Tanganilah Yang Mereput Bukannya Pita Rakaman
Monday, 24. September 2007, 18:31:17

(Deal with the Rot, Not the Tape)
M.Bakri Musa
Kalau Ketua Hakim Negara Ahmad Fairuz ada harga diri dan kesedaran mempertahankan martabat professionalismenya, dia seharusnya meletakkan jawatan dengan segera. Kalaulah Perdana Menteri Abdullah Badawi mempunyai secebis perasaan tanggungjawab kepimpinan dan peka kepada amanah yang diberikan rakyat kepadanya, dia tidak seharusnya melanjutkan kontrak Ketua Hakim Negara itu yang dijangka akan berakhir pada Oktober ini.
Kalaulah Majlis Peguam Malaysia mempunyai secebis prinsip berwibawa tentang tanggungjawab sosialnya serta etika kawal diri professionalismenya, ia tentu bertindak terhadap anggota peguam yang membuat panggilan telefon seperti yang dipamerkan dalam rakaman klip video yang didedahkan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Alahai, kalau diambil-kira prestasi yang dulu-dulu, janganlah kita harapkan sangat
akan berlaku semuanya itu. Inilah malangnya hakikat sebenar di Malaysia masa kini. Yang DiPertuan Agong mesti menyekat lanjutan kontrak kerja Fairuz, dan dengan demikian melangsungkan kesinambungan krisis Perlembagaan yang tidak disenangi oleh rakyat negara ini.
Majlis Peguam telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Tergempar tetapi sebaliknya memulakan satu prosiding mendisiplin yang dianggap penting ke atas peguam yang terbabit (yang semestinya dalam bidang kuasa majlis itu sebenarnya) dan majlis itu telah membuat keputusan untuk pergi ke Putrajaya untuk menyerlahkan satu surat bantahan (petisyen) kepada Perdana Menteri menggesa ditubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja. Selepas itu para peguam tersebut akan berkumpul menunjuk perasaan di jalan raya. Inilah gelagat Dunia Ketiga persis orang Pakistan! Saya berpendirian semua peguam terbabit mungkin mengambil iktibar daripada teori perundangan yang lebih canggih untuk menyaman kerajaan agar ia bertindak.
Sementara itu Abdullah ternyata “kecewa” bukan kepada isi kandungan video yang sungguh menggegarkan itu tetapi kepada hakikat yang ia telah disebarkan. Bangunlah Perdana Menteri! Kebobrokan dalam sistem kehakiman negara bukan terletak pada rakaman perbualan itu. Kalaulah Abdullah sudah benar-benar terjaga, daripada dengkurnya yang biasa, sudah tentu dia memberikan arahan untuk menangkap Anwar Ibrahim.
Ketua Hakim Negara, Fairuz, telah mengambil iktibar daripada sikap Perdana Menteri yang menyerlahkan “senyap bergayanya,” dan mengeluarkan satu kenyataan singkat “Tidak ada komen”. Ini bukan satu keranggian ataupun satu kebisuan. Sebaliknya itu adalah perangai yang sungguh hodoh dan amat memalukan.
Motif Rakaman
Kualiti rakaman itu menyerlahkan bahawa tidak mungkin ia adalah satu kepalsuan. Dengan wujudnya kemampuan forensik masa kini, adalah satu kebodohan kalau ada sesiapa yang cuma berusaha mengatakannya demikian. Peguam yang terlibat telah dirakamkan bercakap dengan telefon bimbit beliau, bererti akan wujud kesan rakaman digital yang tidak dapat dipadamkan. Penyata rakaman telefon bimbit saya menyenaraikan setiap panggilan yang keluar-masuk setiap bulan. Disebabkan kualiti rakaman, video itu tidak mungkin dapat dirakamkan secara rahsia semacam rakaman telefon yang dibuat semasa episod perempuan (Cina) mencangkung ketuk-ketampi) sebelum ini. Lagi pun, perkakasan semacam itu belum lagi sedia ada pada 2002. Persoalan yang memusykilkan ialah kenapakah rakaman video itu dibuat? Ini mencetuskan alasan yang paling jelas dan nyata yang ada kaitan dengan kebodohan. Saya ingin mengemukakan beberapa andaian:
Pertama ialah mengenai emosi kemanusiaan – keangkuhan. Nafsu serakah untuk menambun harta karun sejurus anda selesai membalun sebanyak itu memang amat nyata. Tentunya anda mahu kecemerlangan lain seperti meraih gelaran DiRaja ataupun isteri baru (kalau melibatkan orang beragama Islam) . Seandainya semua itu sudahpun diperolehi, ataupun tidak mampu diperolehi, langkah yang paling sesuai dilakukan seterusnya ialah menjadi tukang-atur, ataupun berangan-angan anda mampu berlagak sedemikian rupa.
