikurangkan; alhamdulillah saya hanya perlu bayar RM 115 untuk satu semester itupun termasuk makan dan kolej. Abang saya yang merupakan musuh ketat semasa kecil memasukkan RM 70 setiap bulan untuk segala keperluan pengajian yang lain.

Ketika itulah Allah takdirkan untuk saya mula terlibat dengan usroh dan tarbiyyah. Itulah era perubahan yang ketara pada diri saya. Saya masih ingat kali pertama hadir usroh, masih ingat tajuk dan bahan pengisiannya, masih ingat buku yang digunakan oleh naqib dan saya masih ingat apabila pulang ke bilik saya termenung panjang. "Betulkah aku ini Islam?" Itulah persoalan yang bermain dibenak fikiran setelah naqib menceritakan tentang kehidupan sahabat-sahabat Rasul. Saya tidak pernah ponteng halaqat atau usroh bahkan setiap kali cuti semester, tak pernah beli tiket melainkan apabila confirm tak ada program yang durancang oleh mas'ul atau naqib. Kalau ada program,pastikan hadir dulu kemudian baru fikir tentang balik kampung. Saya benar-benar rasa seperti muallaf yang baru masuk Islam segala kesempatan untuk mendalami Islam saya pergunakan sebaiknya. Nama-nama insan yang banyak berjasa pada masa itu takkan saya lupakan sepanjang hayat saya, semoga Allah perteguhkan hati mereka untuk terus berada di atas kebenaran dan bersama rombongan dakwah ini.. Berkat jasa dan usaha merekalah dapat pula saya sampaikan sinar iman kepada ibu dan ayah saya serta adik beradik saya yang lain. Saya masih ingat ketika ayah saya sedang menanggung kesakitan kerana sakit kanser di hospital, dia memberi isyarat mata kepada saya. Saya benar-benar faham maksudnya; saya pun terus berikan tazkirah tentang kematian dan hakikat pulang kepada Allah..itulah antara penawar yang dapat melupakan kesakitan yang ditanggungnya. Apabila berpeluang balik kerumah abang saya dia akan memanggilkan abang saya dan isterinya untuk solat berjemaah dan meminta saya untuk buat tazkirah selepas solat.

Itulah jalur putih dan hitam dalam kehidupan saya. Jalur hitamnya mengajar saya akibat dari kelalaian dan dosa. Jalur putihnya mengajar saya tentang kemanisan iman dan istiqamah. Kedua-duanya adalah guru terbaik yang mengajar saya erti keinsanan dan kehidupan. Semoga Allah perteguhkan jiwa dan Iman saya untuk terus hidup diatas kemuliaan iman dan dakwah dijalanNya.

Mendaki Ke Puncak JiwaDi Sebalik Musibah

Comments

sinar_islamimukshim Thursday, May 20, 2010 3:13:28 AM

Semoga Allah terus memimpin cikgu ke jalan yang hak...
Moga cikgu juga terus menabur benih2 kebenaran di lubuk hati mreka yang berhajat...
Selamat Hari Lahir cikgu...

Abu Umarazmibhr Thursday, May 20, 2010 4:44:50 AM

Amin, Jazakillahu khair

How to use Quote function:

  1. Select some text
  2. Click on the Quote link

Write a comment

Comment
(BBcode and HTML is turned off for anonymous user comments.)

If you can't read the words, press the small reload icon.


Smilies

June 2012
M T W T F S S
May 2012July 2012
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30