Kehidupan & Keimanan

Rasai Kehadiran ALLAH Dalam Setiap Detik Kehidupan

Membina Iman, Kekuatan Dan Keberanian Pada Jiwa Anak.

Saya bukanlah pakar dalam pendidikan anak-anak, saya juga tidak mendakwa pendekatan yang saya gunakan dalam pendidikan anak-anak ini yang paling betul. Sekadar ingin berkongsi pengalaman disamping menunggu respon dan pandangan dari insan lain yang ingin berkongsi sama untuk membangunkan generasi mukmin.

Hakikatnya kita tidak pernah dilatih untuk menjadi ibu atau ayah tetapi mendidik anak itu adalah satu keperluan dan tuntutan. Samada kita bersedia atau tidak, apabila kita sudah ada anak kita perlu tingkatkan diri dan buat yang terbaik. Kita mungkin buat kesilapan tetapi terimalah ia sebagai pengajaran bukan penghinaan. Untuk menjadi ayah atau ibu mithali, kita perlu sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima teguran atau kritikan walaupun kritikan itu mungkin datang dari anak kita sendiri.

Bagi saya tidak ada yang lebih penting bagi seorang anak itu selain Iman, Kekuatan Jiwa Dan Keberanian untuk melaksanakan sesuatu yang benar.

Kenapa? Saya tidak pernah melihat malapetaka yang lebih dahsyat selain dari kematian iman. Saya tidak dapat bayangkan anak-anak saya membesar dalam keadaan jwanya yang kosong dan mati; tidak yakin dengan segala janji-janji dan ancaman-ancaman Allah, tidak merasa takut dengan dosa yang akan menggelapkan hati atau neraka Allah dengan segala azabnya. Itulah asas untuk jiwa itu tumbuh dan berkembang; jiwa kehambaan yang meyakini kebesaran dan keagungan Allah SWT disamping meyakini hakikat kepulangan dan pertemuan dengan Allah SWT. Saya juga amat bersimpati melihat jiwa-jiwa yang tidak memiliki kekuatan hingga tidak mampu memetik buah kebaikan walaupun kebaikan itu berada di depan matanya. Hati-hati yang silau melihat kehidupan yang penuh pancaroba, hati-hati yang takut dan mudah kecewa dengan kegagalan atau terkejut dengan musibah. Saya juga begitu tersinggung dengan jiwa-jiwa yang menyembunyikan kebenaran atau takut menghadapi kebenaran, takut untuk memberi dan menerima kritikan sedangkan manusia itu tidak sunyi dari kelemahan dan dosa.

Mendidik iman pada jiwa anak-anak bukan dengan hanya mentalqinkan rukun iman dan sebagainya. Segala unsur-unsur iman ini perlu diterapkan ke dalam jiwanya disetiap waktu dan ketika. Bahkan sejak dalam kandungan, hati mereka akan terkesan dengan ayat-ayat Allah. Anak-anak perlu ditanamkan dengan kebesaran dan keagungan iman kepada Allah. Disamping zikir dan al Quran, jiwa anak-anak yang baru membesar dan mula memahami perlu diperkenalkan asma'-asma' Allah mengikut tahap umur. Ketika umurnya menjangkau 2 tahun kita perlu perkenalkan nama-nama Allah yang boleh dicapai oleh mindanya. Perkenalkan padanya bahawa Allah itu Maha Mencipta, Allah yang memberi rezeki. Setiapkali kita suapkan makanan kemulutnya, tanyakan padanya "Siapa yang berikan rezeki?" Kembangkan soalan-soalan itu mengikut perkembangan umurnya hingga kepada soalan-soalan yang lebih detail dan kompleks. Setiapkali kita bawa anak-anak keluar menikmati keindahan alam, tanyakan pada mereka "Siapa yang jadikan alam dan kehidupan". Selalu juga ingatkan mereka tentang kematian. Apabila terserempak dengan orang tua, nyatakan padanya "Ayah juga satu hari nanti kan tua macam tu dan sampai waktunya Allah akan cabut nyawa dan dihantar keperkuburan...ayah harap nanti anak-anak ayah akan doakan supaya ayah selamat dari seksa kubur dan neraka Allah" Alangkah banyaknya ruang dan peluang untuk kita terapkan keimanan yang akan menghidupkan hati dan jiwa mereka.

Untuk menjadikan jiwa anak-anak kita kuat, dekatkan mereka dengan kesusahan dan kesukaran tetapi biarlah mengikut kemampuan mereka. Sekali sekala kita keluar rumah dengan berjalan kaki atau minta mereka membantu kita dalam kerja-kerja kasar. Janganlah kita terlalu manjakan anak-anak kita dengan kerehatan dan kemewahan. Jika anak-anak kita masih kecil kuatkan semangat mereka dengan pujian...kerana pujian itu akan menumbuhkan keyakinan diri. Jangan kita bentak atau tengking dengan keras. Jika anak kita dah besar dan boleh berfikir kuatkan mereka dengan janji-janji Allah, biarlah mereka menolong kerana Allah SWT bukan kerana takutkan kita. Setiapkali kita memarahi mereka jangan lupa kita kaitkan dengan kemurkaan dan neraka Allah SWT. Sebenarnya anak-anak mampu untuk lebih lasak dan cergas dari apa yang kita sangkakan. Saya masih ingat kali pertama saya bawa anak sulung saya mendaki gunung Jerai, pada masa itu umurnya baru 8 tahun. Bayangkan pendakian sejauh 13 KM, risau juga saya dibuatnya. Kalaulah dia kepenatan, terpaksalah saya gendongkannya bersama beg saya yang hampir 10 KG. Ketika kami sampai dipertengahan jalan, sayapun bertanya "Boleh lagi ke Umar? Penat ke?". Sambil tersenyum dia menjawab "Tak peluhpun lagi" dan memang pada hari itu dia termasuk orang pertama yang sampai kepuncak.

Jiwa anak-anak juga perlu diajar dengan keberanian tetapi bukan membuta tuli. Teman keberanian adalah berhati-hati. Ketika anak saya baru pandai menginsut atau menggelunsur, pernah ia bergerak menuju kearah periuk panas. Isteri saya cepat-cepat cuba menahan tetapi saya halangi. "Biarkan dia kenal erti panas, nanti 2 atau 3 kali terkena dia akan faham, jadi kitapun tak perlu susah-susah nak kawal." Tetapi ingat, jangan pula biarkan anak kita pegang periuk yang terlalu panas hingga kulitnya melecur. Memang kali pertama ia pegang, ia terus menjerit menangis. Tetapi setelah beberapa hari dan beberapakali pegang periuk panas iapun faham makna panas. Setiapkali sebut perkataan panas ia faham dan tidak pegang bahkan yang lebih menakjubkan, bayi sekecil itu sudah pandai menggunakan kain sebagai lapik; siapa sangka bayi sekecil itu tiba-tiba mengambil kain buruk untuk mengelakkan kepanasan supaya masih dapat bermain dengan periuk nasi yang panas itu..itulah kreativiti yang tumbuh dari sikap berani dan berhati-hati. Alhamdulillah; anak-anak saya tidak pernah tersepit pintu rumah atau pintu kereta, pernah juga sekali tetapi kerana kecuaian saya. Ketika anak saya baru pandai berjalan, kadang-kadang saya minta ia hantarkan sesuatu kepada ibunya yang berada 200 hingga 300 meter, semakin lama semakin jauh; Saya ingin jadikannya berani dan kurang pergantungan pada manusia. Saya masih ingat pada hari pertama anak kedua saya mendaftar diri ke darjah satu. "Kak Ngah pergi dulu daftar nanti Abi (Ayah) pergi." Entah macamana saya terus terlupa hingga ketengahari. Saya terus ke sekolah dan lihat anak saya sudah berada dalam kelas. Sambil tersenyum dia datang berlari kearah saya' "Dah daftar dah?" Tanya saya. "Semua dah selesai, bukupun dah ambil." jawabnya ringkas. Baru-baru ini, ketika pelancaran tabung HALUAN Palestine anak lelaki saya yang tahun 4 seorang diri pusing sekeliling taman untuk memberi sumbang tenaga mengumpul dana untuk Palestin, Alhamdulillah dapat juga lebih seratus ringgit dikumpulkan. Anak-anak kita perlu diajar berani untuk melakukan amal Islami.

Saya tidak melihat anak-anak saya sebagai contoh terbaik tetapi apa yang ingin saya kongsikan disini ialah anak-anak kita boleh dibentuk dan dicorak dengan apa saja corak atau acuan asalkan kita peka dan merancang. Saya akui banyak kelemahan dan kelalaian saya dalam mendidik anak-anak tetapi seperti apa yang sebutkan tadi..terimalah semua itu sebagai pengajaran bukan penghinaan. Saya memang tidak pernah dilatih untuk menjadi ayah yang terbaik tetapi saya perlu menjadi ayah terbaik yang saya mampu kerana itulah yang akan ditanya di Akhirat nanti. Anak-anak kita adalah kain-kain putih yang menanti untuk dicorakkan dengan apa saja warna yang kita inginkan maka corakkanlah anak-anak kita dengan warna-warna iman. Belajarlah dari kesilapan dan bukalah jiwa dan hati kita untuk menerima pandangan dan teguran. Kesilapan mendidik anak-anak kadang-kadang mula menunjukkan kesannya setelah 10 hingga 15 tahun. Jika kita merasakan hanya kita yang benar dalam cara kita berfikir dan mendidik maka natijahnya akan kita rasai apabila mereka remaja dan dewasa kelak. Tetapi jika kita selalu berkongsi pengalaman dengan sesiapa saja maka sebahagiannya kita dapat elakkan dari sekarang.

Di Sebalik MusibahUKHUWAH FILLAH: Dari Mana Datangnya Itsar

Comments

Unregistered user Friday, May 28, 2010 11:34:16 AM

ana writes: Subhanallah..sungguh memberi kesan pada jiwa ini.Moga kita semua dapat menjadi seorang ayah@ibu sepertimana yang Allah kehendaki..

Unregistered user Wednesday, September 22, 2010 2:53:55 PM

anis writes: saya mempunyai anak berusia 5 dan 4 tahun..bercadang hendak menghantar mereka ke sekolah aliran cina (sjkc).apa pendapat cikgu??

How to use Quote function:

  1. Select some text
  2. Click on the Quote link

Write a comment

Comment
(BBcode and HTML is turned off for anonymous user comments.)

If you can't read the words, press the small reload icon.


Smilies

June 2012
M T W T F S S
May 2012July 2012
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30