Berbicara Dengan Bahasa Cinta
Tuesday, June 22, 2010 4:33:47 PM
Mungkin inilah rahsia dan kekuatan untuk saya depani berbagai karenah remaja dan memang kekuatan ini saya rasakan begitu ampuh. Saya tidak pernah ragu bahawa kasih sayang boleh menundukkan hati manusia bahkan menjinakkan hati-hati yang liar. Itulah juga kekuatan dalam didikan Rasulullah SAW. Baginda begitu kaya dengan kasih sayang hingga musuh-musuhnya sendiri terasa segan dan hormat. Saidina Zaid yang merupakan maula Rasulullah SAW sepanjang hidup bersama baginda, tidak pernah sekalipun dimarahi bahkan tidak pernah disuruh untuk melakukan sesuatu kerja dengan nada arahan. Bukankah Saidina Zaid itu budaknya?
Saya tidaklah memiliki kasih setinggi Rasulullah SAW tetapi saya cuba untuk menyemai perasaan itu kerana Bagindalah qudwah kita. Anda boleh mencubanya! Belajarlah untuk menghargai dan menyayangi, belajarlah untuk mengasihi dan berbicara dengan bahasa cinta.
Bahasa Cinta? Ya, itulah bahasa cinta yang boleh meruntuhkan gunung dan membelah lautan hati. Itulah bahasa para Nabi dan Rasul.
Saya sedang cuba dan memperbaikinya agar saya dapat melihat anak-anak saya dengan penuh kasih sayang samada anak-anak kandung atau anak-anak saya didik atau temui. Semaikan rasa kasih pada mereka walaupun ada yang bergelar 'bermasalah'. Ulang-ulangkan pada hati kita, kita sayangkan mereka, kita kasihkan mereka, kita mengharapkan kebahagiaan mereka di dunia dan kita juga mengharapkan syurga untuk mereka di Akhirat nanti serta keselamatan dari api neraka. Hayati perasaan ini sedalam-dalamnya setiapkali kita merenungi wajah mereka maka kita akan dapati mereka sentiasa bersedia untuk mendengar kata-kata kita. Mungkin ada yang cuba bising kerana keegoan tetapi mereka tetap mencuri-curi dengar kerana kata-kata yang lahir dari rasa kasih dan ikhlas tidak dapat dihalangi dari menyentuh hati manusia, semakin ikhlas dan mendalam rasa kasih kita semakin kuat 'aura'nya menerjah dan melepasi tembok-tembok hati.
Cubalah...saya telah mencubanya, walaupun tidak semuanya berjaya kerana sayapun insan biasa kadang-kadang keikhlasan tercemar atau hati menjadi keras dan hilang kepekaan tetapi saya jarang kecewa.
Cubalah hingga anda terbiasa dengannya...anda akan terkejut. Keriuhan akan menjadi diam dan hati-hati yang liar tunduk mendengar.
Setiapkali saya ingin mulakan ceramah atau tazkirah, saya akan peruntukan beberapa minit untuk memandang wajah-wajah mereka sambil saya bisikkan pada hati saya bahawa saya kasihkan mereka. Bahkan kadang-kadang perasaan itu lambat tiba menyebabkan lidah saya kelu seketika. Ada juga masanya perasaan itu tidak muncul-muncul kerana kelemahan saya sebagai manusia maka saya terpaksa menghabiskan teks atau tazkirah dengan rasa hambar. Namun setiapkali saya mampu mengundang rasa kasih itu, saya akan terasa begitu senang berbicara...bahasa saya akan lebih fasih dan selesa bahkan saya melihat wajah-wajah mereka menerima dengan mudah. Pernah saya berceramah tentang bagaimana untuk khusyuk ketika solat. Ya, ceramah tentang solat, bukan muhasabah diri tetapi hati saya terasa begitu tersentuh dan ketika itu saya melihat sebahagian pelajar-pelajar yang ada didepan saya turut menangis. Itulah keajaiban hati dan kejaiban bahasa cinta.















Unregistered user # Monday, November 22, 2010 12:00:02 PM