Apabila seorang peguam mampu bercakap angkuh yang anda mampu menangani hakim yang lebih kanan tentulah merupakan satu jolokan dan pujian yang membodek. Ini juga semacam melambungkan ego anda sebagai orang yang pandai mengaturcara. Beberapa tahun kemudian ketika umur memamah usia, cucu-cicit anda yang skeptik akan mengaitkan keangkuhan anda itu sebagai sesuatu yang muncul daripada minda orang yang nyanyuk, kecuali anda memiliki video untuk menjadikan buktinya.
Yang begitu akrab kepada keangkuhan ialah bongkak dan sombong. Keihsanan ialah kalau anda mampu memanipulasi sistem kehakiman negara ini dan merasa puas sedikit, sedangkan bongkak dan sombong ialah apabila anda menyalahgunakannya. Jelas peguam Lingam sudah pun menyalahgunakannya!
Sebagai alternatif, saya tidak pun sangka seorang yang terhormat (seperti Lingam) sanggup berbual secara monolog (satu hala sahaja perbualannya) dengan seorang hakim kanan yang kononnya berada di hujung talian perbualannya, persis kartun nukilan Lat, dan selepas itu dengan tujuan tertentu ‘membocorkan’ pita rakaman tersebut. Perbuatan sedemikian sudah tentu menjadi tajuk berita yang besar. Kalau dibayangkan motifnya memanglah kita sedar betapa bajingan memang terkenal melakukan perbuatan semacam ini sebagai asas mahu mengajar pihak yang mengecewakan rancangannya. Masih ada satu cara penting untuk menilai perkara ini: periksalah pita rakaman itu untuk mengetahui bila ia telah dirakamkan. .
Kemungkinan terakhir ialah apakah ini kerja orang dalam, mungkin seorang petugas yang mahu membalas dendam terhadap tuannya seandainya dia cuba bersikap ganas pada masa hadapan. Kalau kita ambil iktibar betapa pekerja firma guaman dilayan dengan buruknya di Malaysia, kemungkinan ini memang boleh menjadi satu kenyataan.
Suruhanjaya Kehakiman bukannya Penyelesai Kereputan bidang Kehakiman
Selepas berlengah-lengah dan setelah berlakunya banyak spekulasi, Abdullah akhirnya telah melantik kononnya dengan ikhsan Raja-raja, Hakim Hamid Mohamed sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Hakim Alauddin Sherif sebagai Hakim Malaya. Dua orang tokoh ini memang begitu dihormati kerana martabat mereka dan juga sikap yang berfikiran bebas. Patutlah mereka itu bukan orang pilihan Abdullah.
Abdullah juga telah melantik peguam Zaki Tun Azmi menganggotai Mahkamah Rayuan itu secara lantikan terus. Beliau adalah merupakan peguam UMNO yang menganggotai majlis disiplin parti. Yang terbaru dia lebih dikenali kerana menggugurkan talak ke atas isteri mudanya yang berdarah Siam (apakah itu isteri kedua, ketiga ataupun keempat?) dan kemudiannya meminta si isteri itu membakar siji nikah yang mereka perolehi di Selatan Thailand. Alangkah hebatnya ketokohan si peguam ini! Yang mengejutkan kita ialah tindakan Majlis Raja-raja yang memperkenankan lantikan beliau.
