Indahkan Bahasa Mu: Personafikasi
Monday, November 15, 2010 5:24:25 PM
Bahasa adalah sebuah media, alat, atau sarana untuk komunikasi; untuk menyampaikan maksud dan hasrat dari satu individu ke individu yang lain, dari satu kelompok ke kelompok lainnya. Bahasa ini boleh kita umpamakan sebuah kendaraan untuk membawa, menjelaskan, dan memberitakan suatu idea kepada orang lain. Bahasa bukan sekadar sebagai alat ekspresi atau pengungkapan pemahaman, tetapi juga turut membentuk pendapat, pemahaman bahkan mampu mencorakkan jiwa pembaca untuk sama-sama merasai apa yang ingin dikongsikan oleh penulis.
Ringkasnya keindahan dan kematangan bahasa yang kita gunakan mampu mengolah iklim jiwa sehingga berlakunya perkongsian perasaan antara penulis dan pembaca; ada pembaca yang kadang-kadang menangis dan kadang-kadang ketawa bahkan kecewa, tersedar dari lamunan kesedihan bahkan mampu bangun dan berdepan dengan segala rintangan hidup dengan jiwa yang berani dan kental.
Bahasa yang indah dan matang kadang-kadang mampu menambat hati para pembaca hingga sentiasa menanti tampilnya karya-karya baru dari penulis yang mereka sukai itu. Kadang-kadang pembaca merasakan diri mereka sedang berinteraksi dengan penulis walaupun hakikatnya mereka hanya membaca tulisannya sahaja . Tanpa sedar mereka melihat penulis sebagai tokoh atau guru yang mereka segani, kagumi dan hormati.
Namun, kadang-kadang ketika menulis kita menemui kebuntuan untuk menggambarkan perasaan atau idea dalam bentuk yang lebih bermakna dan menepati apa yang ingin kita sampaikan. Bahasa kadang-kadang menemui keterbatasan atau mengalami penyempitan makna sehingga jemari kita terasa kaku dan beku untuk mengungkapkan makna.
Keterbatasan bahasa ini cuba diatasi dengan pelbagai cara. Antaranya ialah apa yang saya ingin kongsikan sekarang ini iaitu PERSONIFIKASI. Kalau diperhatikan, memang saya sendiri banyak menggunakan PERSONAFIKASI ini untuk membebaskan diri dari kesempitan bahasa formal.
Penggunaan personafikasi ini, selain menambahkan keindahan sesebuah karya kreatif, juga mampu menimbulkan kesan kepada jiwa pembaca. Personafikasi ialah sejenis gaya bahasa perbandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda mati, seperti objek, fenomena atau konsep tertentu. Ya, sesuatu yang mati dan kaku lalu diberi nyawa untuk menggambarkan suatu makna, idea, perasaan bahkan perkongsian jiwa.
Saya merasakan Personifikasi ini sebagai salah satu kunci kebebasan dalam penulisan saya. Saya menjadikan personifikasi ini sebagai sarana untuk mengolah iklim jiwa pembaca agar dapat melahirkan rasa sedih, tersentuh, marah, malu, terhina, sedar, kuat dan sebagainya.
Contoh personafikasi ialah antaranya ialah apa yang ada diperenggan di atas “jemari kita terasa kaku dan beku untuk mengungkap makna”. Sebenarnya saya boleh tuliskan “terasa sukar untuk menulis sesuatu idea atau fakta” tetapi kesannya berbeza. Apabila saya berikan nyawa (bukan sebagai mana Allah berikan nyawa; ini cuma bahasa) pada jemari lalu kita akan merasakan jemari itu umpama manusia yang memiliki hati dan perasaan. Lalu apabila saya menyebutkan “jemari kita terasa kaku dan beku untuk mengungkapkan makna” maka kita akan dapat merasakan kekecewaannya betapa ada maksud yang besar ingin disampaikan tetapi terhalang dengan sekatan dan keterbatasan; tanpa sengaja kita akan terbayangkan keinginan yang meluap-luap tetapi terhalang bahkan hampa dan kecewa.
Begitu juga dalam tulisan-tulisan saya yang lain, terlalu banyak unsur-unsur personafikasi kerana seperti yang saya sebutkan tadi, saya merasakan kebebasan untuk berkongsi makna dan perasaan. Sekiranya anda membaca artikel saya (sila ke ruang archive) ‘Bila kehidupan Berbicara’ anda akan dapati bahawa keseluruhan tulisan itu menggunakan personafikasi. Saya memberikan nyawa kepada KEHIDUPAN hingga ia bangun dan menasihati jiwa kita. Bahkan kita selama ini melihat kehidupan itu sesuatu yang tidak bernyawa dan tidak pernah mengajarkan kita apa-apa. Melalui tulisan saya itu kehidupan itu umpama satu lembaga yang hidup bahkan umpama seorang Murabbi yang padat dengan ilmu dan nasihat yang terlalu berguna.
Begitu juga ketika saya menulis ‘Menanti Keajaiban’:
“ketika ketenangan datang menyapa mesra tiba-tiba sahaja fitnah dan ujian menerpa. Ketika kita dengan susah payah meneguk erti kebahagiaan kini keresahan dan kegelisahan mengintai dengan penuh rasa cemburu dan iri hati. Baru sekejap tadi kita melihat lautan kehidupan begitu luas bersama cahaya mentari yang menerangi horizon diri tetapi kini awan hitam mula menutupi pandangan bersama dentuman kekecewaan. Keresahan mula mengisi ruang hati apabila ketenangan mula mengundur diri.”
Bagi menggambarkan kekecewaan yang begitu melemahkan jiwa, saya memberikan nyawa pada fitnah dan ujian hingga mereka datang tanpa kemesraan dan datangnya begitu mendadak dan tanpa rasa simpati. Keresahan dan kegelisahan pula umpama lembaga yang tidak pernah kenal kasihan bahkan begitu cemburu dan berdendam dengan sesiapa sahaja yang cuba mencari kebahagiaan. Begitu juga abjek-objek dan fenomena lain yang sengaja dihidupkan untuk menggambarkan kekecewaan, putus harapan, kerdil, lemah supaya pembaca ternanti-nanti bagaimana untuk mengatasi semua ini.
Mungkin sekadar itu dulu untuk dikongsikan. InsyaAllah banyak lagi gaya bahasa untuk dikongsi bersama seperti Metafora, Simile, Assonansi, Alisterasi, Melankolik dan sebagainya. Semoga sedikit yang dikongsikan ini diberi manfaat yang banyak oleh Allah SWT.















Unregistered user # Tuesday, November 16, 2010 2:24:46 PM
Unregistered user # Tuesday, November 16, 2010 2:25:11 PM
Abu Umarazmibhr # Wednesday, November 17, 2010 8:13:54 AM