MEMANTAPKAN BUDAYA KEUSAHAWANAN DALAM KALANGAN GEBERASI MUDA
Friday, January 8, 2010 10:47:16 AM
TAMBAH INGATAN DAN TUMPUAN DENGAN E-GENIUS
OLEH: DATO’ HAJI DUSUKI AHMAD
1. Budaya Keusahawanan bukanlah suatu yang asing daripada kerangka Islam. Malah Islam sebagai ad-din atau cara hidup amat menekankan nilai-nilai positif yang boleh diaplikasi dalam membentuk budaya perniagaan yang jernih menepati prinsip dan matlamat syariah.
2. Tidak hairanlah jika budaya keusahawanan turut ditekankan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pintu rezeki yang utama. Ini selaras dengan sebuah hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud;
“Sembilan daripada persepuluh rezeki datang daripada perniagaan”
3. Walaupun Islam begitu menitik-beratkan bidang perniagaan dan keusahawanan, realiti hari ini menunjukkan umat Islam lebih selesa menjadi masyarakat pengguna (consumer) terhadap barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak lain atau negara luar terutamanya dari Barat. Demikian jugalah suasana dalam negara yang memperlihatkan umat Islam khususnya golongan bumiputera yang agak ketinggalan dalam penguasaan ekonomi khususnya bidang perniagaan dan keusahawanan berbanding bukan Islam.
4. Kertas kerja ini akan cuba menyingkap perspektif Islam mengenai budaya keusahawanan dan bagaimanakah budaya ini mampu digarap dan dicanai di kalangan generasi muda terutamanya melalui Sistem Pendidikan Nasional dan Pengajian Agama.
ISLAM DAN BUDAYA KEUSAHAWANAN
5. Budaya keusahawanan sebagaimana yang disebutkan, pada hakikatnya amat sebati dengan keperibadian Nabi s.a.w. Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul lagi, baginda merupakan seorang usahawan yang berjaya.
6. Nabi Muhammad s.a.w. pernah diamanahkan sebagai ‘Ketua Pengarah Eksekutif (CEO)’ yang bertanggungjawab mengurus dan memperdagangkan harta yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah. Budaya keusahawanan yang dimiliki baginda ditambah dengan akhlak terpuji yang dizahirkan dalam mengurus perniagaan lantas berjaya menambat hati Khadijah hingga dilamar menjadi suami.
7. Tidak terhenti setakat itu, apabila diangkat menjadi Rasul, baginda tetap menerapkan budaya yang sama di kalangan sahabat dan umat Islam. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila baginda berhijrah ke Madinah.
8. Selaku ketua negara bagi sebuah kerajaan Islam yang baru bertapak, Nabi s.a.w. amat mengerti dan memahami kepentingan untuk memperkasa ekonomi kerajaan Islam. Apatah lagi dalam suasana Madinah yang pada ketika itu ekonominya hampir sepenuhnya dikuasai kaum minoriti Yahudi.
9. Sebelum penghijrahan Nabi s.a.w. ke Madinah (atau Yathrib), ekonomi Yathrib dikuasai oleh golongan minoriti Yahudi. Merekalah yang menguasai pasar-pasar utama dan sumber-sumber asasi seperti air telaga dan sebagainya. Mereka juga terkenal dengan kelicikannya menindas bangsa Arab dalam urusan muamalah harian. Umpamanya, perniagaan yang dijalankan secara hutang dikenakan bunga yang amat tinggi hingga menjerat sesiapa sahaja yang berhutang dengan mereka. Malah caj penggunaan air juga amat tinggi hingga menjadikan mereka sebagai golongan yang amat berkuasa.
10. Sebab itulah sejarah telah memaparkan bagaimana usaha kedua terpenting Nabi s.a.w selepas membina masjid sebagai lambang pengukuhan aqidah dan iman penduduk Islam
Madinah, baginda turut membina pasar yang dikhaskan kepada umat Islam sebagai satu usaha penting pemantapan ekonomi Madinah.
11. Usaha pemantapan ekonomi tidak hanya sekadar memberi penumpuan kepada aspek fizikal iaitu membina pasar semata-mata, malah yang lebih ditekankan Nabi s.a.w ialah mencanai budaya keusahawanan yang luhur dan jernih berpandukan akhlak dan nilai-nilai yang diwahyukan Ilahi. Baginda sendiri turun dan mentarbiyah usahawan-usahawan baru di kalangan masyarakat Arab yang sebelumnya tidak pernah terdedah kepada bidang perniagaan dan perdagangan. Malah kebergantungan mereka kepada kaum minoriti Yahudi sebelum ini telah memaksa mereka hidup dalam suasana penganiayaan dan persekitaran yang terhimpit dan tertekan.