Mungkin juga Zaki Azmi merupakan calon kegemaran Abdullah untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Tentu sekali ini memberikan gambaran apa jenis manusia si Abdullah Badawi.
Kereputan dalam sistem kehakiman negara memang sudah lama berlaku sebelum Abdullah menjadi Perdana Menteri. Sesungguhnya dia mempunyai peluang untuk menyekat kegelongsoran martabat ini dengan membuat beberapa pelantikan baru. Walaupun dia pernah mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum 2004 dahulu, Abdullah gagal mengambil peluang itu.
Banyak pihak yang mencadangkan agar diwujudkan satu Suruhanjaya DiRaja yang bebas untuk menangani pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim; Saya tidak bersetuju. Hakim dan pihak kehakiman seharusnya bertanggungjawab kepada rakyat. Saya memang tidak setuju agar para hakim dipilih seperti yang berlaku di Amerika, tetapi sistem yang ada dengan pelantikan hakim oleh Perdana Menteri dan mendapat restu Majlis Raja-raja adalah satu gantian yang baik. Apa gunanya membuang masa dan tenaga meneruskan sistem yang ada.
Sebaliknya apa yang diperlukan ialah Perdana Menteri menjadi lebih bijaksana dengan perlantikannya dan meluaskan bidang pelantikan itu seluas mungkin. Di Amerika, Hakim Persekutuan adalah mereka yang dicadangkan oleh Presiden tetapi mesti mendapat perkenan Dewan Senat, selepas diadakan satu majlis perkenan rakyat. Seandainya Presiden menjadi bengong untuk melantik seseorang yang sama bengong semacam beliau. Dewan Senat tidak akan teragak-agak menafikan perkenan itu, sejurus dilaksanakan satu majlis perakuan dan bantahan yang dibuat secara terbuka.
.
Di samping itu, Majlis Peguam, cerdik pandai guaman, dan lembaga editorial tidak pernah culas menyuarakan pendapat mereka.
Perdana Menteri tidak boleh melepaskan tanggungjawab dalam pemilihan hakim. Kalaulah Abdullah memerlukan panduan (seperti yang amat diperlukannya) saya ingin cadangkan beliau membaca tulisan memoir Lee Kuan Yew. Kalau dia dapati buku itu terlalu tebal dan sudah memahaminya, saya boleh membantu Abdullah menjelaskan beberapa muka surat yang relevan.
Saya pernah menulis pandangan tentang insulariti intelektual dan pengalaman para hakim di Malaysia. Secara eksklusifnya kebanyakan mereka datang daripada perkhidmatan awam, tanpa banyak pengalaman dalam dunia akademia, sektor swasta ataupun pengalaman lain. Lantas mereka amat patuh kepada arahan kerja.
Saya terkejut mendengar bahawa Ketua Hakim Fairuz telah dipersoal dengan bahan bukti yang digunakannya untuk menaikkan pangkat hakim yang ternyata culas dengan tugas penghakiman dan beliau sanggup menulis kepada Perdana Menteri dan tidak menangani isu itu sendirian. Saya buat andaian bahawa Fairuz menunggukan arahan daripada Perdana Menteri. Demikianlah caranya beliau memahami konsep perbezaan kuasa!
Sesungguhnya inilah yang menyerlahkan ketokohan Fairuz. Janganlah pula mulakan membuat komen tentang tulisan perundangan dan komentar beliau!
Akhir kata, adalah tidak menjadi masalah besar apakah sistem yang ada seandainya mereka yang bertanggungjawab dengan pemilihan para hakim itu tidak menjalankan tugas dengan amanah. Kereputan dalam sistem kehakiman negara bukan disebabkan sistem tetapi disebabkan manusia. Sistem yang ada pernah menghasilkan tokoh kehakiman yang gemilang seperti Tun Suffian dan Raja Tun Azlan Shah. Sudah tentu ini boleh diulangi lagi.
25.09.2007 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)








How to use Quote function: