Hubungan Etnik Tidak Dapat Lindungi Perbezaan Kelas
Wednesday, 5. September 2007, 13:24:20

(Ethnic Ties Won't Paper Over Class Differences)
By Kalinga Seneviratne
SINGAPURA, Sep 4 (IPS) – Mereka mengongsi budaya Melayu yang sama dan agama Islam, tetapi layanan haprak yang diberikan ke atas pekerja Indonesia di Malaysia telah mengeruhkan hubungan baik antara dua negara jiran di Asia Tenggara.
Pengulas politik melihat pertembungan itu sebagai kesan daripada perbezaan kelas ataupun darjat dan bukannya perbezaan etnik.
Dalam kejadian tegang yang terbaru, beribu-ribu muda-mudi Indonesia telah membakar bendera Malaysia dan menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan pejabat Konsul di banyak tempat ekoran pengalaman pahit seorang pengadil karate Indonesia yang dilanyak oleh polis Malaysia.
Hakikat bahawa polis sedang memburu pendatang tanpa izin tidak pun meredakan perasaan meluat di Indonesia.
Donald Luther Kolobita, 47, merupakan anggota satu pasukan Indonesia yang menyertai Kejohanan Karate di Kuala Lumpur, tetapi beliau telah diserkap oleh empat orang anggota polis yang berpakaian biasa pada satu tengah malam di luar hotel penginapannya. Memikirkan yang mereka cuba merompak beliau, Kolobita telah melawan sebelum dia dilumpuhkan, digari dan diheret ke balai polis, dan di sana dia dilanyak hingga lumat lagi.
Kolobita pulang ke Jakarta dengan kerusi roda dan keseluruhan pasukan karate Indonesia telah menarik diri daripada menyertai kejuaraan itu. Speaker Parlimen Indonesia Agung Laksono menyebut “serangan itu sebagai satu tindakan bongkak di pihak polis Malaysia terhadap seorang warga Indonesia”, dan Presiden Susilo Yudhoyono menuntut agar polis Malaysia memohon maaf.
Pada hari Jumaat, Ketua Polis Negara Musa Hassan telah mengutus satu surat meminta maaf kepada Kolobita dan surat itu telah diserahkan kepada beliau yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Jakarta oleh Duta Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Zain. Namun amarah rakyat Indonesia belum reda lagi di mana aktivis muda meneruskan protes mereka di luar Kedutaan Malaysia.
Episod mutakhir ini adalah satu lagi contoh betapa aibnya layanan terhadap orang Indonesia di Malaysia, khususnya pekerja imigeran. Terdapat hampir 600,000 secara rasminya berkhidmat di Malaysia sebagai tenaga kerja, dan mengikut taksiran, mungkin sama banyak lagi adalah pekerja jenis pendatang tanpa izin.
Dianggarkan sekitar 27 peratus pekerja Indonesia yang sah itu adalah pembantu rumah dan terdapat beberapa kisah penderaan terhadap mereka yang menambahkan kemarahan disebabkan serbuan yang berlebih-lebihan kerasnya ke atas pekerja asing yang datang tanpa izin.
“Orang Melayu di Malaysia selalu berfikiran bahawa orang Jawa (Indonesia) adalah satu bangsa yang lebih rendah darjatnya berbanding mereka” kata Ade Armando, seorang pensyarah komunikasi di Universiti Indonesia, dalam satu wawancara dengan IPS. “Ini diwajarkan oleh hakikat bahawa orang Indonesia yang mereka temui kebanyakannya adalah buruh ataupun pengasuh,” tambah beliau.
Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif kumpulan hak asasi manusia, Suaram, berhujah bahawa kemarahan yang ditunjukkan oleh orang Indonesia adalah satu pertanda tentang “amarah terpendam terhadap Malaysia kerana kerap melakukan penderaan, eksploitasi dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja Indonesia.”
