My Opera is closing 3rd of March

LAGI AHLI LETAK JAWATAN

Subscribe to RSS feed

Rasional Disebalik Perletakan Jawatan Dan Penamatan Ahli di Cheras – Pengerusi PPP Bahagian Cheras

Saya melihat PPP tidak memperjuangkan visi sebagai parti berbilang kaum. PPP mungkin menghadapi “culture shock“ dimana bilangan orang Melayu meningkat secara mendadak dan diluar sangkaan pemimpin Parti sendiri. Peningkatan dari 3% hingga mencecah 18% adalah suatu peningkatan luar biasa dalam jangka waktu yang singkat. Pemimpin Bahagian yang dipimpin oleh orang Melayu juga telah menonjolkan diri didalam berbagai acara yang diadakan oleh Parti Komponen lain. Mungkin biasanya ahli PPP dan Ketuanya dari keturunan India tetapi oleh orang Melayu pula.

Saya sebagai salah seorang pemimpin Melayu di Bahagian Cheras yang telah berusaha merubah persepsi masyarakat dengan melaungkan bahawa PPP bukan parti orang India, ianya adalah parti berbilang kaum. Semasa Perhimpunan Agung PPP pada tahun 2006 & 2007, saya telah menulis beberapa cadangan dan usul untuk dibacakan kepada semua yang hadir pada Perhimpunan Agung tersebut. Ada yang dibenarkan dan ada yang tidak.

Pada tahun 2006, isu yang menuntut kesaksamaan dan kesama-rataan oleh kaum lain diudarakan dengan nada yang tinggi. Saya selaku pemimpin Melayu ditahap Bahagian terpanggil untuk menyuarakan agar semua yang hadir benar-benar memahami perkataan yang dimaksudkan kesama-rataan itu. Presiden selalu mengatakan bahawa, “Jika orang cina ke luar negeri, mereka mengatakan yang mereka adalah Malaysia Chinese, setibanya di Malaysia, mereka akui yang mereka adalah rakyat Malaysia“ dan ada pula yang mengatakan mereka lahir dan akan mati dinegara ini, maka mereka seharusnya dianggap sama rata dengan bangsa lain. Generasi baru mungkin kurang memahami ’kontrak sosial‘ yang telah lama ditanda tangani sewaktu negara mencapai kemerdekaan. Namun, didalam teks usul yang saya bacakan meminta semua ahli untuk benar-benar cintakan negara bukan sekadar sanggup mati dinegara ini malah mati untuk negara, bangsa dan agama. Memantapkan jati diri dan meningkat semangat patriotisme didalam diri masing-masing untuk benar-benar mencintai negara yang tercinta ini. Akhirnya, saya mengusulkan agar Kerajaan memberi peluang kepada ramai pelajar dan generasi muda dari berbilang kaum untuk menghadiri program Program Latihan Khidmat Negara atau mengadakan program lain seumpama itu. Kita benar-benar ingin melihat kaum lain, selain Melayu, berani menyuarakan bantahan dan memperjuangkan“solidarity“ kaum-kaum di Malaysia, diarena antarabangsa.

Pada tahun 2007, saya telah mengusulkan beberapa perubahan di Konvensyen PPP Wilayah Persekutuan. Memandangkan kaum yang berbilang bangsa bukanlah sekadar Melayu, Cina dan India malah banyak lagi kaum dan suku yang terdapat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak maka saya telah mencadangkan agar Kerajaan Barisan Nasional untuk membangun sebuah dewan yang dipanggil Dewan Inergrasi Bangsa Malaysia. Mungkin usul yang saya kemukakan sekadar untuk melengkapkan agenda Konvensyen. Dewan yang saya maksudkan ini adalah untuk menginterpretasikan atau “translate“ formula dimana kita dapat mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan diantara kaum. Usaha-usaha mengeratkan siratulrahim dikalangan semua ahli dan bangsa Malaysia terus dijalankan melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Selain itu juga ia adalah usaha kearah meningkatkan intergrasi diantara kaum dan menanamkan semangat perpaduan Bangsa Malaysia. Rekabentuknya memaparkan ciri-ciri budaya dan tradisi Bangsa Malaysia yang terdiri dari semua kaum di Semenanjung mahupun dari Sabah dan Sarawak. Ia menjadi lambang dan mercu tanda kejayaan Malaysia yang mengekalkan keharmonian, kesejahteraan, memupuk semangat Nasionalisme dan cintakan Negara diantara berbilang kaum. Seterusnya, kita mungkin boleh merayakan keraian Kaamatan & Gawai secara rasmi di Semenanjung selain mengiktiraf kaum dan suku dari Sabah dan Sarawak malah memberi penghormatan dan penghargaan. Suara itu hanya tinggal suara yang pernah berkumandang di PWTC dan mungkin tidak lagi.

Pada tahun 2007, saya juga telah mengusulkan sesuatu yang penting untuk parti yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan didalam mengekalkan visi sebuah parti berbilang kaum. Malangnya usul ini tidak dibenarkan untuk disampaikan. Topik yang saya ingin ketengahkan adalah perkongsian kuasa didalam parti bagi menseimbangkan komposisi dari akar umbi hingga ke tahap kepimpinan. Perkongsian kuasa yang tulen bukan sahaja kepada meletakkan seorang pemimpin didalam cabinet pemerintahan, apatah lagi sebuah parti yang memiliki keahlian yang besar dan mempunyai pemimpin-pemimpin dari semua tahap yang berkaliber dan mempunyai nilai-nilai murni didalam menjayakan aspirasi Kerajaan pimpinan parti Barisan Nasional. Pembangunan modal insan memerlukan semua Bangsa Malaysia untuk tampil dan menunjukkan kemampuan dan kebolehan didalam memimpin, mencipta, innovatif, kreatif, bekerja dan taat setia kepada Raja dan Negara. Sifat – sifat ini harus diberi perhatian demi menerokai pasaran, idea dan peluang-peluang baru untuk diketengahkan, ibarat pepatah melayu, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Maka adalah wajar komposisi Ahli Majlis Tertinggi yang ada ditambah untuk mempastikan setiap kaum mempunyai wakil dan bilangan perwakilan harus seimbang.

Satu lagi usul yang telah diperap apabila saya kemukakan cadangan untuk menggubal Dasar Ekonomi Progresif.

Tun Dr Mahathir pernah berkata, Kita mahu kekayaan bukan kerana taksub dengan kebendaan, tetapi kerana kekayaan perlu untuk memelihara keselamatan kita, untuk membangunkan parti dan Negara, untuk membersihkan dan mengindahkan alam sekeliling kita, untuk meninggikan taraf kehidupan, untuk menambahkan peluang pekerjaan …..Kita ingin kaya kerana kita tidak mahu bergantung pada orang yang pasti akan mengambil peluang mempengaruhi dan membendung kebebasan kita, Kita ingin kaya supaya kita dapat menolong orang yang kurang bernasib baik, miskin dan menderita.

Sebelum kita boleh menjadi kaya, kita harus ingat bahawa ada Negara yang tidak mempunyai sumber kekayaan tetapi kaya. Ada Negara yang mempunyai sumber alam tapi miskin. Hanya mereka yang bersemangat, rajin dan sanggup mencuba menghadapi cabaran sahaja yang akan berjaya dan maju. Mereka yang yang hanya berharap pada pertolongan orang lain tanpa memperbaiki diri akan mundur walaupun buminya dipenuhi dengan emas, perak dan subur.

Kita harus sedar, bagi setiap pemimpin atasan mahukan semua jentera dibawahnya baik Negeri, Bahagian dan Cawangan-cawangan untuk terus bergerak aktif baik didalam pengurusan, peningkatan keahlian mahupun menjalankan aktiviti-aktiviti. Apa yang selama ini kita lihat, setiap pemimpin melayari bahtera sendiri sehinggakan banyak Bahagian dan Cawangan yang tidak dapat bertahan lama. Kita semua tahu bahawa, didalam Parti tiada sebarang paksaan yang boleh dikenakan didalam apa bentuk sekali pun kepada mana-mana pihak. Oleh itu kekuatan kewangan seseorang boleh menjadi lemah jika ianya tidak disokong dengan peluang pekerjaan atau perniagaan secara berterusan.

Maka dengan itu kita harus melakukan sesuatu agar semua tahap kepimpinan dan ahli dapat bergerak maju, memiliki daya tahan dan membangun bersama Parti. Sejarah membuktikan untuk terus membangun dan mencapai kejayaan, kita mestilah sanggup menerima perubahan mengikut masa. Masyarakat yang sanggup berbuat demikian ialah masyarakat progresif. Beberapa langkah yang sewajarnya harus dilakukan:

Maka saya mengusulkan :

1. Parti yang selama ini berjalan kini menjangkau usia lebih 54 tahun harus memperkenalkan satu Dasar jangka masa panjang yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Progresif (DEP) yang mana ianya harus digubal dan memperkenalkan berbagai langkah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya menerusi pertubuhan, koperasi, perusahaan-perusahaan dan daya keusahawanan yang tinggi dikalangan para ahli.

2. Mana – mana projek kerajaan yang berjaya diperolehi haruslah diagih-agihkan mengikut peratus yang sesuai kepada setiap peringkat supaya dapat merancakkan pergerakan Parti. Inilah sifat seorang pemimpin yang ingin melihat Parti berjaya bukan hanya untuk menonjolkan kejayaan peribadi yang tidak memberi sebarang makna kepada Parti, malah berkorban dengan menagihkan peluang kepada ahli.

3. Segera mengaktifkan Koperasi Progresif Malaysia sebagai satu Kumpulan Wang berbentuk badan perniagaan yang sebenarnya dengan kuasa melabur dalam semua jenis surat-surat jaminan dan meminjam dan menjana keuntungan yang boleh diagihkan kepada ahli pelabur. Dengan sokongan dari kumpulan pengurusan yang kukuh, jujur, berkesan serta mempunyai pandangan dan pemikiran yang luas akan menjamin kejayaan berterusan.

4. Ditubuhkan sebuah badan bebas untuk memantau dan mempastikan bahawa segala pelaksanaan haruslah mengikut peraturan – peraturan sepertimana yang telah digubal didalam DEP. Badan tersebut juga harus menjadi badan yang bertindak memastikan keseimbangan berterusan.

5. Badan ini juga harus menghidupkan industri-industri kecil dan hiliran secara berterusan seperti industri makanan ringan tradisi, ternakan dan bermacam – macam lagi untuk ahli – ahli diluar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat desa.

Usul yang saya kemukakan ini hanyalah untuk memartabatkan ahli-ahli Parti dan Parti supaya disegani dan menjadi contoh semua.

Semua ini dilihat seperti suatu yang bakal member perubahan mendadak kepada sebuah parti yang telah ditubuhkan lebih dari 50 tahun. Kesediaan untuk menerima belum terserlah dan parti cuba untuk mengekang dari lebih keliru. Walaupun apa yang dicadangkan adalah merupakan cadangan yang memberikan satu imej dan kewibawaan tinggi.


Apabila PPP konsisten dengan tuntutan untuk 12 kerusi DUN dan 4 Parlimen, harapan adalah bagaimana komposisi yang adil dapat diagihkan diantara kaum. Pembahagian untuk semua kaum mengikut kota adalah harapan para ahli. Walaupun banyak kenyataan yang dikeluarkan sehingga untuk keluar dari BN dan menjadi pembangkang tidaklah menjadi sesuatu yang boleh melemahkan BN. Namun, ahli PPP menyokong kepimpinan untuk terus berpegang pada prinsip dan keadilan. Perjumpaan Perdana Menteri dengan semua pemimpin tertinggi parti komponen menghasilkan jawapan “tiada bantahan dan mengekalkan jumlah kerusi sepertimana pilihanraya lepas”, maka hancurlah harapan selama ini. Persoalannya, adakah Presiden yang pada suatu waktu mula dikenali sebagai “Singa Kabinet” kini telah berkunjung ke SPA kecantikan untuk asah kuku dan menjadi tumpul. Kenapa Presiden tidak bersuara sedangkan itulah forum terakhir dan terbaik untuk menyampaikan hasrat mempertahankan bilangan kerusi? Jika ianya ditangguh, tidak mungkin akan selesai kerana kesuntukan waktu.

Ianya menjadi teka teki, sehingalah kenyataan media yang dibuat oleh Presiden selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti di PWTC dimana beliau mengatakan akan mengutus surat kepada setiap parti komponen untuk menjadi ‘gentleman’ membalasnya dan mengembalikan kerusi yang telah mereka terima dahulunya. Jika tidak dikembalikan, maka Presiden ada mengatakan akan mengambil langkah kedua.

Kenyataan yang dibuat adalah bertujuan untuk meredakan ahli-ahli yang keliru atau marah dengan tiada bantahan yang dibuat didalam perjumpaan dengan Perdana Menteri. PPP sahajalah yang diharapkan oleh semua masyarakat untuk membantah dan mendapatkan kembali kerusi secara adil. PPP sememang telah pun menulis surat sebelum ini dan ternyata ianya tidak dilayan. Kenapa kali ini mereka harus mendengar atau mahu membaca surat dari PPP?