12. Sebab itulah kehadiran Nabi s.a.w telah berjaya membebaskan mereka dari segala bentuk penindasan dan perhambaan yang berkait-rapat dengan kegagalan mereka mengurus ekonomi hingga terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain.
13. Kemandirian ekonomi ini amat penting bagi memastikan bukan sahaja umat Islam kuat dari segi fizikal tetapi membolehkan mereka mempertahankan aqidah dan keimanan. Kekuatan ekonomi juga menjadikan umat Islam dipandang tinggi dan membantu menyebar-luaskan agama ke seantero dunia.
14. Ulama feqah merumuskan suatu kaedah feqah (qaidah fiqhiyyah) yang berbunyi:
“Sesuatu yang tanpanya menyebabkan perkara wajib itu tidak lengkap maka ia menjadi wajib”
Apa yang difahami melalui kaedah ini ialah apabila wujud suatu perkara yang tanpanya tuntutan kefarduan itu tidak lengkap atau tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna maka perkara itu dengan sendirinya menjadi wajib.
15. Dengan demikian, aspek ekonomi yang menjadi faktor penting menjana kekuatan tamadun Islam dan penyebaran agama Allah s.w.t dengan sendirinya menjadi wajib bagi menyempurnakan tanggungjawab dakwah yang difardukan Allah s.w.t.
PENYIMPANGAN PEMIKIRAN UMAT ISLAM KINI
16. Hakikat yang menyedihkan kita hari ini, rata-rata umat Islam mengalami masalah kecelaruan pemikiran yang menyebabkan mereka menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.
17. Umat Islam gagal memahami keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam mengatur kehidupan mereka. Rata-rata umat Islam memahami agama daripada perspektif ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sedangkan aspek muamalah yang sama penting telah dikesampingkan.
18. Apabila disebut Islam, seolah-olah tidak tergambar dalam pemikiran mereka bahawa Islam itu adalah ad-din yang merangkumi segenap aspek kehidupan termasuklah soal-soal pengurusan harta dan pembudayaan nilai-nilai keusahawanan.
19. Mereka lupa hakikat bahawa Al-Quran sendiri menekankan serentak kepentingan ‘bersolah’ dan ‘berniaga’ sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Jumuah, ayat 9:
“Setelah selesai menunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”
20. Akibat penyimpangan pemikiran sebeginilah yang menyebabkan umat Islam hari ini dilihat lemah dalam pelbagai bidang kehidupan, utamanya dalam hal-hal berkaitan dengan pentadbiran keduniaan, termasuklah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
21. Kebanyakan negara-negara Islam dikategorikan sebagai miskin dan terkebelakang, sedangkan 1/3 sumber asli dan galian serta ekonomi dunia berada di negara-negara Islam.
22. Umat Islam tidak mampu bersaing dengan masyarakat lain dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Kebanyakan mereka lebih selesa menjadi masyarakat pengguna (consumer) daripada pengeluar (distributor) dan pencipta (innovator) yang menyebabkan kita seringkali tersisih daripada arus persaingan dalam dunia moden hari ini.
23. Semua ini pastilah tidak menepati semangat dan nilai yang terkandung dalam ajaran Islam. Malah umat Islam hari ini bolehlah dikatakan gagal dalam menghayati Islam sebagaimana tuntutan wahyu Ilahi yang difirmankan Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 110:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan kepada (faedah) umat manusia sejagat, (kerana) dengan tugas menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik”.
MEMANTAPKAN BUDAYA KEUSAHAWANAN MELALUI KURIKULUM BERSEPADU
24. Secara dasarnya di Malaysia, kerajaan telah menyediakan insfrastruktur pendidikan yang baik dari aspek kurikulum dan ko-kurikulum. Bantuan serta sokongan kepada bangsa Melayu yang kesemuanya beragama Islam dilaksanakan secara komprehensif, lengkap dan setara. Rata-rata bangsa Melayu tinggal di pinggir dan luar bandar, kerajaan telah menyediakan akses seluas-luasnya dengan menaiktaraf kemudahan insfrastruktur dan teknologi pembelajaran di sekolah-sekolah tersebut sehingga hampir setara dengan kemudahan di bandar.
25. Sekolah agama juga tidak terkecuali. Salah satu daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah memartabatkan Sistem Pendidikan Agama. Dalam hal ini, kerajaan menawar tempat kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi membolehkan sekolah ini menerima bantuan seperti sekolah bantuan kerajaan yang lain.
26. Pada pandangan saya, pemantapan institusi-institusi agama ini bukan sekadar dari segi kemewahan dan kehebatan prasarana sahaja tetapi juga perlu ditekankan aspek kurikulumnya.
