A'isyah: Bahagian 4
Sunday, July 18, 2010 10:36:08 AM
Saidatina A’isyah turut terlibat dalam peristiwa hijrah bahkan ia diberi kepercayaan untuk terlibat dalam perbincangan dan perancangan yang begitu besar kesannya pada dakwah Rasulullah SAW. A’isyah RA diberi kepercayaan untuk duduk dalam perundingan itu ketika mata dan telinga kafir quraisy begitu liar meneliti setiap perkembangan dakwah Rasulullah SAW serta mencari peluang untuk melemahkan segala usaha baginda bahkan sanggup untuk membunuh baginda SAW.Hal ini diceritakan sendiri oleh A’isyah RA:
“Ketika kami sedang duduk di rumah Abu bakar ditengahari maka ada seorang yang berkata kepada Abu Bakar, “itu adalah Rasulullah”. Abu Bakar masih ragu kerana belum pernah baginda datang kepada kami diwaktu tengahari. Abu Bakar berkata, “Ibu bapaku menjadi tebusannya, demi Allah ia tidak pernah datang pada saat-saat seperti ini kecuali jika ada perintah (dari Allah).”
Rasulullah SAW pun datang lalu meminta izin kepada Abu Bakar RA untuk masuk dan saidina Abu bakar mengizinkannya. Maka baginda pun masuk sambil berkata kepada Saidina Abu Bakar, “suruhlah keluar orang-orang yang ada disisimu.” Abu Bakar menjawab, “Mereka itu adalah keluargamu juga jika engkau menganggapku ayah, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya saya benar-benar telah diberi izin oleh Allah untuk hijrah.” (Mukhtasar As Sirah, karya Syeikh Muhammad B. Abdul Wahab).
Yang menakjubkan kita ialah kehadiran A’isyah dalam perbincangan yang begitu penting dan genting. Ai’syah yang umurnya baru sembilan tahun. Ya, bayangkan jika A’isyah RA dengan jiwa keanak-anakkan itu membocorkan rahsia ini kepada teman-teman sepermainannya hinggakan maklumat besar ini tidak lagi menjadi rahsia. Tentunya peristiwa hijrah ini memberi kesan yang begitu negatif kepada dakwah Islamiyah. Namun kepercayaan baginda kepada A’isyah RA begitu tinggi hingga baginda tanpa ragu menjadikan A’isyah sebagai salah seorang korum dalam perbincangan yang begitu signifakan kepada perkembangan dakwah Islamiyah ini. Jika baginda Rasulullah SAW melihat A’isyah sebagai kanak-kanak biasa tentunya baginda tidak membenarkan A’isyah RA untuk duduk bersama dalam majlis perbincangan ini.
Sungguh, A’isyah RA benar-benar telah membuktikan bahawa ia adalah orang yang boleh dipercayai, lidahnya tidak pernah meleset dan hilang kawalan hingga membocorkan rahsia besar ini. Ini juga merupakan sebahagian dari tarbiyyah Rasul hingga tumbuhnya keseriusan dan rasa tanggungjawab pada jiwa A’isyah RA.
Bandingkan jiwa A’isyah dengan puteri-puteri bahkan putera-putera hari ini. Betapa jauhnya perbezaan dan jurang yang memisahkan mereka dengan keperibadian dan kematangan A’isyah RA. Lihatlah betapa kemewahan (kekayaan yang tidak terkawal) telah menjadikan jiwa pemuda pemudi kita begitu lemah dan hambar. Kemewahan dan kesenangan yang telah membangunkan jiwa annaniyyah iaitu jiwa yang hanya memikirkan kepentingan diri mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain.
Inilah kesan buruk apabila kekayaan itu tidak lagi dikawal hingga dijadikan sebagai pampasan untuk kasih sayang dan perhatian untuk jiwa mereka tumbuh dan mencapai kematangan. Kemewahan ini telah membunuh jiwa kemasyarakatan bahkan telah melonggarkan ikatan kekeluargaan apatah lagi rasa hormat dan kasih sayang.
Saya tidak maksudkan ummat Islam itu harus hidup miskin bahkan jika kekayaan itu jatuh ketangan manusia yang tidak beriman maka keburukannya lebih besar tetapi yang saya maksudkan bagaimana seharusnya kita menjadikan kekayaan itu sebagai alat bukan matlamat. Bagaimana seharusnya kekayaan itu tidak melonggarkan rasa tanggungjawab dan menghilangkan keseriusan untuk kita menjadi ayah atau ibu mithali juga untuk kita membesarkan jiwa generasi masa depan dengan kematangan dan ketahanan jiwa.
Bersambung.....















TasbihCintasabarNoor # Monday, August 2, 2010 3:09:24 AM