Satu Pencarian
Monday, March 29, 2010 4:53:15 AM
Kehidupan ini adalah satu pencarian. Yang pastinya setiap insan mencari KEBAHAGIAAN. Malangnya tidak semua insan itu mengenali kebahagiaan dan tidak tahu pula proses atau jalan untuk mendapatkannya. Akibatnya masa terus berlalu tetapi kita masih terpenjara dalam kekecewaan dan kekosongan.Ada yang mencari kebahagiaan dilorong-lorong dosa lalu bertemu syaithan yang bertopengkan keseronokan. Keseronokan itu hanyalah sementara tetapi syaithan menghiasinya hingga nampak kekal dan 'membahagiakan' lalu ramai yang terhenti disitu. Mereka dijamu jus khuldi (Minuman keabadian) yang menjanjikan keabadian dan keseronokan yang selama-lamanya hingga mereka melupakan kematian. Mereka terus ketawa dalam kekosongan dan tersenyum dalam kehampaan hingga mereka tidak lagi sedar dimana mereka sedang berdiri dan kemana hujung perjalanan. Sekali sekala mereka umpama tersedar lalu ingin melangkah keluar namun ruh mereka yang kelaparan dan sakit itu tidak mampu untuk bangun dan pulang ke pangkal jalan.
Ada yang mencari kebahagiaan dari celah-celah daun cinta lalu bertemu dengan 'janji kebahagiaan'. Syaithan mula melakonkan watak kesetiaan, kejujuran, kasih sayang, penghargaan dan penuh kesucian. Ada jiwa yang selama ini terbiar tanpa kasih sayang lalu merasakan dirinya kini dikasihi dan dihargai. Mereka lalu hidup 'bahagia' diusap janji setia. Ada yang mengorbankan dirinya demi kesucian cinta bahkan mengorbankan segala-galanya sebagai bukti kesetiaan. Mereka korbankan segala-galanya hingga mereka tidak lagi memiliki apa-apa walaupun diri mereka sendiri. Ada yang tersedar setelah diri ternoda tetapi mendapati jalan pulangnya terlalu panjang lalu berputus asa dengan kehidupan.
Ada juga yang mencari kebahagiaan ditimbunan sampah dunia lalu mereka menemui 'kekayaan'. Syaithan pun terus menjelmakan dirinya dalam bentuk kekuasaan dan kebanggaan. Ada jiwa yang terpedaya hingga menjadi hamba padanya. Kekayaan lalu menjanjikan kebahagiaan untuk keluarga tercinta. "AAh, semuanya boleh dibeli" katanya. Lalu kita menggadaikan seluruh kehidupan untuknya. Anak-anak, kita salutkan dengan kemewahan sebagai pampasan kasih sayang. Isteri kita, kita hadiahkan rumah pilihan dan kenderaan idaman sebagai teman kesunyian. Kita dimana? Kita sedang bejuang membangunkan 'keluarga tercinta', demi kebahagiaan yang kekal selamanya. Ketamakan menguasai diri kita hingga kita semakin dahagakan kekayaan. Ya kita memang kaya tetapi kita telah gadaikan segalanya, termasuklah keluarga yang kita cinta.
Semua manusia mencari kebahagiaan disetiap pelusuk dunia tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa kebahagiaan itu berada dalam dirinya. Mungkin kerana jiwanya terlalu kelam dan gelita dan mereka pun tidak memiliki ilmu untuk menyuluhnya atau murabbi sebagai pembimbing. Kalaulah mereka memiliki sedikit sahaja sumber cahaya tentunya mereka akan nampak kilauan kebahagiaan. Dan kalaulah cahayanya lebih terang lagi tentu mereka akan terkejut kerana yang menemani kebahagiaan itu adalah cinta dan kekayaan.
Al Quran Petunjuk Hidup















How to use Quote function: