Skip navigation.

M@RHAEN

Bukan Sekadar Blog Pro-Reformasi

Telahan Demi Telahan


Oleh Penulis Tamu M@RHAEN

Ketika artikel ini dicerna, umum memahami Pak Lah sedang pening kepala. Perancangan beliau untuk melaksanakan pilihanraya selepas Aidilfitri telah lunyai digasak arus kebangkitan protes Majlis Peguam dan rakyat. Kebangkitan yang tidak disangka-sangka. Kebangkitan yang tidak dialu-alukan BN. Kebangkitan yang ditunggu-tunggu sejak berlalunya era reformasi.

Pada mulanya, BN telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam. Percaturan Pak Lah mudah, beliau mahu penjawat awam terhutang budi pada kerajaannya sekaligus mereka memangkah dacing pada pilihanraya umum akan datang. Namun tidak seperti yang diduga, tiba-tiba MTUC di bawah pimpinan Syed Shahir Syed Mohamud bangkit dan menggerakkan ketumbukan MTUC menuntut gaji minimum RM 900 dan COLA RM 300.

Tuntutan ini telah menyebabkan jiwa Pak Lah kacau dan kusut. Manakan tidak, popularitinya jatuh merudum dengan tekanan rakyat marhaen yang rata-ratanya makan gaji di sektor swasta -- yang mana MTUC adalah penaungnya. Projek menggula-gulakan penjawat awam dan mempublisitikan kenaikan gaji mereka di mata rakyat telah tenggelam terperosok di sebalik arus penentangan MTUC.

Lalu Pak Lah mencanang lagi. Projek SJER, NCER dan ECER mula dipopularkan di corong media perdana. Belum pun sempat kita melihat apa kejadahnya rupa sebenar atau konsep pembangunan wilayah ekonomi itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan sebuah mimpi ngeri al-hadhari, yakni laporan audit negara yang mendedahkan kehaprakan manusia Melayu yang beragama Islam, yang rata-ratanya menghuni kerajaan telah terbabit dengan rasuah sehingga bernanah ke peringkat tulang sum-sum kerajaan persekutuan Malaysia.

Lalu kes Altantuya pun diputar belit bicara, sehingga rakyat sudah hilang percaya kepada kemampuan hakim untuk menyelesaikannya. BN mempertahankan kredibiliti hakim dan peguamcara. BN mempertahankan betapa sistem kehakiman negara ini bebas dari sebarang campur tangan pemerintah. BN melahirkan rasa yakin yang teramat betapa pembunuh Altantuya akan dicekup dan digantung di gedung penjara. Kenyataan yang anda baca di atas ini semuanya haprak! semuanya tipu!

Belum sempat mereka menutup pekung di dada di atas campur tangan di dalam kes pembunuhan kejam ini, tiba-tiba muncullah keratan video V.K Lingam yang secara jelas membuktikan segala perlantikan hakim kanan rupa-rupanya dirancang dan diatur secara licik bagi memastikan pemerintah terus berkuasa. Maka celiklah minda rakyat, betapa terpesongnya struktur kehakiman di negara ini! Maka barulah kita mengerti mengapa kes Altantuya semakin tersasar jauh dari landasan kebenaran! Kerana hakim yang mengadilinya adalah seorang manusia yang tunduk menjilat Barisan Nasional. Dan kes ini perlu ditutup bagi membebaskan BN dari sebarang kaitan jahat ke atas pembunuhan Altantuya.

Belum sempat para pembunuh Altantuya dilepas bebas melalui pintu belakang, tiba-tiba pecah berita kematian Nurin Jazlin -- sebagaimana rakyat Mongolia yang sedih dengan kematian Altantuya yang mayatnya hancur lumat dan lunyai, demikianlah rakyat Malaysia yang menangisi kematian Nurin yang maruahnya turut hancur dilanyak perogol pedofilia.

Belum sempat kering air mata kita menginsafi Nurin, tiba-tiba kita didatangi satu khabar berita, yakni kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak seawal-awalnya Januari ini. Bala bertimpa-timpa menghenyak pemikiran Pak Lah. Perancangannya gagal satu persatu. Perhitungan Pak Lah kecundang. Sedetik demi sedetik, selangkah demi selangkah reputasi Pak Lah semakin ranap, punah dan ghuyub.