Beliau berkata memang terdapat kurang daya komitmen di pihak kerajaan Malaysia untuk menyekat salahlaku ini. “Terlalu banyak penderaan yang semacam dibiarkan sehinggakan pesalah laku penderaan itu lepas bebas tanpa balasan,” kata Yap kepada IPS.
“Majoriti pendatang asing Indonesia diambil untuk bekerja dalam jenis apa yang dikatakan pekerjaan ‘3-D’ yakni ‘dangerous’ (berbahaya), discriminatory (aib) dan degrading (kerja paling menghina). Kerana itu wujud sikap memperhamba dan bongkak terhadap pekerja pendatang ini secara umumnya,“ kata beliau.
Hanya beberapa hari sebelum Kolobita diserang, kerajaan Indonesia telah dikejutkan dengan berita kematian seorang pengasuh Indonesia berusia 24 tahun di tangan majikan yang ganas, dan ini membuatkan kerajaan Indonesia mendesak Malaysia agar bertindak terhadap perilaku layanan buruk ke atas pekerja Indonesia.
Selama tiga bulan yang lalu terdapat dua kes pengasuh Indonesia yang terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba setelah mereka dijumpai berada di kaki jendela rumah pangsa kerana cuba melepaskan diri. Para pengasuh kerap sangat merana kerana serangan fizikal, termasuk digosok dengan sterika panas ataupun disimbah air panas. Namun pendakwaan jarang dilaksanakan.
Irene Fernandez, pengarah Tenaganita, sebuah kumpulan hak asasi manusia yang memperjuangkan nasib pekerja asing, telah memberitahu IPS pada Mei dahulu bahawa secara purata terdapat antara 150-200 pekerja asing, kebanyakannya pengasuh telah mendapat perlindungan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur setiap bulan.
Beliau menyalahkan kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Indonesia kerana kemelut ini disebabkan mereka gagal melindungi hak asasi pekerja pendatang.
“Selagi kerajaan Malaysia tidak menguruskan isu yang pokok itu, kejadian yang sama akan berulang lagi, “kata beliau kepada TV Al-Jazeera baru-baru ini.
Yap bersetuju: “Pekerjaan sebagai pembantu rumah (domestic) adalah yang paling teruk dianiayai di Malaysia kerana mereka bertugas secara terpencil dan terkongkong,” kata beliau. “Mereka seharusnya dibenarkan satu hari cuti rehat untuk setiap minggu dan dibenarkan bertemu kawan-kawan dan menyertai pertubuhan pekerja, supaya mereka mendapat bantuan sistem sokongan. “
Yap berhujah bahawa harus ada “satu reformasi total dalam dasar dan sistem perundangan di Malaysia dalam menangani pekerja asing.” Dan tanpa satu sistem perundangan semacam itu kerajaan Malaysia “akan turut bersalah disebabkan tidak bertindak terhadap pesalah ke atas hak asasi manusia.”
”Saya tidak fakir kita ,sebagai sebuah negara adalah begitu marah kepada Malaysia,” kata Armando kepada IPS. Beliau berpendapat daripada membuat bantahan terhadap Malaysia, golongan muda harus membantah kepada kerajaan Indonesia kerana “gagal menyediakan kepada orang kita jenis peluang pekerjaan yang diberikan di Malaysia.”
Mengikut Armando, golongan kelas menengah di dua buah negara itu mempunyai perasaan saling menghormati antara satu sama lain dan hasil budaya Indonesia boleh dilihat di mana sahaja di Malaysia. “Saya yakin, antara lainnya, golongan kelas menengah Malaysia yang muda memang cemburu terhadap kenikmatan yang dinikmati oleh golongan yang sama di Indonesia,” kata beliau.
05.09.2007 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)








Anonymous # 8. October 2009, 15:33
sila berikan sumber komentarnya yah.jangan selalu2 diocok2 sama media aja.Arus liat perbedaan massa keduanya.Baru komentar anda lebeh adil dan saksama.