27. Hari ini kurikulum agama di sekolah-sekolah hinggalah ke pusat-pusat pengajian tinggi lebih banyak menfokuskan kepada fekah ibadah. Sedangkan aspek muamalah tidak diberikan penekanan sewajarnya.
28. Jika ada sentuhan berhubung dengan pentadbiran kewanganpun, ianya lebih berpusat kepada teori dan tidak menepati kehendak pasaran. Kesan daripada itu, pelajar-pelajar agama kita bagaikan terpisah daripada realiti dan tidak melihat kepada tuntutan-tuntutan semasa.
29. Sebagai contoh, berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam semasa yang hari ini berkembang dengan begitu pesat sekali. Perkiraan kasar dianggarkan bahawa jumlah aset dan dana yang berlegar dalam sistem kewangan Islam hari ini berjumlah $US1.3 trilion. Jumlah tenaga pakar yang diperlukan dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang sebanyak 20,000 setahun terutamanya yang berada dalam bidang syariah.
30. Sistem kewangan Islam yang berasaskan sepenuhnya prinsip Syariah mengaplikasikan prinsip-prinsip penting yang dulunya tersimpan sebagai bahan khazanah yang tidak begitu dititik-beratkan. Ulamak-ulamak terdahulu membincangkan panjang lebar mengenai prinsip-prinsip muamalah ini.
31. Siapa sangka hari ini istilah-istilah syarak seperti riba, mudarabah, murabahah, musyarakah, wakalah, hiwalah, waad dan sebagainya digunakan secara meluas dalam sistem kewangan antarabangsa kini. Malah baru-baru ini, kerajaan Amerika Syarikat sendiri menubuhkan jawantankuasa Senat untuk mengkaji sistem kewangan Islam sebagai sistem alternatif bagi menangani krisis kewangan global yang semakin parah.
32. Sebab itulah aspek muamalah ini harus diberi penekanan yang sewajarnya agar pelajar-pelajar agama memahami Islam daripada perspektif yang lebih luas. Ayat terpanjang di dalam Al-Quran dari Surah Al-Baqarah, ayat 282, yang memberi penekanan kepada aspek muamalah maliah sudah cukup mengisyaratkan betapa pentingnya budaya keusahawanan ini diterapkan dalam kurikulum bersepadu pendidikan negara.
33. Saya mengimpikan suatu hari nanti, pelajar-pelajar agama bukan lagi hanya terikat kepada bidang-bidang tertentu seperti menjadi qadi, imam, tok bilal, ustaz atau mengharapkan ‘makan gaji’ daripada jawatan-jawatan yang disediakan kerajaan sahaja.
Tetapi mereka juga berkemampuan menjadi bankers, usahawan dan pakar-pakar kewangan yang hebat dipersada antarabangsa.
PENGHIJRAHAN MINDA MELALUI PENDIDIKAN
34. Selain itu, faktor paling asas yang perlu dibentuk dan menuntut perubahan / penghijrahan sikap pelajar Islam dalam memupuk pembudayaan keusahawanan adalah dengan menjadikan ilmu ekonomi (economic), pengurusan (management), perakaunan (accountancy) dan perniagaan (business) sebagai satu ‘jihad’. Cita-cita untuk makan gaji sebaik sahaja menamatkan pengajian di negara gading perlu dikikis. Jihad ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah melalui gabungan peranan pihak sekolah, ibu bapa, persekitaran dan sokongan korporat serta masyarakat;
. Sekolah – menimbulkan minat di kalangan pelajar untuk mendalami ilmu keusahawanan dan perniagaan melalui pembelajaran yang lebih kreatif dan interaktif.
. Ibu bapa – mengalakkan anak-anak untuk menceburi dan merasai pengalaman berniaga seperti dorongan bagi menyertai aktiviti keusahawanan.
. Persekitaran – mencontohi cara didikan dan pendedahan kaum Cina yang telah memberi pendedahan realiti dunia pernigaan kepada anak-anak mereka semenjak kecil lagi.
. Korporat dan masyarakat – memberi sokongan dan galakkan untuk mengerakkan aktiviti keusahawanan dan program-program motivasi seperti sekolah angkat, program keusahawanan dan bengkel serta ceramah kecemerlangan usahawan.
35. Di peringkat pengajian tinggi, peranan universiti yang menyediakan asas ilmu dan keterampilan boleh dikembangkan secara kreatif dan inovasi supaya graduan muda boleh memulakan bidang keusahawanan sebaik sahaja tamat pengajian. Mentaliti graduan yang terlalu bergantung kepada ‘makan gaji’ perlu dikikis dengan membuka ruang minda mereka dengan realiti dunia perniagaan. Galakan ini perlu diterapkan melalui pendedahan praktikal dalam sektor industri khususnya pendedahan dan penyertaan dalam sektor
Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Ini penting untuk membentuk minat mereka sebelum terjun ke bidang keusahawanan yang sebenar.
36. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan RMK9 baru-baru ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan untuk menekankan sokongan dan bantuan bagi meningkatkan pembabitan kaum bumiputera terutamanya golongan muda Islam dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan perusahaan peringkat tinggi. Dalam hubungan ini, institusi keusahawanan yang sudah ada seperti Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional dan pelbagai agensi lain yang ditubuhkan khusus untuk melahirkan usahawan yang cemerlang, perlu digerakkan dengan lebih berkesan. Kerajaan hendaklah memperkemaskan strategik dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan bantuan kewangan, bimbingan kepakaran, latihan, kemudahan premis dan pemantauan ke arah menarik penyertaan generasi muda Islam dalam dunia perniagaan.
PERANAN AMANAHRAYA
37. AmanahRaya sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan ikut bertanggungjawab membantu membangunkan masyarakat yang seimbang khususnya dalam melahirkan dan membangunkan generasi muda Islam yang berpendidikan, berkemahiran dan kecenderungan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.
. Biasiswa AmanahRaya
Meluluskan peruntukan kewangan lebih RM8 juta untuk membiayai pengajian 45 pelajar terbaik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengikuti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar dalam bidang syariah dengan memberi penekanan kepada bidang Pentadbiran Kewangan dan Perbankan Islam. Tujuannya untuk melahirkan modal insan yang bakal menjadi usahawan yang boleh mengaplikasikan bidang pengajian Islam dalam mewujudkan ekonomi Islam di Malaysia amnya dan
merealisasikan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam di rantau ASEAN dan dunia khususnya.
. Pakatan Strategik Perniagaan / Ejen Korporat
Mewujudkan peluang perniagaan kepada golongan muda dengan menjadi ejen berdaftar AmanahRaya untuk menawarkan perkhidmatan Wasiat kepada orang ramai. AmanahRaya juga memberi peluang kepada graduan muda untuk menjadi ejen dalam industri Unit Amanah. Penglibatan syarikat bukan sahaja melibatkan peluang perniagaan malahan juga melalui khidmat nasihat, latihan dan bimbingan kepakaran.
. Sumbangan Amal
Sumbangan amal dalam bentuk penajaan wang tunai atau barangan untuk penganjuran konvensyen, forum dan aktiviti yang bertujuan mendedahkan generasi muda Islam dengan dunia keusahawanan dengan keutamaan dalam bidang yang berteraskan Islam. CADANGAN DAN GAGASAN
1. Menilai semula kurikulum di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi, supaya ianya dapat memberi keutamaan kepada penjanaan budaya keusahawanan yang menepati ciri-ciri, nilai dan prinsip yang digariskan oleh Islam.
2. Memastikan pengubahan dan penambahbaikan kurikulum agama yang sedia ada tidak hanya menfokuskan aspek teori, tetapi juga paktikal dan dapat menepati kehendak pasaran semasa.
3. Mencanai dinamika Syariah supaya ianya dapat difahami bahawa pengajian Islam itu bukan sahaja dalam ruang lingkup ibadah, tetapi juga mengambil kira aspek maliah yang melibatkan isu-isu ekonomi, perdagangan, perakaunan dan sebagainya.
4. Mengubah paradigma pemikiran pelajar agama supaya minda mereka lebih terbuka selaras dengan tuntutan semasa. Selama ini mereka mengaji agama dengan harapan masa depan mereka untuk berkhidmat dalam ruang lingkup hal-hal yang berhubung dengan Feqah Ibadah semata-mata.
5. Pelajar-pelajar, khususnya dalam bidang syariah harus disedarkan tentang pentingnya peranan mereka akan datang, terutamanya dengan perkembangan bidang perbankan dan kewangan Islam hari ini.
6. Pihak swasta / korporat hendaklah membantu usaha-usaha memperbanyakkan golongan usahawan dan peniaga melayu, sekurang-kurangnya dengan meng‘anak angkat’kan mana-mana sekolah yang sesuai atau menaja forum atau konvensyen keusahawanan dari masa ke semasa.
7. Ibubapa hendaklah mendedahkan anak-anak untuk menyertai aktiviti perniagaan dan keusahawanan dengan cara yang difikirkan sesuai bagi maksud mengalakkan kecenderungan mereka ke arah itu.
Dipetik daripada:
http://www.islamgrid.gov.my/muamalat/static/pdf/15%20JAN%202009/TAJUK%208/TAJUK%208%20-%20DATO%27%20HJ%20DUSUKI%20AHMAD.pdf