Kita di bulan Oktober, bulan yang genting bagi Barisan Nasional. Mengapa? Kerana mereka sedang terdesak untuk mencari deadline mengadakan pilihanraya. Telahan umum mula berubah, BN kecut perut untuk mengadakan pilihanraya umum pada tahun ini. Namun jika dibiarkan sehingga ke tahun hadapan -- sememangnya lebih parah lagi kedudukan BN kerana dijangka pelbagai isu-isu baru akan menjelma. Dan yang nyata isu-isu pada tahun hadapan lebih sukar lagi mencabar, jika sekiranya keadaan ekonomi dijadikan sandaran dan perhitungan.

Sentimen generasi muda yang semakin membuak-buak menolak BN telah dibuktikan apabila UIA menyaksikan kemenangan kumpulan Pro-Mahasiswa, di samping tumbangnya UTM City Campus di tangan Pro-Mahasiswa -- jelas menunjukkan satu isyarat bahaya terhadap Barisan Nasional.

Bila Pilihanraya Umum?

Pada mulanya, kerajaan merencana kenaikan gaji kakitangan awam. Kenaikan yang mencanak-canak ini diumumkan dua bulan lebih awal dari tarikh sebenar. Jadi telahan mudah ialah, BN pada mulanya mahu membubarkan Parlimen seawal pertengahan Ogos dan memastikan kemenangan besar BN sempena 50 tahun merdeka. BN mahu meraikan kemenangan besar mereka bersama-sama dengan sambutan kemerdekaan. Sudah pasti pesta besar-besaran akan direncana bagi menunjukkan keperkasaan mereka. Perancangan ini gagal kerana MTUC menuntut gaji minima RM 900 dan COLA RM 300. Keengganan BN tunduk kepada desakan MTUC menyebabkan protes besar-besaran dilancarkan. Hasilnya BN gagal memanfaatkan langkah menaikkan gaji kakitangan awam untuk kepentingan politik mereka.

Kemudian, mereka berura-ura membubarkan Parlimen pada bulan Syawal 1428 -- dengan isu yang membuak-buak termasuk isu Lingamgate yang menyebabkan Bar Council menyinsing lengan memprotes, sekaligus menyebabkan populariti BN merudum. Namun boleh jadi mereka sanggup melaksanakan pilihanraya umum pada tahun ini tanpa mempedulikan risiko yang bakal ditanggung. Kalau di zaman reformasi pun BN masih mampu bertahan, inikan pula dengan isu Lingam. Apa nak takut? Mereka kan ada SPR?

Kalau ditunda pada tahun hadapan, dikhuatiri ketika itu harga bahan bakar, harga barang keperluan dan tekanan inflasi akan naik mencanak-canak. Ketika itu pembangkang bakal menggunapakai isu-isu ini untuk membakulsampahkan BN.

Tahun hadapan juga bakal menyaksikan keputusan kes Altantuya akan diketahui umum. Dan tahun hadapan juga pemilihan UMNO akan berlangsung di mana muka-muka baru Pemuda UMNO dijangka akan mengisi tampuk pentadbiran parti keris khianat itu. Tahun hadapan juga ekonomi diramal merudum -- kesan dari sentimen pelabur-pelabur yang semakin tidak yakin akan kemampuan Pak Lah memerintah Malaysia. Untuk rekod trend memindahkan operasi pelaburan dari Malaysia ke luar negara seperti Thailand dan Vietnam semakin galak sejak akhir-akhir ini, petanda mereka tidak senang dengan dasar dan polisi rasuah yang diamalkan BN.

Selain itu, banyak lagi faktor yang tidak terjangka akan muncul dan meranapkan keyakinan rakyat terhadap BN. Ini memandangkan ramai penjawat awam telah berperanan sebagai informer kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

Kekuatan Pembangkang?

Dalam pilihanraya umum lalu, Parti Keadilan Nasional banyak bergantung harap menumpang simpati kepada PAS. Malah, terdapat anggota PAS yang diturunkan untuk mengetuai jentera Keadilan. Isu-isu yang ditimbulkan juga merupakan isu-isu tumpangan di mana PAS juga telah mendahuluinya. Tatkala itu Keadilan dilihat seperti Semangat 46 yang masih diliputi bau kemelayuan.

