TAG: Kelompongan si Imam Islam Hadhari
Tuesday, 23. October 2007, 16:50:47
Oleh M. Bakri Musa
Anda mudah mengecam sesuatu bangsa itu melalui amalannya, khususnya yang diamalkan oleh pemimpinnya. Dengan hal demikian, Islam Hadhari merupakan satu kelentungan yang diada-adakan oleh Abdullah Badawi ke atas rakyatnya. Bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu merupakan musim kelima yang dihadapi oleh Abdullah sejak menjadi seorang Perdana Menteri. Tidak ada satu pun musim berpuasa itu yang digunakan oleh Abdullah untuk mempamerkan semangat kemurahan hati dan keampunan yang merupakan tiang seri amalan Ramadan.
Semasa Mahathir mencengkam kuasa dahulu, dan juga seperti yang diamalkan oleh Perdana Menteri lain sebelum beliau, adalah menjadi satu amalan tradisi Yang DiPertuan Agong mendapat nasihat Perdana Menteri untuk memberikan pengampunan kepada para banduan di penjara pada hari terakhir bulan Ramadan, untuk membolehkan mereka bebas kembali bersama ahli keluarga menyambut hari raya. Kita pernah menerima berita Kasim Ahmad seorang penulis dan ahli falsafah dan juga seorang ilmuwan bernama Syed Hussin Ali, yang menjadi banduan di bawah cengkaman ISA, telah dibebaskan pada petang menjelang sambutan hari raya. Bekas rakan sedarjah saya yang satu ketika dahulu merupakan sebutir bintang bergemerlapan dalam UMNO dan pernah menjadi anggota menteri kabinet, pernah diberikan pengampunan daripada tuduhan membunuh dan dibebaskan.
Abdullah telah melalui lima bulan Ramadan untuk mempamerkan kemurahan hati ataupun kebesaran berzakat dalam apa yang disebutnya sebagai Islam Hadhari. Dia terlepas peluang itu semuanya. Yang turut sama pentingnya, ialah sepanjang sambutan Ulang tahun Kemerdekaan ke-50 baru-baru ini, Abdullah tidak nampak pentingnya mengadakan satu program pengampunan untuk para banduan. Begitu juga halnya ketika dia mula-mula naik mengangkat kuasa sebagai seorang Perdana Menteri dahulu.
Dalam satu ucapannya untuk sambutan Hari Raya dia telah berdakwah agar umat Islam mempunyai semangat bermurah hati dan berzakat. Itulah sahaja kemampuannya, tidak ada lagi lebih daripada cakap-cakap manis semacam itu lagi.
Apabila dia mati, tidak pun ada apa-apa dalam sepuluh rukun Islam Hadhari yang menyentuh kemurahan hati dan keihsanan. Alangkah bongoknya saya menganggap bahawa “Islam” dalam Islam Hadhari setidak-tidaknya mempunyai sedikit kualiti yang menyerupai zakat, sebagai salah satu tiang kepercayaan utama kita.
Kefahaman Abdullah tentang zakat sempena sambutan Hari Raya tahun lalu adalah dengan menaja konsep ‘Rumah Terbuka” yang menelan belanja berjuta ringgit di Pusat Dagangan Dunia Putra. Memang kita sedar segala perbelanjaan pesta makan itu adalah datang daripada Perbendaharaan negara. Memang amat mudah berbelanja sakan kalau wang yang digunakan itu adalah wang milik orang lain.
Semasa Ramadan yang berlalu, Abdullah telah menjadi tuan rumah kepada majlis ‘iftar’ (berbuka puasa) yang mendahului solat Maghrib dan diikuti dengan solat Tarawih. Kalau orang lain yang menjadi tuan rumah yang berhati lebih mulia tentulah dia minta seorang ulama ataupun ustaz di kalangan tetamunya untuk menjadi imam solat. Tetapi bukan Abdullah, dia mahu bolot semua itu. Itulah konsep beliau akan contoh keinsanan dan kesederhanaan (ataupun mungkin juga ini merupakan satu propaganda untuk santapan umum).
Ada satu ketika beliau bersama anggota media (hanya mereka yang menunjukkan semangat kuat mengkritik) Abdullah telah mengajak penulis ini bersama seorang penganalis politik Syed Hussein Alattas (Pak Habib) sama-sama menikmati hidangan ubi rebus, yang merupakan makanan biasa semasa zaman pemerintahan Jepun dahulu. Pak Habib yang selalunya bersifat kritis telah terperanjat dengan sikap Abdullah yang sungguh ‘mulia’ itu sehingga beliau menjadi terpegun dan terpesona.
Sesungguhnya ini hanya merupakan satu lakonan dan cubaan yang tidak berkesan dalam usaha ‘memancing’ pihak media untuk melihat dan membuat laporan mengenainya. Anda boleh bertaruh bahawasanya tidak akan ada lagi sup (bubur?) ubi rebus yang dihidangkan dalam menu hidangan pesawat jet korporat mewah yang bernilai RM200 juta yang khas untuk kegunaan Abdullah.