Bagi mereka, suara Presiden Parti adalah ibarat satu suara yang datang dari saluran radio yang tidak popular. Maka, apa yang mereka akan lakukan adalah samada tukar kesaluran lain ataupun mematikan radio. Kita semua tahu bahawa mereka tidak akan bertindak ‘gentleman’ dan dengan kenyataan itu melihat betapa Presiden tidak bersunguh-sunguh untuk memperjuangkan kerusi-kerusi yang dilaungkan sebelum ini. Kenyataan Presiden sekadar melepas batuk ditangga dan ingin menunjukkan bahawa beliau masih berjuang untuk mendapatkan kerusi-kerusi DUN & Parlimen dengan harapan mendapat sokongan ahli-ahli berterusan. Ahli juga melihat bahawa kini focus beliau hanyalah di Taiping. Sedar ataupun tidak, beliau telah pun mengecilkan hati ramai di negeri Perak. Pengumuman untuk bertanding di Taiping sebelum penamaan calon adalah sesuatu yang disengajakan agar kedudukan beliau terjamin.

Adalah menjadi sesuatu yang mengelirukan apabila Hindraf menunjuk perasaan dijalanan dan Presiden parti mula mengecam rakan sekomponennya secara terbuka. Sifat setiakawan tercemar dengan kenyataannya sehingga menjadi satu perbalahan. Ahli parti mula melihat PPP sedang terdesak untuk meningkatkan bilangan ahli dari keturunan India. Menangguk di air keroh, ternyata airnya terlalu keroh sehingga memudaratkan jika diguna. Apatah lagi apabila bekas ahli sebuah persatuan yang dinyahkan dari Kesatuan itu diterima untuk menjadi ahli dan ditawarkan untuk memegang tiga jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan Biro Agama. Adakah kedudukan Ahli Majlis Tertinggi mahu ditutup penyertaannya kepada kau-kaum lain selain India.

Inilah yang saya katakan bahawa parti sebenarnya belum bersedia untuk menerima perubahan. Kenyataan untuk melaksanakan visi sebagai parti berbilang kaum adalah bayangan demi menampilkan sebuah parti yang berwibawa.


Sebagai seorang pemimpin, semangat pengorbanan dan ketahanan diri ini, adalah sesuatu yang perlu ada pada seorang pemimpin. Kita perlu berkorban sedikit untuk kebahagian semua, agar akhirnya kita semua juga mendapat nikmat keuntungannya. Sebagai pemimpin juga harus mendahului pendekatan semangat , fikiran dan kesanggupan berkorban dan bekerja. Kini PPP harus berubah dari kepimpinan, visi, hala tuju sehinggalah konsep pergerakan itu sendiri.

Kejayaan tidak pernah datang semudah mata memandang, menggalakkan ahli-ahli untuk sedia berkorban dalam apa jua penglibatan dan tanggungjawab. Dalam perjuangan politik, ia bukan sekadar untuk mendapat pangkat dan kekuasaan, sebaliknya untuk melaksanakan tugas dan memikul amanah dan tanggung jawab.

Dalam proses kebangkitan, ialah untuk mengenal dan mencari kelemahan serta kekuatan diri sendiri. Inilah asas utama didalam pembangunan satu kesatuan. Bermula dari mental, sikap, semangat dan fizikal yang kuat sahaja sesuatu kebangkitan akan dapat mencapai kejayaan. Tidak ada kejayaan pada mereka yang takut, lemah semangat dan merasa rendah diri. Usaha menggempur semangat ahli-ahli untuk bangun bekerja, bersaing bagi mencapai kesejahteraan bersama.

Oleh itu bagi mengatasi masalah kelekaan menyambut seruan dan harapan kepimpinan, ketegasan perlaksanaan tanpa banyak berdolak dalih dan politicking merupakan suatu yang cukup perlu bagi membangunkan ahli-ahli Parti. Pengajaran dari masa-masa yang lalu boleh diambil sebagai suatu landasan untuk kita melihat bagaimana tanpa ketegasan yang bersungguh-sungguh, tidak banyak kejayaan dapat diperolehi.

Demokrasi dan liberalisme tanpa penjelasan yang tepat akan hanya membawa kepada bentuk polemic atau perlakuan yang tidak jelas. Berusaha membawa kearah membangunkan ahli, akan dapat kita lihat ketegasan ketegasan dalam menyatakan peranan individu dan tanggungjawab mereka yang perlu diselarikan dengan hasrat kepimpinan. Musuh musuh politik yang keluar dari Parti atau diParti yang lain, tetap berdiri diatas slogan“Perjuangan Untuk Bangsa dan Negara“, di satu tapak perjuangan yang berlainan. Walaupun gegak pekikan mereka begitu lantang dan kuat, namun nyatalah untuk menghadapi mereka diluar jauh lebih mudah daripada mereka yang berada didalam Parti, ibarat musuh dalam selimut dan api didalam sekam.
February 2014
M T W T F S S
January 2014March 2014
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28