Namun Ketika ini Parti Keadilan Rakyat mula menunjukkan belang taringnya. Di sebalik pengunduran ahli-ahli yang berpengaruh, Parti Keadilan Rakyat telah mula membuktikan kepada rakyat betapa parti ini bukanlah sebuah lagi parti melayu. Parti ini bukanlah seperti Semangat 46 yang hanya menumpang jentera PAS untuk melompat lebih tinggi, sebaliknya pada satu tahap, parti ini telah berjaya menggerunkan pemerintah. Nama-nama seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Nathaniel Tan, Tian Chua dan terkini R. Sivarasa telah banyak mendatangkan masalah kepada BN. Ini belum dicampur dengan penyusunan gerak kerja di Sabah yang menyaksikan angin perubahan sudah mula bertiup di negeri di bawah bayu itu.

KeADILan kini memiliki dua orang YB berbangsa Melayu dan Cina. Masing-masing mewakili Parlimen dan DUN Sarawak (Dominique Ng). Parti itu juga mempunyai hubungan baik dengan DAP. Ini dapat dibuktikan pada Pilihanraya Ijok apabila petugas-petugas DAP telah all out membantu Tan Sri Khalid Ibrahim. Penulis berpendirian keADILan sekarang ini adalah pengganti kepada Parti Gerakan yang satu masa dahulu turut mempunyai konsep yang sama, yakni konsep perpaduan di antara kaum. Malangnya Gerakan kini dilihat sebagai sebuah parti kaum Cina.

Jentera PAS pula berada di tahap terbaik. Kegagalan BN dalam propaganda Batu Burok telah meningkatkan imej parti Islam itu. Provokasi BN gagal sebaik sahaja isu peluru hidup yang dilepaskan membabi buta dipandang lebih serius berbanding isu membakar bendera Crescent Moon, Stars & Stripes. Ketika saya menulis ini ramai pihak yang beranggapan Peristiwa 809 (8 September 2007) itu adalah angkara perbuatan anggota Cawangan Khas.

Kegagalan UMNO mengkambinghitamkan PAS dan Parti Keadilan Rakyat dalam Peristiwa 809 itu bakal menyaksikan reputasi UMNO terperosok jatuh, dan berpotensi untuk tenggelam di sebalik arus kebangkitan rakyat Terengganu pada pilihanraya umum nanti.

Demikianlah nasib Pak Lah dan UMNO-BN. Mereka semakin blur untuk menentukan tarikh pilihanraya. Setiap kali mereka menetapkan tarikh, setiap kali itulah masalah datang bertimpa-timpa. Setiap kali mereka merancang tarikh pilihanraya setiap kali itulah juga secara tiba-tiba muncul isu bergantang-gantang yang bisa membenam keperkasaan BN.

Namun kalau pun pilihanraya umum dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan -- sebenarnya BN telah memberikan peluang kepada pembangkang untuk mengumpul lebih banyak sokongan dan dana. Jadi menurut pandangan penulis, BN tidak mahu menunggu lebih lama lagi. Dengan izin Tuhan rahsia tarikh pilihanraya umum ke-12 akan terungkai setelah kita menyambut Hari Raya Puasa nanti. Mengapa penulis optimis? Kerana kebiasaannya apabila pemimpin-pemimpin mula lobi melobi, dan wakil rakyat pula mula rajin turun padang merasmikan itu dan ini, itu petanda bahawa pilihanraya akan diadakan tidak kurang dari 3 bulan lagi. Dan petanda tersebut telah muncul seawal bulan Ogos lagi. Bersama-samalah kita bersiap siaga. Lawan Tetap Lawan!

Kelip-Kelip Disangka Api, Kalau Api Mana Puntungnya?
Hilang Ghaib Disangka Mati, Kalau Mati Mana Kuburnya?


- Penulis Tamu -

Tuntut pilihan raya adil - Perhimpunan Rakyat 10 November ini di Dataran MerdekaM.Kayveas, Ingatlah Inquilab Zindabad!

How to use Quote function:

  1. Select some text
  2. Click on the Quote link

Write a comment

Comment
(BBcode and HTML is turned off for anonymous user comments.)

If you can't read the words, press the small reload icon.


Smilies

January 2010
M T W T F S S
December 2009February 2010
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31