Pak Habib yang (kononnya) merupakan seorang komentar politik yang tidak mudah dipancing dan dibeli, telah berusaha mendapatkan gambar beliau diambil bersama dengan Perdana Menteri yang sungguh ‘bersahaja’ dan berpakaian kain pelikat dan berbaju Melayu. Sudah tentulah gambar mereka berdua itu telah digunakan untuk menghiasi laman web beliau. Jelas, betapa Pak Habib yang memang kaya-raya dan bebas bergaya tidak boleh dibeli dengan segala pujian dan wang ringgit, tetapi dengan lakonan makan ubi rebus sahaja!!!!
Ketua OIC Yang tidak Nampak apa-apa
Berkat usaha dan ketokohan orang yang pernah mendahului dan menjadi ketuanya, Abdullah telah mengambil alih pucuk kepimpinan OIC (Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam) sejurus beliau menjadi Perdana Menteri. Kalau Mahathir telah menunjukkan ketokohan dan keperkasaan untuk menegakkan kepentingan Islam dan negara-negara Islam dalam persidangan luar negara, Abdullah hanya sibuk mengekalkan keranggiannya secara membisu di seberang laut, sahaja.
Tidak ramai yang sedar akan kehadiran Abdullah semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kecuali apa yang digembar-gemburkan oleh media Malaysia. Kerana itu secara ‘default’ pandangan dunia terhadap Islam dan KeIslaman telah tertumpu kepada apa juga usaha yang dilaksanakan oleh pemimpin lain seperti Presiden Iran, Ahmadnejad.
Walaupun Abdullah menjadi Ketua OIC, dia diam membisu mengenai dua tragedi utama yang berlaku pada dunia Islam -- penaklukan Amerika ke atas Iraq, dan penderitaan manusia yang sungguh dahsyat di Darfur. Kebisuan beliau memaparkan sikapnya yang tidak acuh. Inilah contoh betapa beliau tidak peka dengan penderitaan manusiawi, seperti mana dia acuh tak acuh kepada nasib para banduan kelas ‘prisoners of conscience’ yang meringkuk dalam penjara di negara ini. Sekali lagi ini membayangkan kefahaman beliau terhadap Islam, dan rukun panduan Islam Hadhari tajaannya.
Kalau dibincangkan keadaan rantau ini, memang jelas bahawa Abdullah tidak peduli akan segala kekejaman yang dilakukan oleh junta tentera di Myanmar. Sebagai seorang imam Islam Hadhari yang mengangkat dirinya sendiri, sepatutnya Abdullah bersimpati dengan nasib golongan yang tertindas seperti para pemimpin agama di sana. Akan tetapi, tidak ada satu pun yang dibuatnya.
Di Amerika yang sekular ini, Presiden Bush dan pemimpin kanan yang lain, perlu mengisytiharkan secara terbuka cukai pendapatan tahunan mereka. Daripada pendedahan demikian rakyat dapat tahu berapa banyak yang diberikan oleh pemimpin mereka kepada tabung amal. Rupa-rupanya Bush dan para pemimpin lain memang banyak memberikan derma mereka. Moga-moga Allah memberkati mereka semua.
Zakat adalah rukun utama dalam Islam. Walaupun zakat tidak pun disebut secara rasminya dalam sepuluh rukun utama Islam Hadhari, saya masih mengharap bahawa Islam Hadhari memberi penekanan kepada zakat. Kalau Abdullah mampu berpeleseran dan bersantai ke Turki dan Australia dan turut menaja majlis rumah terbuka yang bernilai berjuta ringgit, saya masih terfikir juga berapa banyakkah yang didermakan oleh Imam Islam Hadhari ini kepada Baitulmal pada tahun ini?
Abdullah dan sekutunya telah menyibuk mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Eloklah kita mulakan perbincangan dengan membincangkan pra-syarat kewujudan Islam, di mana setiap umat dimestikan membayar zakat. Apabila kita sudah capai matlamat itu, bolehlah kita bincangkan hukum-hakam yang lain dalam Syariah.
Tidak kiralah apakah sebenarnya Islam Hadhari, yang pasti ialah kewujudannya di bawah kepimpinan Abdullah. Tikus-tikus yang merupakan para kroni dan ahli keluarga beliau telah sibuk sakan mengkerutung harta negara yang amat berharga. Sedikit demi sedikit semua itu akan habis dihurung sehingga apa yang tinggal pada Perbendaharaan negara nanti merupakan semacam keju Swiss yang berlubang sana-sini, tinggal hanya selapis yang amat nipis untuk mengekalkan bentuknya. Inilah jadinya kalau kita biarkan seorang kaki tidur menjadi seorang ketua eksekutif negara, ataupun kalau mengikut tafsiran saya, membiarkan negara dikemudi oleh seorang yang kepalanya kosong.
Tak perlulah kita memuji-muja si Imam Hadhari yang lompong dan bangang, lebih baik kita panggangkannya sahaja.
24.10.2007 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)








How to use Quote function: