Salam pertemuan. Berkongsi kesibukan
Thursday, January 12, 2012 1:53:07 AM
Heart Setting
Sebenarnya jadual saya terlalu padat bermula awal oktober hingga awal januari. Setiap tahun, begitulah jadual hidup saya. Biasanya saya akan buat 'heart setting'kepada isteri dan anak-anak bermula pada bulan ogos lagi supaya jiwa mereka bersedia untuk menempuhi hampir 4 bulan yang begitu meruncingkan.Cuba anda bayangkan; Untuk tahun ini...Bulan oktober saya akan sibuk dengan mesyuarat dan persiapan (berbagai modul dan bahan yang perlu saya siapkan untuk program disepanjang cuti sekolah) disamping jemputan ceramah dari sekolah-sekolah yang ingin memanfaatkan masa kosong bagi pelajar-pelajar yang sudah habis peperiksaan seperti PMR dan sebagainya. Bulan November, kesibukan makin bertambah dan apabila cuti bermula hampir setiap hari saya akan berjauhan dari keluarga. 22-23 Nov saya di Langkawi, 24 Kendalikan program di Perlis, 25-26 Nov kendalikan program utuk pelajar-pelajar IPT di Zon Utara (USM, UUM, UiTM dll), 28-29 Nov saya bersama 67 orang saudara-saudara baru di Yan, Kedah(khemah Ibadah).
Habis saja ceramah saya pada 29 hb saya terus memecut kereta kerumah yang mengambil masa lebih kurang 3 ke 4 jam, sampai saja dirumah (sebelum masuk ke rumah) terus saya memanggil anak-anak dan isteri naik kereta dan kami keluar untuk makan petang. Selesai saja makan kami terus pulang kerumah lalu saya dan isteri mula sibuk mengemas beg. Dalam masa lebih kurang 1 jam saya terus ke stesyen keretapi untuk ke KL dan esoknya (30 hb) saya sampai ke KL dan terus ke Sarawak hingga 7 hb Dis. 7 hb malam saya sampai di LCCT dan terpaksa naik bas loncat kerana ingin jimatkan masa, dari LCCT ke Ipoh dan kemudian ke Perlis (bas pagi) dan sampai petangnya di rumah. Malam itu kami berkemas dan esok paginya saya drive ke Kuala Berang,Terengganu (balik kampung). Lebih kurang 2 hari kami bersama kemudian 12 hb Dis saya ke Terengganu dan esoknya fly ke LCCT dan terus ke Sabah hingga 23 hb. 23 hb di Terengganu dan 24 hb balik ke Kuala Berang. 26 hb kami bertolak ke Ipoh untuk tinggalkan keluarga saya di situ kemudian saya ke Kuala Kangsar untuk program dengan pelajar-pelajar lepasan SPM hingga 30 hb. 30 hb kami terus balik ke Perlis untuk pendaftaran pelajar baru pada 31 hb. Dan tentunya sebagai guru koperasi seminggu pertama saya akan terlalu sibuk ditambah dengan kesibukan-kesibukan lain, keluar pagi dan balik malam untuk berehat.
Cuba bayangkan jiwa isteri dan anak-anak, apa perasaan mereka? Cuba bayangkan jika mereka tidak bersedia dengan keadaan ini? Oleh itu saya mengambil masa beberapa bulan untuk sessi 'heart setting'.
Apa yang saya maksudkan sebagai heart setting? Bagi saya heart setting ini ialah persiapan hati untuk berdepan dengan satu suasana yang bakal kita hadapi. Dalam tempoh beberapa bulan (bermula Ogos) saya akan banyak bincangkan dengan isteri saya tentang keperluan dakwah, dahsyatnya keruntuhan umat dan betapa Islam menuntut pengorbanan. Disamping itu saya akan membayangkan pada isteri terutamanya anak-anak tentang balasan syurga yang Allah janjikan. Saya ingin anak-anak saya mengangan-angankan syurga disamping mereka sedar bahawa bukan mudah untuk mendapatkan syurga. Hampir setiap kali solat saya ceritakan sirah Rasulullah dan para sahabat yang saya sifatkan sebagai ahli syurga.
Kebersamaan
Walaupun kita berjauhan dan sibuk, kebersamaan ini perlu dikekalkan. Saya akan sering menelefon isteri. Tujuan saya telefon sebenanrnya ada dua; pertama untuk mengetahui perkembangan dirumah. Kedua, untuk mendengar nada suara isteri saya samada dia ok atau stress. Kalau stress perlu ada tindakan susulan.
Dan anak-anak saya juga kerap menelefon terutamanya kalau mereka bergaduh atau selisih faham. Dalam keadaan ini jangan kita rasakan karenah mereka ini sebagai gangguan tetapi ia merupakan tanggungjawab yang tidak boleh abaikan. Memang, kadang-kadang dalam masa sejam 2 atau 3 kali telefon ada masanya lebih. Saya akan pastikan saya menjawab panggilan itu. Kalau panggilan itu dibuat semasa saya sedang berceramah atau mengendalikan aktiviti maka saya akan telefon semula. Kadang-kadang isterinya saya melarang mereka menelefon atau menganggu saya tetapi itu sebenarnya salah. Saya minta dibiarkan mereka begitu supaya mereka tidak rasakan saya jauh dari mereka dan sekali lagi, jangan anggap itu sebagai gangguan.
Rasa kebersamaan ini perlu dipelihara didalam apa saja suasana. Jiwa anak-anak akan tumbuh sihat apabila mereka merasakan ibu dan ayah mereka sentiasa bersedia untuk mendengar rungutan, luahan hati dan pertanyaan mereka walaupun kadang-kadang pertanyaan itu telalu remeh.
Membina Kebersamaan Dengan Allah
Mungkin kita terlupa, yang menjadikan jiwa para sahabat begitu kuat adalah as syu'ur ma'iyatullah iaitu mereka merasakan sentiasa bersama-sama Allah. Oleh itu dalam mendidik anak-anak atau isteri kita perlu mendidik mereka untuk merasakan Allah itu begitu dekat bahkan Allah begitu kasih kepada hamab-hambaNya dan Allah itu Maha Lembut kepada kita hamba-hambaNya. Saya selalu mengajarkan anak-anak saya berdoa dan bercakap dengan Allah; ketika sakit, mencari parking, kereta rosak, barang hilang dan saja suasana perlu digambarkan bahawa Allah sentiasa mendengar dan leihat kita dengan penuh kasih sayang. Asalkan kita berdoa Allah akan tunaikan, cuma Allah akan tunaikan mengikut ilmuNya bukan ilmu kita yang cetek. Tetapi sekiranya doa itu menjadi sebahagian dari kita ... ada masa-masanya Allah tunaikan dalam masa yang begitu cepat, seolah-olah Allah mendengar dan menunaikan doa kita pada masa itu juga, pengalaman ini tentunya akan menambah keyakinan anak-anak kita.
Inilah penawar untuk mereka bila kita terpaksa berjauhan dengan mereka.
Mungkin sekadar itu dulu saya ingin kongsikan. Mungkin banyak kelemahannya tetapi itulah yang mampu saya lakukan dan saya sentiasa berharap Allah akan menampung kekurangan saya hingga rumahtangga saya kekal dibawah lembayung hidayahNya.
InsyaAllah selepas ini saya berhajat untuk mula menulis tentang Nota-Nota Pendidikan anak yang saya akan kongsikan secara bersiri.















Unregistered user # Thursday, January 12, 2012 3:51:00 AM
Abu Umarazmibhr # Thursday, January 12, 2012 5:20:23 AM
Unregistered user # Monday, January 16, 2012 2:33:39 PM